Posting mengikut label

Monday, October 10, 2011

ANBIYA HADAPI KEJAHATAN PEMBESAR NEGARA


SETERUSNYA Allah berfirman, bermaksud, “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka lakukan tipu daya di negeri itu” (Surah al-An’am ; 123)

Dalam ayat ini Allah berfirman menjelaskan tentang ujian yang dihadapi oleh setiap rasul sejak zaman berzaman, mereka berhadapan dengan pembesar-pembesar, raja-raja dalam sesebuah negeri itu yang jahat supaya menjadi satu ujian dan cabaran kepada perjuangan mereka dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi.

Begitulah juga apa yang dihadapi oleh Nabi s.a.w., beginda berhadapan dengan pembesar-pembesar Quraisy, Abu Jahal dan Abu Lahab ketika menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk Mekkah yang masih jahiliah dan kufur kepada Allah ketika itu.

Pembesar-pembesar Quraisy menentang ajaran Islam yang dibawa Nabi s.a.w. Mereka menghalang perjuangan Nabi s.a.w. untuk menegakkan agama Allah di Semenanjung Tanah Arab ketika itu walaupun mereka mempunyai hubungan darah dengan Nabi s.a.w., walaupun dia mengetahui Nabi s.a.w. tidak pernah berbohong macam mereka.

Ia sebagai satu ujian kepada Nabi s.a.w. untuk Allah menilai sejauh mana iman dan sabarnya Nabi s.a.w. menghadapi ujian penentangan dari pembesar-pembesar Quraisy tersebut.
Begitulah fitrahnya perjuangan Islam di sepanjang zaman. Pejuang-pejuang Islam akan berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jahat yang sentiasa menghalang terlaksananya Islam di Negara masing-masing sebagaimana Allah berfirman dalam ayat yang lain bermaksud “Dan demikianlah Kami jadikan setiap nabi mempunyai musuhnya terdiri daripada orang-orang yang jahat.” (Surah al-Furqan: 31)

Dan firman Allah yang bermaksud, “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan diantara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya.” (Surah al-Isra’: 16)

Ertinya , Allah SWT memerintahkan mereka taat kepada Allah dan perintah Rasul-Nya terlebih dahulu, tetapi mereka ingkar lalu Allah membinasakan mereka selepas itu. Perkara ini berlaku kepada umat zaman dahulu di mana Allah menurunkan balasan atau bala serta-merta selepas mereka melakukan kejahatan dan mengingkari perintah rasul-rasul yang diutuskan Allah untuk membawa petunjuk kepada mereka.

Apa yang diperintahkan Allah itu adalah suatu yang boleh dibuat mereka. Mereka mampu buat tetapi oleh kerana keangkuhan dan kesombongan menebal dalam diri, mereka memilih untuk kufur terhadap perintah Allah itu.

Mereka merasakan mereka gagah, kerajaan mereka kuat, tidak ada jalan untuk sesiapa pun boleh mengalahkan mereka, tiba-tiba ditimpa bala oleh Allah lalu mereka dibinasakan, lenyap dari muka bumi ini dalam sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud, “ Supaya mereka mengadakan tipu daya di negeri itu.” Surah al-An’am: 123)

Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa yang dimaksudkan ayat ini ialah Allah menjadikan pembesar-pembesar sesebuah negeri itu bermaharajalela dengan kejahatan dan maksiat di sesebuah negeri berkenaan, maka apabila mereka tenggelam dalam kejahatan itu tiba-tiba Allah membinasakan mereka dengan azab (bala) di dunia ini secara tiba-tiba tanpa disedari mereka.

Ada di kalangan mereka yang Allah lingkupkan negeri seperti kaum Luth, ada yang Allah tenggelamkan dan mati lemaskan mereka dalam lautan seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya dan pelbagai-bagai lagi jenis bala yang Allah telah timpakan ke atas mereka yang seumpama itu sebelum ini.

Sementara Mujahid dan Qotadah berkata ini kerana mereka angkuh dan sombong sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Dan Kami tidak mengutus kepada sebuah negeri seorang rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari akan apa yang kamu diutuskan membawanya.”

“Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa.” (Surah as-Saba’: 34-35)

No comments: