Posting mengikut label

Wednesday, October 19, 2011

Pandangan sarjana luar mengenai pelaksanaan Undang-undang Islam

FAKTOR-FAKTOR LUARAN

Setelah kita meneliti dan memahami akan peri pentingnya faktor dalaman dalam menyediakan golongan muslim-mukmin yang bersedia untuk menerima perundangan Islam sebagai manhaj atau dustur dalam kehidupan mereka, marilah kita lihat pula apakah dia faktor luaran yang perlu ada dalam menjadikan pelaksanaan syariah islamiah itu suatu realiti di zaman moden.

Sebagaimana yang telah penulis sebutkan sebelum ini bahawa, faktor luaran itu merupakan natijah yang lahir daripada kekuatan dan kestabilan faktor dalaman setiap individu muslim-mukmin,maka gabungan kedua-dua faktor inilah yang akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan undang-undang Syariah Islamiah dalam sesebuah negara Islam moden.

Faktor luaran yang dimaksudkan sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi [1] ialah :

a) keinginan untuk melaksanakan Islam secara total melalui kepimpinan yang beriman dengan syariat Allah.

b) Membebaskan diri daripada tekanan keadaan atau realiti dan daripada mengikuti barat.

Insya Allah penulis akan membahaskan ke semua faktor luaran tersebut secara ringkas.

Keinginan untuk melaksanakan Islam secara total (keseluruhan) melalui kepimpinan yang beriman dengan syariat Allah.

Apabila telah sebati ilmu, iman dan amal soleh pada setiap individu muslim itu, maka secara tidak langsung akan terbit dalam hati dan sanubari mereka ini untuk melaksanakan Islam secara keseluruhannya. Ini timbul kerana golongan ini telah pun mengakui dan meyakini bahawa hanya perundangan Allah swt sahaja yang mampu membawa mereka kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Dalam hal ini, penulis menggabungkan kehendak atau keinginan melaksanakan Islam secara total yang menjadi idaman atau impian setiap individu muslim-mukmin itu dengan syarat ianya mestilah ditunjangi oleh pemimpin yang beriman dengan syariat Allah swt. Ini kerana, perundangan Islam tidak dapat dijalankan secara praktikal dan berkesan, sekiranya perundangan tersebut hanya berada di institusi-institusi kehakiman atau dengan kata lain, mahkamah-mahkamah sahaja yang berpegang kepada undang-undang Islam, sedangkan dalam masa yang sama institusi-institusi pendidikan, kebudayaan, penerangan dan sebagainya yang diketuai oleh pemimpin mengarah kepada pemikiran-pemikiran yang bukan berasaskan kepada Islam dan iman.

Malah, kita juga mendapati syarikat-syarikat televisyen, radio dan media cetak berlumba-lumba menarik penonton dan pembaca dengan menyiarkan filem-filem dan gambar-gambar yang berunsur maksiat. Di samping itu juga, kemunculan kilang-kilang arak dengan memperagakan tubuh seksi gadis-gadis melayu Islam dan bukan Islam, kedai-kedai judi dan nombor ekor juga menjurus kepada perbuatan maksiat yang lebih besar dan keji.

Kesemuanya ini akan menjadi faktor penghalang kepada pelaksanaan undang-undang Islam itu secara sempurna dan berkesan. Undang-undang Islam sudah pasti tidak dapat dijalankan jika ianya hanya mahu dilaksanakan oleh individu muslim sahaja, sedangkan di peringkat pemimpin tidak ada usaha-usaha ke arah merealisasikannya.

Sebagai contoh, Islam melarang kepada perlakuan zina dan pelakunya akan dikenakan hukuman hadd (hudud) samaada sebat 100 kali atau rejam sehingga mati. Dalam melaksana dan menguatkuasakan hukuman tersebut pemimpin perlulah mempermudahkan jalan perkahwinan yang halal bagi orang yang mahukannya dan menutup segala jalan dan pintu-pintu yang haram daripada menjadi pilihan bagi orang yang ingin melakukan maksiat.

Bila urusan menutup pintu-pintu haram tidak diambil perhatian oleh pemimpin, dalam masa yang sama urusan perkahwinan di persulitkan, maka apabila masyarakat yang terlibat dengan kesalahan zina dhukum dengan undang-undang jenayah Islam, sudah pasti akan timbul pemberontakan dan pergolakan yang dahsyat dalam sesebuah negara Islam.

Masyarakat akan mempersoalkan keadilan dan keberkesanan undang-undang Islam., kerana mereka akan berkata “kalau zina tu haram, kenapa tidak dibenteras sahaja pusat-pusat pelacuran, kenapa dibiarkan saja penerbitan dan penjualan majalah-majalah hiburan yang memaparkan aksi-aksi berahi gadis-gadis seksi. Malah, urusan perkahwinan pun susah, wang hantaran yang mahal, perbelanjaan perkahwinan yang meningkat dan sebagainya. Bukankah ini semua menjurus kepada perlakuan zina yang berleluasa.

Secara kesimpulannya, umat Islam dan para pemimpin mestilah menjadikan keseluruhan ajaran dan perintah Allah swt dan Rasul-Nya sebagai perlembagaan dalam kehidupan. Mereka mesti mengambil apa sahaja yang disuruh dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang. Sebab itu apabila kita melihat kepada sejarah, bagaimana sekumpulan yahudi yang memeluk Islam, mereka mahu mengambil sebahagian daripada prinsip dan adat istiadat agama mereka yang telah dimansuhkan seperti mengagungkan hari sabtu dan mengharamkan bekerja pada hari tersebut tidak diterima oleh Islam.

Allah swt tidak menerima permintaan mereka itu, melainkan mereka masuk ke dalam syariat Islam itu secara keseluruhan (total), seperti mana yang diterangkan-Nya dalam Al-Quran Al-Karim :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” [2]

Oleh itu, Allah swt memberi amaran dan peringatan kepada golongan manusia yang mengamalkan sikap memandang ringan dan menganggap rendah terhadap sebahagian daripada hukum-hukum yang Allah swt turunkan.Firman-Nya :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ اللّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللّهُ إِلَيْكَ………..

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” [3]

Dengan ini jelaslah bahawa beriman serta melaksanakan semua yang terkandung dalam syariat Islam yang bersumberkan Allah swt dan Rasul-Nya samada masyarakat dan pemimpin atau lebih tepat lagi seluruh umat Islam adalah menjadi suatu kewajipan dan syarat utama kepada pelaksanaan undang-undang Islam.

Membebaskan diri daripada tekanan keadaan atau realiti dan daripada mengikuti barat.

Salah satu daripada punca atau sebab umat Islam melupakan ajaran-ajaran Islam ialah dengan mengakui dan mengiktiraf segala tasawur dan sistem-sistem yang dibawa masuk daripada barat.Malah ada di antara mereka tanpa rasa malu begitu mengagumi dan menyanjung tinggi segala budaya dan gaya hidup masyarakat barat yang kotor dan keji.

Sejarah telah mencatatkan bahawa sekularisme barat menyerang dunia Islam dari berbagai-bagai sudut kehidupan. Mereka memasukkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam atas nama kemodenan dan perkembangan atau peredaran zaman. Golongan ini menamakan diri mereka sebagai Musta’mir [4].

Penjajahan/pemakmuran (Isti’mar [5]) adalah strategi yang paling disukai oleh golongan sekularisme barat, kerana dengannya mereka boleh membawa masuk segala macam bentuk ideologi-ideologi kotor yang digunakan untuk meracuni pemikiran dan perlakuan umat manusia terutama golongan muda. Sekularisme barat menjajah negara-negara umat Islam di seluruh dunia dengan begitu meluas sekali. Ia mencengkam dan mempengaruhi serta menguasai negara-negara umat Islam semenjak pertengahan kurun ke-19 sehinggalah ke awal kurun ke-20.

Maka dalam hal ini, apabila ada usaha-usaha sama ada pihak individu muslim dan masyarakat mahupun pemimpin untuk menjalankan undang-undang Islam, menjadi satu syarat yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuh hati ialah membebaskan diri daripada segala bentuk budaya, sistem dan tasawur sekularisme barat daripada menjadi ikutan, panduan dan gaya hidup seharian. Umat Islam seharusnya merasa bangga kerana segala peraturan, displin hidup, perundangan, sistem, akhlak, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya telah ditunjukkan oleh Allah swt serta diperkemaskan oleh Sunnah Rasulullah saw dan diperbaharui setapak demi setapak oleh para sarjana dan ulama-ulama Islam mengikut perubahan zaman dan keadaan.


Tulisan dipetik dari - http://aljawhar.wordpress.com


[1]Dr Yusuf Al-Qardhawi, شريعة الاسلامية صالحة للتطبيق في كل زمان ومكان, edisi terjemahan, Pelaksanaan Syariah Islamiah sesuai pada setiap tempat dan masa, Juanda Hj Jaya, 1998, hlm.173

[2] Al-Quran Al-Karim, Al-Baqarah 2:208

[3] Al-Quran Al-Karim, Al-Maidah 5:49

[4] Musta’mir membawa maksud “yang memakmurkan”. Golongan ini mendakwa bahawa mereka membawa perubahan kepada bumi yang dijajah dengan cara memakmurkannya. Mereka ini membawa masuk berbagai-bagai perubahan atas nama kemakmuran. Tujuan dan strategi mereka tidak lain hanya ingin mengaburi mata dan fikiran masyarakat dengan menganggap bahawa apa yang dibawa adalah untuk kebaikan semua. Akhirnya, masyarakat mula mengagumi dan menyanjung segala budaya dan pemikiran mereka.

[5] Isti’mar adalah istilah yang diguna pakai dalam bahasa arab yang digunakan bagi membawa maksud penjajahan. Sebenarnya kalau dilihat dari sudut bahasa Isticmar bererti pemakmuran. Tetapi inilah istilah yang digunakan dalam bahasa Arab yang membawa maksud tersebut bagi mengelirukan manusia.Hal ini perlu diperhatikan agar tidak timbul sebarang kekeliruan perbezaan istilah antara bahasa Arab dan bahasa Malaysia.


No comments: