Sejarah perlu dimasyarakatkan
Oleh HasrulraizanBANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt - Sejarah kita bukan saja perlu dicatat, direkodkan dan disebarkan untuk kesinambungan bangsa dan tamadun Negara Brunei Darussalam tetapi fakta-fakta sejarah yang sahih dan benar itu perlu dimasyarakatkan melalui media-media yang bersesuaian termasuk seminar.
Pemangku Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina Othman berkata, Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Muzium-Muzium dan institusi-institusi akademik perlu mencari alternative lain sebagai satu pendekatan baru yang bersifat inovatif dan kreatif supaya penyelidikan, pengumpulan dan penyebaran maklumat itu dapat disebarkan sejajar dengan keperluan minda masyarakat di negara ini terutama sekali di kalangan generasi muda dan pelajar.
"Kita ingin melihat generasi muda ini mengetahui dan memahami sejarah negara bangsanya," ujar ketika merasmikan Seminar Sejarah Borneo Ke-2 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pagi ini.
Sehubungan itu, katanya, kaedah penyampaian sejarah kita kepada generasi muda harus difikirkan semula supaya akan dapat menarik perhatian dan minat mereka terhadap sejarah. Menurut beliau, kaedah-kaedah baru seperti teknologi maklumat yang ada harus digunakan dan diterapkan untuk menyampaikan sejarah kita dalam saluran yang lebih relevan bagi mereka.
Beliau seterusnya menekankan, "Apa yang penting kita perlu menghidupkan sejarah dan menyampaikan ajaran-ajaran dalam sejarah kepada masyarakat kita dengan cara yang lebih dinamik dan menarik."
Adalah juga diharapkan penyelidikan sejarah Brunei itu akan sentiasa berterusan tanpa "hentian" kerana sejarah itu sendiri sentiasa berkembang berdasarkan penemuan-penemuan dalam penyelidikan, ujarnya lagi.
Datin Paduka Hajah Adina berharap Seminar Sejarah seumpama itu akan dapat diadakan secara berterusan, dan pendekatan yang digunakan untuk mengisi Seminar itu juga perlu dicari supaya bersifat lebih kreatif, inovatif dan proaktif.
"Kita ingin melihat warga Brunei Darussalam ini celik sejarah bangsa dan negara, dan matlamat untuk merakyatkan sejarah itu dapat dicapai, selain dapat memupuk dan melahirkan semangat patriotisme serta mengukuhkan ketaatsetiaan kepada raja, agama, bangsa dan negara."
Dalam ucapannya itu Datin Paduka Hajah Adina sempat mengeluarkan kata-kata berikut: "Keberadaan kita pada masa sekarang adalah kerana sejarah dan pengalaman yang kita lalui berkurun-kurun" dan "Bangsa yang tidak mengenal sejarahnya merupakan bangsa yang tidak berjiwa."
Beliau menjelaskan keadaan setiap negara dan bangsa berpunca daripada sejarah yang dilaluinya sambil mengatakan bahawa sejarah ialah guru kehidupan yang di dalamnya mengandungi pengajaran dan perkara-perkara penting yang boleh dijadikan panduan.
"Sejarah sangat penting dalam kehidupan bernegara dan dalam menentukan jiwa sesebuah negara dan bangsa kerana sejarah ada hubung kait secara langsung dengan kelangsungan hidup bangsa, pembangunan tamadun dan pembangunan negara."
Justeru itu menurutnya sejarah negara bangsa itu perlu diketahui oleh setiap orang. Bangsa yang tidak mempunyai catatan sejarah ialah bangsa yang sudah kehilangan harga diri dan arah tujuan dalam kehidupan kerana kita tidak akan dapat maju ke hadapan tanpa memahami asal usul diri kita, katanya lagi.
Dipetik dari - Media Permata Online, Khamis, 20 Oktober 2011.
No comments:
Post a Comment