Posting mengikut label

Friday, October 21, 2011

LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARI’AH

Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

Islam yang wujud 1400 tahun dahulu, tidak sama dengan Islam yang wujud sekarang. Zaman Rasulullah saw, para sahabat dan tabi’in menggunakan unta sebagai pengangkutan, tetapi di zaman sekarang kita ada kereta, kapal terbang, keretapi, komuter dan sebagainya. Di sudut ekonomi, terdapat bank-bank yang menyediakan berbagai-bagai jenis perkhidmatan yang menggunakan prinsip dan kaedah yang berbeza-beza, terdapat juga pengeluaran produk secara meluas untuk dieksport, diagih-agihkan serta kemunculan program insurans nyawa dan harta benda.

Wanita di zaman Rasulullah tidak bekerjaya, tetapi di zaman ini wanita dan lelaki berlumba-lumba dalam pekerjaaan samada sektor swasta mahupun kerajaan, kilang-kilang, pejabat-pejabat, sekolah, kolej hinggalah kepada sektor pembinaan. Masing-masing bersesak-sesak ditempat kerja.

Perubahan juga berlaku dari sudut politik kenegaraan, dengan tertubuhnya sistem berparlimen, demokrasi, pemisahan dan pembahagian kuasa, pilihanraya sebagai medan memilih pemimpin dan kerajaan kebebasan mengkritik, bersuara dan meluahkan pendapat terhadap kerajaan dan banyak lagi perubahan-perubahan dari masa ke semasa.

Inilah di antara kenyataan yang berlaku dan menjadi salah satu halangan terbesar dalam pelaksanaan undang-undang Islam. Perubahan-perubahan ini akan mengakibatkan umat Islam berasa kurang yakin dan percaya dengan kemampuan undang-undang Islam yang dianggap oleh mereka sebagai undang-undang zaman unta atau undang-undang padang pasir. Secara rngkasnya penulis akan menjawab permasalahan ini dengan hujah dan pendapat seorang ulama dan cendikiawan Islam terulung abad ini iaitu As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Sebenarnya persoalan tersebut memerlukan kepada perbahasan yang agak panjang, tetapi memandangkan ini adalah kajian ringkas dan penulis tidak mahu memanjangkannya, maka cukuplah jawapan dari As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ini sebagai jawapan yang terbaik dari penulis.

As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberikan jawapan sebagai berikut :

Syarat pertama dan paling penting ialah dengan membuka pintu ijtihad semula bagi yang mampu melakukannya dan kembali kepada apa yang telah dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu membebaskan diri daripada taksub mazhab khususnya yang berkaitan dengan perundangan untuk masyarakat keseluruhannya. Tidak terdapat pada kita nas daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah saw yang mewajibkan kita bertaqlid dengan mereka dalam apa yang telah mereka ijtihadkan dan mengambilnya sebagai agama dan syarak hingga ke hari kiamat.[1]

Maknanya ialah dengan membuka kembali pintu ijtihad akan membolehkan para ilmuan dan sarjana Islam mencari penyelesaian terhadap segala masalah atau perkara baru yang muncul di zaman moden yang tidak ada hukum atau yang tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw.

Seterusnya Dr Yusuf menjelaskan tentang perkara-perkara yang perlu diambil kira oleh para ilmuan dan sarjana Islam dalam melakukan ijtihad :

Pertama, ialah mengkaji semula warisan fiqh kita yang agung dengan pelbagai alirannya, mazhabnya dan pendapat-pendapatnya yang diterima pakai, khususnya pendapat para sahabat, tabiin, dan murid-murid mereka pada pelbagai zaman dan tempat untuk memilih pendapat yang paling rajih padanya dan kesesuaiannya untuk memenuhi maqasid-maqasid syari’ah dan untuk mewujudkan kepentingan umat pada zaman kita berdasarkan apa yang wujud daripada keadaan dan suasana.

Kedua, kembali kepada sumber asal iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih dan yang ketiga, berijtihadlah dalam pelbagai masalah dan keadaan yang baru yang tidak diketahui oleh para fuqaha kita yang lalu dan mereka tidak pernah mengeluarkan hukum dalam perkara yang seperti itu. Ini adalah untuk mengeluarkan hukum yang sesuai dengannya berdasarkan dalil-dalil syarak. [2]

Inilah yang dikatakan kesyumulan atau kesempurnaan Islam. Memang sesungguhnya syariat Islam mampu untuk menghadapi perubahan dan menyelesaikan semua masalah-masalah moden yang mendatang serta memimpin kehidupan manusia berdasarkan petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARI’AH

Memandangkan undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana perundangan disebabkan angkara penjajahan, maka langkah-langkah tertentu perlu diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan sesebuah negara Islam untuk mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat.

Langkah-langkah tersebut ialah :

a) Mewujudkan institusi kajian yang berautoriti.
b) Membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan undang-undang Islam
c) Menggubal undang-undang Islam dalam bentuk akta dan statut.
d) Menguatkuasakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat.

Langkah a, b dan c adalah langkah-langkah yang digariskan oleh Profesor Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk: Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka, semasa Seminar Perundangan Syariah yang telah diadakan pada 10hb Disember 2003, anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, IKIM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Manakala langkah terakhir adalah langkah atau perkara yang dapat penulis cadangkan sebagai pelengkap kepada ketiga-tiga langkah sebelumnya.

Melihat kepada undang-undang Islam yang telah lama ditinggalkan dan terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya, maka kajian yang menyeluruh dalam semua aspek diperlukan untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini. Selain itu kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk menentukan kedudukan undang-undang yang dilaksanakan itu sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak. Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan syariah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bertentangan dengan syariah yang perlu dihapuskan.[3]

Untuk itu satu institusi kajian yang mempunyai autoriti penuh dalam membuat kajian dan penyelidikan sama ada secara formal atau tidak formal perlu ditubuhkan. Hasil daripada kajian tersebut hendaklah dijadikan sebagai kayu pengukur dalam melaksanakan perundangan Islam.

Seterusnya kesedaran dikalangan masyarakat hendaklah dipupuk dengan menyalurkan bahan-bahan dan maklumat mengenai kepentingan undang-undang Islam melalui pengedaran risalah-risalah dan penerbitan majalah atau makalah secara berkala atau tidak berkala, akhbar-akhbar, radio, televisyen, seminar-seminar, wacana-wacana ilmiah, khutbah jumaat dan sebagainya. Selain daripada itu salah satu cara yang berkesan dalam menjadikan seseorang individu dalam masyarakat itu celik undang-undang ialah dengan menjadikan undang-undang Islam sebagai salah satu subjek wajib dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat menengah dan pengajian tinggi. Bila ini dapat dilakukan, maka sebahagian besar masyarakat akan dapat memahami dan menghayati undang-undang Islam secara lebih berkesan dan sempurna.

Umum mengetahui bahawa khazanah perbendaharaan ilmu-ilmu Islam itu cukup banyak dan tidak dapat dihitung bilangannya. Dalam ilmu fiqh sahaja ianya berkembang dengan begitu pesat sehingga terbentuk mazhab fiqh yang empat. Kesemuanya memperlihatkan kepada kita bahawa ilmu Islam itu sudah cukup meliputi semua aspek dalam kehidupan.Justeru itu satu cadangan bagi menjadikan atau menyusun undang-undang Islam dalam bentuk akta dan kanun atau statut supaya ianya lebih baik dengan sistemnya yang tersusun dan memudahkan para pengamal undang-undang sama ada hakim, peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat merujuk kepadanya .

Langkah terakhir yang perlu dilaksanakan ialah dengan menguatkuasakan undang-undang Islam yang telah digazetkan dalam perlembagaan negara secara berperingkat-peringkat atau beransur-ansur. Ini bertujuan supaya masyarakat Islam yang telah sebati dengan dunia moden dapat menerima undang-undang Islam dengan baik tanpa sebarang masalah.Ia juga bagi menjamin kestabilan dan kepentingan umum (maslahah umum) semua rakyat sesebuah negara.Masyarakat Islam sekarang telah lama meninggalkan perundangan Islam. Mereka kemudiannya telah menjadikan segala tasawur dan budaya masyarakat barat sebagai ikutan. Berbagai-bagai kemajuan dan hiburan yang menjurus kepada perbuatan keji dan hina yang diamalkan oleh masyarakat Islam lantaran tidak ada penguatkuasaan undang-undang Islam yang melarang mereka daripada melakukannya serta hukuman atau siksaan yang wajib dikenakan kepada individu muslim yang melanggar undang-undang. Maka dalam hal ini, penguatkuasaan undang-undang dibuat secara beransur-ansur dalam menjadikan ianya perundangan yang diterima pakai oleh setiap individu dalam sesebuah negara.

Perlaksanaan undang-undang Islam ini juga boleh dimulakan dengan mengambil kira kadar jenayah yang paling tinggi dilakukan dalam masyarakat, seperti mencuri/merompak dan kesalahan zina serta kesalahan meminum minuman yang memabukkan iaitu arak dan sebagainya. Sesungguhnya kaedah pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang secara berperingkat-peringkat ini adalah kaedah yang Allah swt laksanakan kepada masyarakat Islam di zaman Rasulullah saw semasa mahu mengharamkan sesuatu perkara. Ini kerana Islam muncul ketika masyarakat Arab berada dalam kebebasan yang yang terlalu luas. Mereka tidak mahu kemahuan mereka yang tidak terbatas itu disekat. Jiwa mereka telah dipengaruhi oleh adat istiadat dan tradisi-tradisi yang tidak mungkin dapat dibuang dengan serentak. Maka dengan kebijaksanaan Allah swt yang Maha Mengetahui tidak mahu menakut-nakutkan mereka dengan berbagai hukum sekaligus yang mungkin membebankan dan menimbulkan perasaan benci.[4]

Ke empat-empat langkah yang telah penulis sebutkan tadi adalah perkara yang perlu diambil perhatian yang serius dalam usaha melaksanakan perundangan Islam, agar ianya lebih berkesan dan praktikal di zaman moden.



[1] Dr Yusuf Al-Qardhawi, شريعة الاسلامية صالحة للتطبيق في كل زمان ومكان, edisi terjemahan, Pelaksanaan Syariah Islamiah sesuai pada setiap tempat dan masa, Juanda Hj Jaya, 1998, hlm.98
[2] Sama di atas, hlm.101
[3] Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, Undang-undang Islam di beberapa negara Islam selepas Merdeka, Kertas kerja Seminar perundangan Syariah pada 10 Dis 2003, IKIM
[4] Dr Haron Din, Manusia dan Islam, Jilid 2, 1991, hlm.136

No comments: