Seorang penganalisis politik menjangkakan semua negara Arab akan turut terkena tempias perubahan yang sudah melanda beberapa negara Arab, termasuk Libya yang menyaksikan kematian pemimpinnya, Muammar Gaddafi kelmarin.
Pada masa sama, pihak barat juga dijangka terus menebarkan pengaruh mereka di rantau Asia Barat berikutan senario sekarang.
Profesor di Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Muhammad Redzuan Othman, berkata beliau meramal perubahan itu sejak 2009 selepas pencerobohan ke atas Iraq serta corak pemerintahan kebanyakan negara Arab, termasuk sistem monarki dan kalangan pemimpinnya yang sudah lama berkuasa.
"Namun saya tidak menyangka perubahan menimpa Libya dan Mesir itu berlaku lebih awal lagi. Ini disebabkan kedudukan Libya sebagai negara kaya minyak, manakala rakyatnya tiada masalah dengan kepimpinan Gaddafi.
"Jika diamati, Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) tidak mungkin dapat menggulingkan Gaddafi jika tiada sokongan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Pihak NATO yang didalangi kuasa Barat sememangnya mahukan Libya kerana aset simpanan minyaknya serta tiada hutang.
"Masa depan Libya selepas ini banyak bergantung kepada NTC dan sudah pasti Barat akan mencorakkannya. Selepas ini, kita akan lihat Syria dan Yaman mengalami nasib sama," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Ruhanas Harun berkata, Libya pasca Gaddafi akan bergantung kepada pejuang NTC, tetapi percaya badan itu tetap didalangi kuasa besar Barat seperti Britain, Amerika Syarikat dan Perancis.
"Di satu sudut, rakyat Libya berasa lega kerana pemimpin yang mereka labelkan diktator itu akhirnya tumbang selepas 42 tahun memerintah. Namun kini bergantung kepada NTC mencorakkan semula Libya yang sudah tentu ada campur tangan asing.
"Saya pasti dasar Libya yang sebelum ini dikenali sebagai penentang utama kuasa Barat akan beralih dan 'berkiblatkan Barat'," katanya.
Ruhanas bagaimanapun beranggapan Syria selamat daripada tempias itu kerana Presiden Bashar Al-Assad sudah melakukan perubahan mengikut suara rakyat.
Dipetik dari - Berita Harian, Sabtu, 22 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment