Posting mengikut label

Monday, October 17, 2011

BANJIR DI INDOCHINA - KESAN TERHADAP KESELAMATAN PERMAKANAN DI NEGARA-NEGARA ASEAN


Isu keselamatan makanan yang sentiasa menjadi perbincangan hangat di forum-forum antarabangsa kini sekali lagi menjadi perhatian terutama di rantau ASEAN akibat daripada kejadian banjir besar yang sedang melanda Indochina.

Di peringkat global, isu keselamatan makanan telah dilihat sebagai salah satu daripada isu yang memberi ancaman besar kepada keselamatan negara dan individu.

Negara-Negara Indochina, yang terdiri daripada Thailand, Vietnam, Cambodia dan Laos amat terkenal sebagai kawasan penanaman padi, dan merupakan di antara negara pengeluar utama beras di dunia.

Walaubagaimanapun, kejadian banjir besar yang sedang berlaku telah menenggelamkan lebih daripada 1.5 juta hektar (3.7 juta ekar) tanah sawah padi iaitu kejadian banjir yang terbesar sejak beberapa dekad ini, memberi kesan kerugian besar yang mencecah nilaian billion dollar.

Kejadian ini pastinya amat dibimbangi memberikan kesan besar ke atas pengeluaran makanan khususnya beras, sekaligus membawa kepada peningkatan mendadak harga makanan di pasaran antarabangsa. Negara-negara pengimpot dan rakyat dari kelompok miskin pastinya menjadi antara kelompok dan negara yang terjejas teruk.

Barangkali kita kurang menyedari bahawa indeks harga makanan dunia pada tahun 2011 menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Menurut indeks harga makanan global yang dikeluarkan UN Food and Agriculture Organization (FAO) sebelum ini, peningkatan harga makanan mencecah nilai tertinggi dalam sejarah iaitu 238 mata (points) pada bulan Februari 2011, jauh mengatasi indeks harga 213.5 mata ketika krisis kenaikan harga pada tahun 2008 yang lalu.

Angka tersebut kemudian mulai menurun memasuki bulan September 2011 kepada 225 mata, tetapi sebenarnya masih tinggi berbanding indeks harga pada September tahun 2010.

Kesan politik darinya ialah, peningkatan harga keperluan makanan yang melampau, dan inflasi telah dikaitkan menjadi antara penyebab utama kepada beberapa kejadian rusuhan yang menjatuhkan kerajaan di dunia Arab seperti Tunisia dan Mesir, dan kemudian merebak kepada beberapa buah negara lain seperti Syria dan Yaman. Dalam hal ini, rakyat rela menggadaikan nyawa untuk memastikan keperluan makanan mereka terjamin.

Perlu ditekankan bahawa, nilaian indeks ini belum mengambil kira kejadian banjir yang sedang melanda negara-negara Indochina. Susulan kejadian banjir ini, kerajaan Thailand sehingga kini terpaksa menangguh dan mengurangkan ekspot beras kepada negara-negara pembeli ekoran banjir yang telah menjejaskan sawah dan juga kilang padi di beberapa kawasan utama padi di negara tersebut.

Manakala, Vietnam pula gagal membuat penghantaran 520,000 tan setelah syarikat pengekspot gagal mendapatkan sumber dari pasaran domestik disebabkan kenaikan harga yang berlaku. Peningkatan harga beras juga dilaporkan berlaku di mana harga beras kualiti ekspot Thai 100 peratus gred B beras putih naik kepada USD670-USD680 satu tan minggu lalu dari tahap USD650 sebelumnya, manakala keadaan yang sama berlaku terhadap beras keluaran Vietnam yang melonjak kepada tahap tertinggi sejak tiga tahun lalu didorong oleh faktor stok yang semakin berkurangan dan anggaran peningkatan permintaan.

Sehubungan dengan perkembangan ini, pengguna di kalangan negara-negara di rantau ASEAN khususnya di kalangan pengimpot beras secara tidak langsung pastinya akan berdepan dengan situasi yang sukar. Walaupun pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlibat dengan krisis ini telah mengeluarkan kenyataan menjamin tiada kenaikan harga makanan akan berlaku susulan banjir yang melanda negara-negara Indochina, namun ia pasti akan menggusarkan pelbagai pihak.

Filipina sebagai contoh, merupakan negara pengimpot beras terbesar di dunia baru saja berdepan dengan dua bencana taufan yang merosakkan hampir 1 juta tan beras tidak diproses. Sebelum kejadian bencana itu berlaku, kerajaan Filipina mengeluarkan kenyataan untuk menghadkan jumlah impot beras kepada 500,000 tan untuk tahun 2012, dengan jangkaan pengeluaran yang tinggi dari sumber keluaran tempatan. Untuk tahun ini saja, Filipina telah mengimpot 860,000 tan, setelah mengimpot 2.45 juta tan untuk tahun 2010, menjadikannya negara pembeli terbesar di dunia.

Justeru, melihat kepada perkembangan semasa di mana kestabilan pengeluaran makanan dari sektor pertanian sering terjejas oleh pelbagai faktor, adalah tidak mustahil sekiranya untuk tahun-tahun berikutnya bukan sahaja kenaikan harga beras akan terus berlaku malah dikhawatiri komoditi penting ini akan berkurangan dipasaran.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada Indonesia dan Malaysia yang merupakan negara keempat dan ketujuh dalam senarai negara-negara pengimpot terbesar dunia. Dengan Thailand menjadi negara pembekal yang terjejas teruk, kerajaan kedua-dua negara terpaksa mencari alternatif lain untuk menampung keperluan yang masih berkurangan walaupun pada harga pasaran beras semasa yang tinggi dari Pakistan, India atau lain-lain negara.

Keadaan seperti ini memberi gambaran jelas bahawa sebuah negara perlu kepada pendekatan dasar keselamatan makanan yang baik dan mantap untuk memenuhi keperluan capaian makanan dalam pelbagai situasi. Pastinya yang terbaik ialah melalui pendekatan yang sustainable dan tahap kecukupan kendiri (self-sufficiency level) yang tinggi hatta walaupun terpaksa melabur pada kadar paling tinggi dan mahal.

Selain itu, pendekatan melalui kewujudan stok penimbal yang mampu menampung keperluan makanan negara untuk jangkamasa panjang juga perlu diberi pertimbangan seperti yang diamalkan oleh negara Jepun dan Korea. Namun, dalam masa yang sama kaedah penyimpanan selamat hendaklah diberi keutamaan.

Keadaan cuaca yang sering berubah dan tidak menentu hanya akan memburukkan lagi keadaan terutama kepada negara-negara yang sering terjejas dan bergantung kepada sumber impot. Barangkali, Negara kita turut terkesan dari fenomena ini, umpamanya apabila musim hujan dan kemarau yang sukar diramal.

Kejadian banjir besar seperti yang dialami Negara-negara Indocina kini, menunjukkan bahawa perubahan cuaca dan kemerosotan kualiti alam sekitar mampu memberi kesan tidak langsung kepada keselamatan manusia khususnya dengan terjejasnya sektor pertanian makanan dalam negara.

Justeru, dengan pendekatan polisi yang baik, kerajaan sesebuah negara sebenarnya masih mampu mengurangkan kesan krisis sekiranya berlaku atau pada tahap yang optima, mampu meningkatkan tahap keselamatan makanan dalam negara.



Atas rasa keinsafan mendalam itulah, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menjulungkan usul berkaitan keselamatan permakanan pada Kongres Agung Tahunan parti 2006 dan mengesahkan semula usul berkenaan pada Kongres seterusnya 2007,2008, 2009, 2010 dan 2011.

Bagi memperkukuh gagasan tersebut, NDP telah menjulungkan cadangan Pembangunan Mega Bersepadu Lembah Ukong pada Kongres Agung Tahunan NDP 2009 dan disahkan semula pada Kongres seterusnya 2010 dan 2011 yang akan menjadi pemangkin industri permakanan negara

Alhamdulillah, walaupun diperingkat awal, sesetengah kalangan memandang sinis dan memperkecilkan isu yang diangkat oleh NDP ini, namun tidak demikian pada pandangan Kebawah DYMM. NDP teruja dengan pandangan jauh Baginda yang sanggup turun kesawah merangsang rakyat agar menyambut gagasan kecukupan kendiri makanan asas yang tinggi.

Kebawah DYMM tidak jemu-jemu mengingatkan semua pihak mengenai isu keselamatan permakanan ini umpamanya, Baginda bertitah bersempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-62 Tahun pada Hari Selasa, 12hb Rejab 1429 bersamaan 15hb Julai 2008.

“…… kita juga perlu peka dengan krisis permakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluar beberapa jenis bijiran asasi, termasuk beras, telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.

Dan menambah kalut lagi apabila beberapa negara pengeluar terpaksa mengeluar stok simpanan beras mereka untuk diagihkan kepada rakyat masing-masing.

Kebimbangan semakin meningkat apabila Badan Dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan penduduk dunia.

Pertambahan penduduk dunia diramal meningkat dari 6.5 bilion (2006) kepada 7 bilion (2012). Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan permakanan yang terus merosot.

Ini ditambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran. Ini juga menjadi ancaman baru kepada kehidupan.

Kemudian dimerata tempat di dunia, terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat, seperti gempa bumi, angin kencang dan banjir besar, yang semuanya itu, turut menjejaskan pula sumber permakanan.

Kerajaan Beta telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah diberikan subsidi sekian lama.

Sama seperti minyak kenderaan, perbelanjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih saja ditahap biasa.

Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan. Lebih-lebih lagi beberapa buah Negara pengeluar telah dilihat menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain.

Maka dengan sebab itu, Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ‘ihsan alam’ luar negara untuk mendapatkan beras, walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.

Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini.

Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ketahap 100 peratus mencukupi, mangapakah kita, yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?

Pada ingatan Beta, perkara ini telahpun berulang kali Beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.

Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya. …”


Harapan kita semua disini ialah, pihak-pihak berkenaan tidak harus leka dan bergerak bagai pahat dengan penukul. Dalam konteks isu keselamatan permakanan ini, pihak berkenaan hendaklah konsisten melakukan penambah baikan prestasi dan system penyampaiannya. Kajian, tindakan dan penilaian (Research, action and evaluation) keberhasilan perancangan pertanian ini hendaklah dilakukan terus menerus bagi menjamin tercapainya hasrat murni Kebawah DYMM dan rakyat ini.
Wallaha'alam - (mmo)




No comments: