Posting mengikut label

Thursday, October 20, 2011

Masalah dan Halangan dalam pelaksanaan Perundangan Syariah

Suatu perkara yang harus kita akui ialah apa sahaja perubahan atau pembaharuan yang hendak dijalankan,masalah atau halangan adalah kenyataan yang perlu kita terima dan atasi dalam menjadikan perubahan atau pembaharuan yang ingin dilaksanakan mencapai maksud dan objektifnya. Malah, kalau kita lihat kepada sejarah, Rasulullah saw sendiri terpaksa menghadapi segala macam bentuk masalah dan halangan yang datang daripada kaumnya sendiri dalam usaha Rasulullah saw menjalankan misi dakwah.

Cabaran atau halangan yang paling kuat ialah daripada umat Islam itu sendiri. Sebagaimana Nabi saw dihalang dan dicabar oleh kaumnya sendiri, maka dalam hal pelaksanaan perundangan Islam ini juga, tentangan dan masalah itu adalah datang dari umat Islam yang menjadikan barat sebagai idola dan ikutan. Malah yang paling malang sekali, tentangan ini selalunya dipelopori atau diketuai oleh golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang perundangan sesebuah negara Islam, tetapi telah mendapat didikan dan pengetahuan undang-undang dari negara-negara barat. Barat telah menyogok dan menyuap mulut mereka ini dengan sampah-sampah kotor lagi keji yang dipandang mulia oleh golongan ini untuk disebarkan keseluruh negara Islam.

Prof A.Rahman I.Doi menyebut tentang hal ini :

Sungguh malang bahawa Common Law yang digunakan di kebanyakan negara Islam telah memberi kesan dan pengaruh yang kuat dalam fikiran saesetengah peguam dan sarjana Islam, hingga mereka turut mengkritik undang-undang syariah sebagai satu sistem perundangan yang kasar dan zalim.Untuk mengikis pandangan yang tidak betul ini, yang seolah-olah sebati dalam pemikiran para sarjana Islam yang terdidik dibarat akan mengambil masa yang lama dan panjang.Malah, bagi golongan bukan Islam pula, mereka ini tidak diberikan peluang untuk memahami sistem perundangan Islam. Akibatnya, wujudlah kempen-kempen jahat menentang hukum syariah…..[1]

Di antara masalah atau halangan serta cabaran yang penulis fikir perlu untuk dikaji dan dicari jalan penyelesaiannya ialah :

a) Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk.
b) Keadaan zaman yang sentiasa berubah dengan syariat yang lama.

Bagaimana melaksanakan perundangan Islam dalam masyarakat majmuk

Mungkin ada di kalangan umat Islam yang akan berkata “Bagaimana nak buat undang-undang Islam, sedangkan dalam negara kita ini ada macam-macam bangsa dan agama. Mesti diaorang marah dan akan menganggap ini satu kezaliman.”

Penyataan ini adalah salah satu penyataan yang akan kita dengar yang lahir dari mulut golongan yang tidak mahu undang-undang Islam dilaksanakan. Mereka ini sama ada tidak mahu perundangan Islam menjadi undang-undang yang diguna pakai dalam negara mereka atau pun sememangnya kenyataan itu lahir dek kejahilan dan kebodohan mereka dalam memahami sistem perundangan Islam.

Mari kita lihat bagaimana Islam menjawab persoalan ini :

Dalam pemerintahan berteraskan wahyu, keadilan menjadi asas yang paling utama dan prinsip pemerintahan Islam yang pertama. Ia dibawa oleh seluruh risalah ketuhanan semenjak dari zaman nabi Allah Adam as hinggalah kepada nabi Muhammad saw.Allah swt telah menjelaskannya dalam Al-Quran :

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan” [2]

Prinsip utama keadilan dalam undang-undang Islam berdasarkan kepada sikap saling hormat menghormati di antara sesama manusia, yang mana masyarakat yang adil bererti masyarakat yang menjaga taraf dan memperolehi kehormatan serta melalui berbagai-bagai peraturan kemasyarakatan yang menjadi kepentingan bersama.[3]

Firman Allah swt lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ الْهَوَى أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [4]

Lagi firman-Nya :

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُواْ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى

“dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” [5]

Dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kepada berlaku adil dalam setiap aspek kehidupan hatta dalam perundangan Islam sekali pun.Rasulullah saw semasa hayat baginda menjalankan sistem pemerintahan di Negara Islam Madinah juga terdapat masyarakat yang berbilang bangsa dan pegangan.Cara mentadbir masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar serta Yahudi dan Nasrani telah ditentukan oleh perlembagaan atau Sahifah Madinah. Orang Yahudi dan Nasrani selama mana mereka duduk di Madinah, tidak pernah dipaksa oleh Rasulullah saw untuk memeluk agama Islam. Malah undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka juga ialah undang-undang agama mereka. Ini dibuktikan apabila 2 orang yahudi yang berzina, mereka dihukum dengan hukuman yang terdapat dalam kitab Taurat.

Undang-undang Islam yang hendak dilaksanakan adalah undang-undang untuk orang-orang Islam sahaja. Bagi orang bukan Islam terdapat sedikit perbezaan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap mereka. Jika sesuatu kes atau kesalahan yang dilakukan oleh orang bukan Islam (ahli zimmah) dalam negara Islam, pihak hakim selaku wakil kepada pemerintah (Ulil Amri) boleh menolak kes itu ke mahkamah awam, iaitu kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah awam bagi mewakili masyarakat bukan Islam.

Ini dilakukan sebagai menepati kaedah Fiqh :

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

“Tindakan yang dijalankan oleh Imam (Ketua Negara) terhadap rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (perkara yang mendatangkan kebaikan untuk ummah)”

Kaedah tersebut dengan jelas menyatakan, sebarang tindakan atau keputusan yang hendak diputuskan oleh Imam atau ketua negara atau hakim yang mewakili ulil amri yang tidak terdapat nas atau dalilnya dalam Al-Quran dan As-Sunnah mestilah melihat kepada maslahah ummah dengan mengambil kira penjagaan terhadap semua aspek dalam kehidupan dan kemasyarakatan. Perkara ini sudah tentu berkait rapat dengan kebijaksanaan hakim dalam mengendalikan sesuatu kes.[6]

Sebagai contoh: Seorang bukan Islam yang telah melakukan kesalahan, kemudian dibawa ke mahkamah Syariah untuk diadili mengikut undang-undang Islam. Hakim ketika itu mestilah melihat kes tersebut dalam semua aspek yang berkaitan dengan maslahah umum. Sekiranya pengadilan yang akan dibuat nanti mencetuskan kemarahan atau ketidak puasan hati oleh tertuduh atau ahli keluarga tertuduh yang mungkin akan menyebabkan perkara yang lebih buruk berlaku, maka hakim berhak menolak kes tersebut untuk dibicarakan dan mengusulkan supaya ianya dibawa ke mahkamah awam yang mungkin boleh memberikan ketenangan dan kepuasan daripada tertuduh atau keluarganya walaupun hukuman yang akan diputuskan hakim mahkamah awam itu lebih berat.[7]




[1] A.Rahman I.Doi, Non-Muslim under Syariah (Islamic law), edisi terjemahan, Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin, Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah, 1992, hlm.13
[2] Al-Quran Al-Karim, Al-Hadid 57 : 25
[3] A.Rahman I.Doi, Non-Muslim under Syariah (Islamic law), edisi terjemahan, Wan Azmil Ramli dan Dr Muhammad Ariffin, Orang bukan Islam dibawah Undang-undang Syariah, 1992, hlm.7
[4] Al-Quran Al-Karim, An-Nisa’ 4 : 135
[5] Al-Quran Al-Karim, Al-Ancam 6 : 152
[6] Dr Abd Karim Zaidan, 2003, الوجيز في شرح القواعد الفقهية في الشريعة الاسلامية , hlm.120
[7] Hj Said Hj Ibrahim (bekas mufti Sabah), Jenayah Murtad dari sudut hukum syara’ dan perundangan Islam, 1998, hlm.153

No comments: