Posting mengikut label

Saturday, October 22, 2011

Takziah Buat Keluarga Colonel Muaamar Gaddafi

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh Almarhum Colonel Muaamar Gaddafi, Presiden Republik Arab Libya yang telah kembali kerahmatullah, dibunuh dalam satu pertempuran dengan penentang regime beliau subuh 20hb Oktober 2011. Alfatihah….

Suka atau benci, rakyat Brunei terhutang budi dengan Libya dibawah pimpinan Colonel Muaamar Gaddafi. Betapa tidaknya, Libya adalah salah sebuah negara yang menjadi penaja bersama resolusi PBB 3424(XXX) 8 Disember 1975, 31/56(XXX1) 1 Disember 1976 dan 32/27(XXX11) 9 Disember 1977 yang memecahkan kepungan politik dan psykologi penjajah British terhadap Brunei.

Tekanan politik dan diplomasi antarabangsa itu akhirnya menyembamkan muka penjajah kebumi. British tiada pilihan selain akur dengan tekanan komuniti antarabangsa lalu mengembalikan kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984, walaupun terdapat kalangan yang kuat menentang kemerdekaan Brunei itu sendiri.

Urutan dari komitmen politik dan diplomasi Libya itu, Republik Arab Libya telah menaja 32 orang pemuda Brunei untuk mengikuti program dakwah yang mengandungi modul ketenteraan pada bulan Mei – Dis 1976.

Strategi ini telah berjaya memperkukuh tekanan hebat PRB terhadap penjajah British agar mengotakan janjinya untuk memerdekakan Brunei pada kadar segera.

Libya telah diletakkan oleh Penjajah British sebagai seteru nombor satunya justeru tidak mahu ada sebarang pengaruh Libya keatas Brunei merdeka.

Amat malang sejarah hubungan rakyat Brunei dengan pemimpin-pemimpin Dunia Arab yang diteroka oleh Parti Rakyat Brunei(PRB) seawal 1970an tidak jauh perginya….

Alhamdulillah, apabila Brunei mencapai kemerdekaannya 1984, Brunei melalui jalan mudah diarena antarabangsa justeru laluan permaidani merah telah diorak terlebih awal oleh rakyat melalui PRB untuk dilalui oleh pemimpin yang dikasihi iaitu Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Demikianlah PRB menunaikan tanggungjawab politiknya dan menzahirkan kesetiaannya pada raja yang dikasihi dan di cintai walaupun pada takrif mereka yang membenci PRB semua itu adalah sebaliknya.

Kini sejarah sedih menyelubungi negara-negara yang kuat menyokong perjuangan kemerdekaan Brunei diperingkat antarabangsa satu ketika dulu, mereka mengalami senario politik dan keselamatan haru biru. Antaranya Libya, Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Afghanistan dan Somalia.

Ini setentunya adalah kehendak Allah jua. Namun demikian suatu yang boleh dipelajari oleh kita semua ialah, bagaimana kejatuhan dan kerosakkan yang tertimpa keatas negara-negara sahabat PRB itu berpunca dari kegagalan penguasanya mengurus kuasa – kuasa mutlak yang mereka perolehi itu, lalu kelemahan itu di"hijack" oleh musuh-musuh politik dan kuffar, akhirnya pisau yang tajam itu tertusuk didada sendiri. Wallaha’alam – (mmo).


No comments: