Posting mengikut label

Monday, October 17, 2011

Mengimbas kembali pandangan NDP mengenai isu Keselamatan Permakanan

Strategi keselamatan permakanan

LIMBARUH HIJAU 09 JULAI 2008 - Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menyambut baik pembaharuan komitmen pihak Kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada isu keselamatan permakanan negara (Food Security) dalam usahanya memajukan bidang pertanian dan perikanan serta sumber-sumber lain di negara ini.

NDP membuat kenyataan ini berikutan satu laporan bertajuk 'Negara perlu sediakan Pelan Sekuriti Makanan' yang di siarkan melalui Media Permata pada 08 Julai 2008.

Menurut laporan tersebut dalam keadaan dunia yang sekarang menghadapi krisis makanan, negara pula semakin terasa terpanggil untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Untuk itu negara sekarang melihat perlunya melaksanakan satu strategi yang bersepadu membabitkan empat tindakan dalam usaha membentuk Sekuriti Makanan Negara.

Pertama meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan, kedua, memiliki pengurusan pembekalan asing yang efisien, ketiga, mengadakan perjanjian antarabangsa mengenai perdagangan komoditi pertanian dan perikanan, dan keempat pengurusan rizab bahan makanan untuk sekuriti makanan negara.

"Keempat-empat tindakan itu perlu direalisasikan segera kerana kita melihat bagaimana keruncingan melanda rakyat dan penduduk sesebuah negara apabila makanan menjadi terhad dan harga komoditi berkenaan melonjak naik," kata pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Pengiran Hajah Mariana Pengiran Haji Abdul Momin yang dipetik sebagai berkata dalam laporan tersebut.

Sehubungan dengan laporan tersebut NDP bertanggapan kenyataan pemangku Setiausaha Tetap tersebut mengambarkan kepekaan pihak kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan negara yang semakin tercabar dikala dunia sekarang berhadapan dengan isu krisis makanan yang membimbangkan.

Ianya juga mengambarkan kepekaan pihak kerajaan terhadap kebimbangan rakyat dan penduduk negara ini yang semakin merasakan bahang krisis makanan yang sedang melanda dunia ketika ini. Kebimbangan rakyat ini sering di surakan oleh NDP sejak ianya di tubuhkan hampir 3 tahun lalu.

Apa yang jelas krisis makanan yang sedang melanda dunia telah membuatkan negara rasa terpanggil untuk menselaraskan semula usaha-usaha memenuhi keperluan ad hoc memajukan bidang pertanian dan perikanan untuk kepentingan PKS semata dengan matlamat yang lebih besar iaitu untuk menjamin keselamatan permakanan negara.

Dalam hal ini NDP melihat strategi yang di telah di rencanakan sangat bertepatan dan selari dengan pandangan NDP.

Justeru parti bertekad untuk terus menyokong dan mendokong segala usaha untuk mempastikan agenda sekuriti permakanan di berikan perhatian serious dalam sebarang perencanaan dan langkah untuk memajukan bidang-bidang pertanian dan perikanan di negara ini.

NDP akan terus mengangkat isu keselamatan permakanan ini sebagai antara agenda teratas seperti mana yang telah dilakukannya sejak Kongres Tahunan pertama pada 2006.

Baru-baru ini NDP telah mengangkat lagi isu keselamatan permakanan ini dalam Kongres Agung Tahunan NDP ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 - 22 Jun 2008.

Menyentuh isu keselamatan permakanan ini, Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy telah menyeru pihak-pihak berkenaan untuk meningkatkan usaha berlipat ganda membangunkan sektor persawahan dan penanaman rumbia yang merupakan makanan asas kedua penduduk negara ini.

Presiden NDP dalam Uacapn Dasar Presiden juga mengingaktkan titah Kebawah DYMM sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2006, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import

Beliau juga menekankan sebagai sebuah negara Islam, adalah menjadi kewajipan kerajaan mempastikan bahawa setiap rakyat mendapat bahan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan halal sebagai salah satu keperluan asas kehidupan.

Untuk itu katanya, pihak berkenaan hendaklah mewujudkan satu stockpile bahan makanan ruji sekurang-kurangnya untuk satu tahun bagi memastikan bekalan yang terjamin pada masa krisis, pada harga yang berpatutan.

Dalam masa sama Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 juga telah menerima usul berhubung isu keselamatan permakanan seperti berikut:.

Menginsafi betapa tingginya risiko keselamatan, ancaman ke atas kedaulatan bangsa dan negara akibat terlalu bergantung kepada negara-negara luar untuk mendapatkan keperluan bekalan makanan asas;

Menginsafi betapa setiap penduduk berhak mendapat bahan makanan terjamin cukup, berkhasiat, halal dan bermutu tinggi;

Menginsafi bahawa usaha menyediakan makanan yang cukup untuk rakyat adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sama ada semasa aman atau semasa krisis;

Menyedari betapa semua pihak perlu lebih inovatif dan agresif mengungkayahkan bidang pertanian dan ternakan bagi penghasilan bahan makanan untuk keperluan Negara sebagai strategi komersial dan keselamatan yang perlu diterokai dan diceburi;

Mengingati akan titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bertitah sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 mac 2006 bersamaan 15 Safar 1427, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import;

Mengingati akan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai krisis makanan yang dihadapi dunia pada hari ini dan ancaman berterusan kekurangan makanan akibat pengeluaran negara-negara pengeluar yang terjejas dengan perubahan iklim dan bencana alam yang tidak dapat diramal kini;

Mengingati usul mengenai keselamatan permakanan yang dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Pertama pada 22-23 April 2006;

Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-3 yang bersidang pada hari ini 22 Jun 2008 di International Convention Centre (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Keselamatan Permakanan yang telah di luluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 yang mendesak Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama mengambil langkah-langkah strategik bagi menghasilkan bekalan makanan yang cukup, berkhasiat dan bermutu demi keselamatan dan kesejahteraan negara dan rakyat sama ada semasa aman atau krisis; bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-3 pada hari ini menggesa kerajaan merangka dan mambangunkan dasar pertanian makanan yang mantap bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas khususnya beras dan sagu yang mencukupi; bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, disarankan membangun industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada bekalan import; bahawa pihak-pihak berkenaan menggiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan setiap bidang tanah yang ada, serta memacu dan merangsang industri asas tani yang berdaya maju dan menarik untuk diterokai secara komersial melalui usaha-usaha tambah nilai dengan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara pemerosesan dan pengeluaran makanan halal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa; dan membangunkan daerah Temburong dan Lembah Ukong di Daerah Tutong sebagai lembah pertanian dan jelapang bekalan makanan negara dengan menyediakan segala kemudahan infrastruktur, pembiayaan, bantuan pemasaran, galakan, bimbingan dan sokongan logistik yang bertepatan demi menjana inisiatif pertanian perladangan berskala besar ke arah melahirkan generasi petani moden yang dinamik dan berdaya saing.


Rasional

Bersandarkan hujah, semangat Kongres, Visi, Misi dan Objektif Utama Parti, usul ini telah disepakati untuk diketengahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan dengan mengambil kira rasional-rasional berikut:
- bahawa keselamatan negara dan kebajikan rakyat terikat kepada pelbagai faktor yang berubah-ubah (variable) dan amat terdedah kepada pergolakan politik negara pembekal bahan-bahan makanan asasi rakyat justeru nisbah pergantungan import begitu besar;
- bahawa perlunya kepada satu penggubalan dasar keselamatan permakanan dan komoditi sara diri yang menentukan hala tuju negara dalam bidang pertanian;
- bahawa pentingnya dibuat pengolahan dan penentuan nisbah strategik pengeluaran pertanian negara berbanding bekalan luar yang menjamin keselamatan negara dalam apa jua keadaan sama ada waktu aman atau semasa timbul sebarang pergolakan;
- bahawa perlunya keupayaan pengeluaran negara ditingkatkan melalui pembangunan infrastruktur, suntikan modal dan modal insan;
- bahawa negara mempunyai tanah dan potensi untuk penghasilan yang ekonomikal bagi produk-produk yang terpilih melalui pembudayaan pertanian rakyat dan pengeluaran makanan sara diri.

Program dan Pendekatan

- Penggunaan teknologi tertentu akan membantu mempercepatkan pembangunan dan peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan.
- Kawasan-kawasan baru perlu dibuka dan hendaklah di dukung dengan kemudahan infrastruktur, peraturan dan kemudahan sumber tenaga serta kewangan yang diperlukan bagi menjana pengeluaran.
- Pemberian bantuan dan skim atau grant tertentu perlu dipercepatkan bagi membantu mengembangkan, pembukaan kawasan, pembangunan komoditi dan industri asas tani yang berterusan dan berkekalan.
- Pemajuan R&D dalam bidang komoditi pertanian perlu diteruskan dan mengadakan jaringan kerjasama dengan institusi terlibat sebagai konsultan dan rujukan.
- Memasukkan tenaga mahir dari luar perlu dipermudahkan selagi ia diperlukan bagi menjamin pembekalan/pengeluaran hasil pertanian yang berterusan.
- Mutu hasil dengan “sijil standard” diperakui oleh kerajaan perlu ditawarkan kepada ladang/syarikat.
- Kumpulan sasaran dan bilangan usahawan perlu disasarkan sebagai usahawan perintis dalam bidang terlibat.
- Mempemudahan peraturan dalam penggunaan tanah, tenaga mahir dan pakar, modal atau kewangan bagi menggalakkan lebih ramai lagi usahawan dibidang pembangunan pertanian.
- Menubuhkan Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani yang boleh menjana perkembangan komoditi untuk eksport.
- Menentukan jenis komoditi hiliran untuk kemudahan eksport melalui agensi atau Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani.
- Penubuhan pusat-pusat pengumpulan hasil pertanian setempat secara berkumpulan.
- Penubuhan satu lembaga kewangan yang boleh menjana kemudahan keperluan ladang dan pembangunan industri kecil asas tani.
- Menggerak dan menggiat semula pembukaan kawasan-kawasan kemajuan pertanian luar Bandar. Skim ini hendaklah dimajukan semula berpandukan kepada asas dasar Kemajuan Pertanian Luar Bandar (KPLB) sebenar dengan penghasilan disasarkan kepada usaha mengurangkan import semasa.
- Penubuhan Kumpulan Petani Tradisi dan Peladang Subsistem untuk memasarkan hasil mereka secara kolektif dan bersatu kumpul, secara berpusat perkhidmatan yang menawarkan sumber keluaran tempatan. Ia akan bersatu dalam pengeluaran, pengurusan dan memasarkan hasil secara kontrak.
- Pihak kerajaan perlu menimbang supaya pembekalan beras dan gula diperbadankan supaya produk ini boleh dieksport semula ke luar negara melalui nilai tambah. Cara ini akan dapat mengembangkan pembangunan usahawan kecil.

Rumusan

Bahawa isu keselamatan permakanan dan penjanaan komoditi sara diri hendaklah dilihat dan diiktiraf sebagai persoalan strategik dan keselamatan negara dan bangsa bagi menjamin tersedianya makanan yang cukup dan terjangkau oleh rakyat dan menamatkan ketergantungan dari luar negara yang melampau.

Diterbitkan dalam ASPIRASI NDP, Vol 32, Keluaran Julai 2008



No comments: