Posting mengikut label

Tuesday, November 22, 2011

Hukum dakwa hudud 'out-of-date'


DATO’, sering kita lihat penulisan terutamanya dalam blog-blog di internet dan juga kita dengar dalam ceramah-ceramah politik, ada umat Islam menyebut secara langsung atau tidak langsung, bahawa hukuman hudud sudah tidak relevan lagi dengan zaman tanpa sempadan ini. Ada yang kata hudud 'out-of-date' (ketinggalan zaman). Bagaimana Dato’ melihat pendapat mereka ini dan apakah hukum Islam terhadap mereka?

YANG INGIN TAHU
Mentakab, Pahang

INILAH masalah ummah, terutamanya kita di Malaysia yang sering kali tenggelam timbul dalam permasalahan besar ini, yang kadang-kadang diremehkan segelintir daripada kita, tanpa memikir kesannya terhadap keimanan kita kepada Allah SWT.

Ya, benar saya juga pernah berhadapan dengan mereka yang mengungkapkan kata-kata sedemikian. Pada saya hal ini amat menyayat hati dan meremang bulu roma saya, akibat ketakutan kemurkaan Allah kerana tergamak manusia yang daif dan serba kekurangan dalam segala hal, sanggup meremehkan, mencela serta merendah-rendahkan hukum-hukum Allah yang Maha Agung. Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Hukuman-hukuman hudud, adalah hukuman dari Allah yang telah ditetapkan dengan jelas, terang serta nyata dalam Al-Quranul Karim, menerusi ayat-ayat dalam surah-surah, antaranya berikut:
i. Surah al-Maidah, ayat 44,45,47,48, 49 dan 50.
ii. Surah al-Baqarah, ayat 187 dan 229.
iii. Surah an-Nisa, ayat 14.
iv. Surah at-Taubah, ayat 63.

Banyak lagi dalam surah-surah lain, yang semuanya, atau keseluruhannya menyebut dengan terang mengenai hukuman-hukuman hudud yang wajib dilaksanakan.

Ulama-ulama yang muktabar telah berijmak, wajib melaksanakannya. Mengingkari atau menghinanya, rosaklah akidah.

Hukum-hukum Allah selama-lamanya relevan, kerana Allah mencipta hukum-hukum itu dengan ilmunya yang maha luas, mengetahui yang dahulu, sekarang dan akan datang, malah mengetahui zahir dan batin manusia.

Allah mengetahui keperluan yang segera dan akan datang, mengetahui keperluan dunia dan kebaikan akhirat.

Oleh kerana itu, hukum Allah mengambil kira semuanya. Maka ia tetap relevan sehingga ke akhir zaman.

Firman Allah (mafhumnya):
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)." (Surah al-Baqarah, ayat 255)

Itulah ayat Kursi yang kita baca setiap hari. Cumanya kebanyakan kita tidak merenungi mesej yang Allah sampaikan dalam ayat itu. Ia patut sangat direnungi.

Siapalah kita yang sanggup meremeh dan merendah-rendahkan hukum Allah? Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia yang mencipta manusia dalam keadaan lemah longlai.

Firman Allah (mafhumnya):
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah." (Surah an-Nisa, ayat 28)

Firman Allah (mafhumnya):
"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia daripada (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati)." (Surah Yasin, ayat77)

Gaya bahasa yang sering digunakan golongan penentang ini antaranya, undang-undang Islam sudah tidak relevan, 'out-of-date' atau ketinggalan zaman, adalah dengan nyata menghina hukum Allah.

Pada waktu yang sama golongan ini menjulang tinggi undang-undang ciptaan manusia yang disifatkan mereka sebagai 'up-to-date', kononnya lebih maju dan berdaya saing.

Golongan ini ditempelak Allah menerusi firman-Nya (mafhumnya):
"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah (ciptaan manusia)? Padahal, kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Surah al-Maidah, ayat 50)

Golongan yang pernah terlanjur kata atau masih termasuk dalam golongan ini, saya menyeru agar anda kembali kepada Allah. Bertaubat nasuha kepada-Nya, seperti yang Allah sarankan menerusi firman-Nya (mafhumnya):
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." (Surah az-Zumar, ayat 54)

Insaflah wahai saudara yang seagama denganku. Wallahua'lam.

Dipetik dari - Harakah, 21-24 November 2011.

Artikel lepas yang berkaitan:
1. SEGERA LAKSANA HUKUM ALLAH
2. HUDUD: MALAYSIA PATUT CONTOHI BRUNEI
3. Pandangan sarjana luar mengenai pelaksanaan Undang-undang Islam
4. Masalah dan Halangan dalam pelaksanaan Perundangan Syariah
5. LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARI'AH

No comments: