Posting mengikut label

Thursday, November 17, 2011

Isu Kebergantungan Ekonomi Brunei

3 cabaran utama pelbagaikan ekonomi
Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov - Brunei Darussalam menghadapi tiga cabaran utama dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak terlalu bergantung kepada industri minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Vincent Cheong berkata, tiga cabaran utama itu ialah terlalu bergantung pada eksport minyak dan gas, sebahagian besar penduduk bekerja dengan pihak kerajaan dan keadaan pasaran serta perniagaan yang bersaiz kecil.

Menurut beliau perangkaan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi bagi 2010, menunjukkan bahawa 90.5 peratus daripada keseluruhan eksport negara bagi tempoh berkenaan berjumlah $12.7 bilion, adalah dari Industri Minyak dan Gas, manakala 5.9 peratus pula dari industri metanol.

"Perangkaan itu menunjukkan bahawa Brunei masih lagi terlalu bergantung kepada industri minyak dan gas. Sehubungan itu, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi mempelbagaikan lagi ekonomi negara untuk tidak terlampau bergantung pada minyak dan gas," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk, What Is Your Compass?, semasa Sambutan Hari Antarabangsa Sekolah Antarabangsa Jerudong, hari ini.

Ceramah itu dihadiri oleh lebih dari 30 penuntut-penuntut Tahun 13, Sekolah Antarabangsa Jerudong, di mana ceramah dihasratkan selain untuk memberikan maklumat mengenai dengan hala tuju dan perkembangan ekonomi Brunei, juga diharap akan memberikan mereka pendedahan kepada peluang-peluang kerjaya bagi mereka di masa akan datang.

Mengulas mengenai dengan cabaran yang dihadapi oleh Brunei lagi, Vincent berkata bahawa lebih daripada 52 peratus, pekerja di Brunei berkhidmat dengan kerajaan di mana jumlah itu tidak termasuk mereka yang berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Keadaan itu adalah amat berbeza dengan keadaan pekerjaan di negara lain di rantau Asia Tengara. Sebagai contoh di Singapura, hanya kira-kira 8 hingga 10 peratus sahaja yang berkhidmat dengan kerajaan manakala di Malaysia dianggarkan di antara 10 hingga 12 peratus pula berkhidmat dengan kerajaan.

Beliau juga berkata cabaran yang turut dihadapi adalah saiz perniagaan atau syarikat Brunei yang kecil di mana lebih dari 55 peratus perusahaan atau syarikat di Brunei hanya mempunyai 1 hingga 5 orang kakitangan dan lebih dari 89 peratus perusahaan atau perniagaan pula mempunyai kurang dari 20 pekerja.

Oleh itu, BEDB mempunyai peranan yang dimainkan dalam membantu menjana pembangunan dan mempelbagaikan ekonomi negara menerusi empat teras penting iaitu untuk menarik pelabur-pelabur untuk melabur di Brunei, memperkukuhkan perusahaan atau perniagaan tempatan, meningkatkan penyelidikan dan inovasi serta melaksanakan projek-projek infrastruktur yang diperlukan.

Dipetik dari - Media Permata Online, Sabtu/Ahad, 12/13 November 2011

No comments: