Posting mengikut label

Saturday, November 5, 2011

Pertanian, agrimakanan memberangsangkan

Oleh: Salawati Haji Yahya
(Media Permata Online, Selasa, 1 November 2011)

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt - Sektor pertanian dan agrimakanan negara terus mencatatkan perkembangan dan kemajuan memberangsangkan sejak perisytiharan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan pada 2009 di mana beberapa komoditi menunjukkan peningkatan pengeluaran yang ketara.

Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan Hajah Aidah Haji Mohd Hanifah berkata, antaranya seperti sayur meningkat daripada 84.3 peratus kepada 85.7 peratus manakala beras pula melonjak daripada 2.80 peratus kepada 3.31 peratus.

Sementara itu, hasil tanaman pula meningkat daripada 8.2 peratus kepada 8.3 peratus, tanaman hiasan meningkat daripada 31.2 peratus kepada 75.2 peratus, kambing daripada 3.5 peratus terus meningkat kepada 8.1 peratus dan peratus kecil peningkatan dalam industri agrimakanan.

"Pengeluaran tempatan bagi ayam pedaging dan telur masih lagi kekal hampir mencapai 100 peratus tahap sara diri dan kejayaan ini sanggat menggalakkan," katanya dalam temu bual eksklusif sempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2011 yang akan disambut esok. Tema sambutan bagi tahun ini ialah Makanan Terjana Negara Selamat.

Menurut Hajah Aidah, setakat ini, seramai 5,039 pengusaha bergiat aktif dalam perusahaan sektor pertanian yang merangkumi industri ternakan, tanaman dan pemprosesan makanan berasaskan pertanian dengan melibatkan kawasan sejumlah 8,142.91 hektar.

No comments: