Posting mengikut label

Tuesday, November 29, 2011

TITAH KDYMM SEMPENA TAHUN BARU HIJRAH 1433



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Bersempena menjelang Tahun Baru Hijriah 1433, kita tidak lupa merafakkan syukur dan pujian yang sebanyak-banyaknya kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya yang tidak putus-putus kepada kita, khasnya bagi sepanjang tahun 1432 membawa kepada tahun 1433 ini.

Rahmat Allah ini menyeluruh kepada semua kalangan di antara kita, sama ada kalangan individu, mahupun kalangan keluarga dan malah negara.

Di tempat lain terlalu banyak cerita sedih, tetapi di negara ini alhamdulillah, Allah telah menyelisihkan kita dari perkara-perkara yang tidak diingini.

Tidak siapa mahu kepada perkara-perkara yang menakutkan yang tidak diingini itu, seperti bencana- bencana alam, wabak-wabak dan huruhara. Tetapi apabila ia datang, tidak siapa pun yang dapat mengelaknya.

Semaju atau sekuat manapun orang tidak akan mampu untuk menolak ketentuan Allah. Bencanakah, atau wabakkah, atau krisis-krisis dalam negara adalah semua itu dari ketentuan Allah jua.

Pada hemat beta, tidaklah berlaku sesuatu itu melainkan ada dengan sebab-sebabnya, termasuklah segala fenomena kejadian di muka bumi ini, ia tidak berlaku dengan sendirinya, sebagaimana yang disangkakan oleh setengah pihak.

Ia berlaku dengan kehendak Allah jua, supaya timbul rasa insaf di hati manusia dan dengan segera akan bertaubat kepada-Nya. Inilah dia hikmah di sebalik kejadian - kejadian pahit tersebut.

Kalaulah kita mahu untuk mengambil pengajaran daripadanya, nescaya ada harapan untuk kita akan selamat daripada sebarang mala petaka, berdasarkan Allah itu sangatlah menyayangi para hamba-Nya yang taat dan membenci mereka yang derhaka.

Perkara ini, rasa-rasanya telah pun menjadi kenyataan kepada kita di bumi yang bertuah ini, Negara Brunei Darussalam, di mana dengan kurnia Allah jua, kita telah dan sedang menikmati keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berpanjangan, yang tidak dinikmati oleh orang lain.

Kerana itu, azam beta adalah semakin kuat, untuk menjadikan Brunei Darussalam ini benar-benar sebuah 'Negara Zikir' yang mendaulatkan hukum dan undang-undang syariat Allah di dalamnya, dengan akhlak mulia menjadi pakaiannya, di samping juga pandai menghormati jiran dan ikhlas menghulurkan tangan kepada semua sahabat dan rakan di seluruh jagat ini.

Beta melihat, dari kesan- kesan zikir, doa dan amal salih yang telah dan sedang rancak berjalan di negara ini, makanya Allah Subhanahu Wata’ala telah mencurahkan rahmat-Nya yang melimpah-limpah kepada kita, sehingga apa yang kita dan negara ini nikmati, sukar untuk diraih oleh orang lain.

Beta berdoa semoga Brunei tetap selamat dan maju, beroleh pemeliharaan Allah di dalamnya, mendapat pertolongan dan perlindungan dari segala macam bencana dan anasir yang tidak diingini.

Akhirnya, beta dan keluarga beta mengucapkan Selamat Tahun Baru 1433 Hijriah kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada. Jalanilah Tahun Baru ini dengan azam baru dan hiasilah ia dengan amal takwa, insya-Allah, kejayaan dan kebahagiaan akan menunggu kita.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: