Pelita Brunei Online – 7 Jun 2009)
PENGKALAN BATU, Sabtu, 6 Jun. - Musim Penuaian Padi bagi Beras Laila dijangka akan dijalankan secara besar-besaran pada pertengahan bulan Ogos depan.
Ketika meninjau perkembangan penanaman padi di Ladang Penanaman Padi Wasan, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Awang Yahya, menjelaskan kepada para media, pemilihan penuaian itu dicadangkan akan diadakan bagi menandakan musim menuai dan perkembangan penanaman padi statusnya sangat memuaskan ketika ini dan diharap akan membawa kejayaan dan menepati sasaran ke arah mencapai pengeluaran beras di Negara Brunei Darussalam di musim penuaian nanti.
Yang Berhormat menambah, penanaman padi ketika ini, walaupun di luar musim, kita menghadapi pelbagai cabaran termasuk terdapatnya binatang-binatang perosak seperti burung, dan sebagainya, keadaan panas terik namun segalanya dapat diatasi. Sementara itu saliran air ke ladang dapat disiapkan walaupun tidak sepenuhnya.
Pelaksanaan Program Peningkatan Beras di Negara Brunei Darussalam adalah menyahut seruan murni yang telah beberapa kali dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam antaranya menegaskan bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras.
Ke arah ini, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah merancang untuk meningkatkan pengeluaran beras daripada 3,15 peratus sara diri (982.9 metrik tan setahun) kepada 20 peratus sara diri (kira-kira 5,800 metrik tan setahun) pada tahun 2010 (Pelan Jangka Pendek); dan seterusnya ke tahap 60 peratus sara diri (kira-kira 18,000 metrik tan setahun) pada tahun 2015 (pelan Jangka Sederhana). Perkara-perkara yang akan menjadi penentu tercapainya matlamat sara diri dalam pengeluaran beras tempatan adalah pengeluaran, permintaan dan harga pasaran serta kos pengeluaran.
Beras merupakan salah satu komoditi dan makanan asasi dan utama di negara ini dan pengeluaran padi secara tidak langsung menyumbang kepada kepentingan keselamatan pemakanan negara. Bagi mencapai tujuan tersebut, di samping sebagai salah satu usaha mempelbagaikan ekonomi negara, kerajaan melalui Rancangan Kemajuan Negara kelapan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek-projek tertentu bagi meningkatkan penghasilan padi negara.
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengisytiharkan nama baru bagi salah satu varieti beras tempatan yang dihasilkan di negara ini sempena dengan Majlis Pelancaran Penanaman Padi Ke Arah Mencapai Sara Diri Pengeluaran Beras di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di kawasan Ladang Penanaman Padi Wasan di sini pada 27 April lepas dengan nama ‘Beras Laila’ yang dahulunya dipanggil sebagai BDR1 itu ditanam secara besar-besaran di kawasan ladang berkenaan pada tarikh berkenaan.
Pengeluaran padi/beras bagi varieti baru ini telah diusahakan oleh Jabatan Pertanian dan beberapa pengusaha padi sejak tahun 2006 di mana didapati prestasi dan hasil varieti ini adalah memuaskan iaitu sekitar 3 metrik tan sehektar berbanding dengan varieti tempatan yang ditanam pada masa ini yang hanya dihasilkan setahun sekali iaitu kira-kira 1 metrik tan sehektar.
Varieti ini juga adalah dari jenis padi yang rendah, tidak mudah rebah dan boleh ditanam dua kali setahun dan berasal dari ‘International Rice Research Institute' di Republik Filipina dengan nama asal IR67406-6-3-2-3.
Sebelum ini, Jabatan Pertanian merujuk varieti ini sebagai BDR1 (Brunei Darussalam Rice One) bagi pengenalan awal.
Beras Laila ini mempunyai nutrien mikro yang lebih berpatutan, kandungan karbohidrat dan serat (nutrien makro) yang rendah dan kandungan protein yang lebih tinggi berbanding dengan beras Hom Mali (Thai).
Beras Laila ini juga setanding dengan beras Adan dalam kandungan tenaga, lemak, karbohidrat dan serat manakala kandungan proteinnya lebih tinggi berbanding kandungan protein beras tempatan.
Kerajaan KDYMM melalui Jabatan Pertanian menggalakkan rakyatnya mengusahakan penanaman padi, diperuntukkan sawah-sawah padi dengan memberi kemudahan-kemudahan asas seperti jalan-jalan raya dan perparitan, hasil yang diperolehi peladang-peladang dibeli pihak jabatan dengan harga menarik kemudian dijual kepada orang ramai dengan harga subsidi yang mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Ketika ditemui Pemangku Pengarah Pertanian, Dayang Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri menjelaskan padi yang ditanam pada 27 April lepas didapati berkeadaan subur dan akan berbunga setelah 75 hari selepas ditanam dan lebih kurang 40 hari lagi.
Menurutnya, Jabatan Pertanian sentiasa memantau di seluruh negara bukan sahaja di kawasan Penanaman Padi di Wasan bagi memastikan hasil-hasil sistem tanaman yang teratur, iaitu sistem membaja, di samping memberi tunjuk ajar kepada para peladang mengenai pengawalan penyakit dan musuh.
Menurutnya, bekalan baja baru sahaja sampai fasa pertama iaitu sebanyak 6,000 pek, yang akan digunakan oleh peladang untuk membaja selepas 40 hari. Baja-baja ini adalah subsidi Jabatan Pertanian untuk para peladang yang berdaftar sahaja. Jabatan ini akan menambah bagi bekalan baja keperluan satu tahun dan dan terutama sekali untuk mengusahakan penanaman padi bagi bulan Oktober dan November nanti.
“Bantuan susbidi juga dilaratkan di daerah-daerah lain, Tutong, Belait dan Temburong. Jadi Bulan Oktober dan November nanti, kita akan menyediakan penanaman 400 hektar bagi Beras Laila dan mengusahakan penanaman padi sebanyak 2,300 hektar semua daerah,” tegasnya ketika ditemubual oleh wakil-wakil media ketika meninjau perkembangan penanaman padi bagi Beras Laila di sini.
Mengenai kerjasama dengan pihak Filipina, pihaknya telah membuat kajian dengan menyediakan lebih 200 varieti, samada ada ianya sesuai ditanam di negara ini, dan ianya juga melihat akan peranan musuh dan penyakit yang lebih penting dengan kualiti beras dan ianya diterima oleh rakyat Brunei. Musim penuaian nanti beras-beras akan dicubakan kepada orang ramai dan mencari jenis-jenis digemari dan sesuai ditanam di Negara Brunei Darussalam.
(Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor dan Bolhassan Haji Abu Bakar)
Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Saturday, November 5, 2011
Penuaian padi besar-besaran beras ‘Laila’ dijangka pertengahan bulan Ogos depan
Labels:
KESELAMATAN MAKANAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment