WALAUPUN baginda Nabi kita Muhammad s.a.w. telah menutup amalan hijrah, dengan berlakunya pembukaan Kota Makkah pada 10 Ramadan tahun 8 Hijrah, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda "Tidak ada hijrah selepas daripada pembukaan Kota Makkah, tetapi jihad dan niat masih berterusan maka apabila kamu diseru maka hendaklah kamu segera pergi."
Baginda s.a.w. berhijrah bukan kerana takut, tetapi ini adalah arahan daripada Allah SWT untuk membina pangkalan dakwah yang baru apabila Islam ditolak orang kampung dan suku sakatnya sehingga sampai mereka hendak membunuh baginda apabila saluran diplomasi tidak boleh menamatkan usaha menyebarkan Islam.
Kaum Quraisy bertambah ganas terhadap baginda selepas kematian Siti Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib, kerana tidak ada lagi orang yang mereka segani di dalam masyarakat. Selama ini orang Quraisy hanya memendam rasa kemarahan kepada baginda, tetapi apakan daya kerana sistem dalam masyarakat Quraisy apabila seorang itu mendapat perlindungan daripada orang kenamaan maka mereka tidak boleh mengganggu.
Bukan baginda tidak sayang Makkah yang menjadi tempat tumpah darah baginda, tetapi baginda lebih sayang kepada arahan Allah SWT, maka baginda dan sahabat meninggalkan Kota Makkah menuju ke Yathrib (Madinah).
Oleh itu hijrah menjadi satu tuntutan fardu ain bagi setiap mereka yang mampu untuk mencapai matlamat yang digariskan oleh Allah SWT.
Menjadi tugas kepada kita untuk melaksanakan falsafah hijrah yang masih ada untuk kita lakukan demi mencapai cita-cita perjuangan di atas muka bumi ini.
Ketika kita berusaha untuk memahamkan masyarakat kepada Islam yang sebenar, bukan Islam yang samar-samar maka kita memerlukan kepada jihad yang berterusan. Kerana pemikiran masyarakat pada ketika ini yang sudah rosak hasil daripada penjajahan pemikiran yang sudah lama bertapak di negara ini.
Bukan senang untuk menghijrahkan masyarakat daripada fahaman sekular yang sudah berakar umbi sejak turun temurun.
Hijrah memerlukan kepada strategi yang hebat untuk mencapai matlamat hijrah.
Kejayaan baginda apabila memiliki negara telah memberi ialuan kepada baginda dan para sahabat untuk membentuk hadaharah (peradaban) politik dalam negeri dan antarabangsa, masalah ekonomi dalam segala aspek dan segala sistem kehidupan dapat dilaksanakan secara praktikal.
Ketika baginda di Makkah baginda hanya mampu menyeru tetapi tidak mampu untuk menghukum mereka yang melawan Allah SWT, tetapi di Madinah baginda sudah ada kuasa untuk melaksanakan.
Mereka yang berhijrah meninggalkan kampung halaman telah diberikan pertolongan oleh saudara mereka yang berada di Madinah yang digelar sebagai golongan Ansar. Mereka menyambut orang Muhajirin seperti mereka menunggu kepulangan orang yang mereka sayangi, ini semua adalah anugerah Allah kepada orang muhajirin kerana Allah melontarkan perasaan kasih antara mereka.
Firman Allah SWT: "Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itu lah orang-orang yang benar-benar beriman. Untuk mereka keampunan dan rezeki yang mulia" (al-Anfal:74)
Baginda s.a.w. seorang pakar strategi mengatur langkah hijrah. Jika tanpa kepintaran baginda mengatur strategi ini kejayaan hijrah tidak akan berjalan dengan lancar. Baginda dikepung dari pelbagai sudut pada ketika itu tetapi, Alhamdulillah dengan pengaturan baginda yang penuh dengan kerahsiaan sehingga tidak siapa pun manusia yang tahu, malahan Sayidina Abu Bakar yang menjadi orang kepercayaan baginda sekali pun tidak diberi tahu bilakah baginda hendak berhijrah.
Baginda mengambil jalan yang tidak pergi terus sebaliknya bersembunyi di Gua Thur selama tiga malam untuk mengelirukan perancangan musuh.
Pengajaran Hijrah
Baginda Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang pakar strategis dalam semua hal, peristiwa hijrah adalah contoh kehebatan baginda dalam merancang dan melaksana sehingga baginda berjaya sampai di Madinah.
Perbuatan baginda ketika merancang untuk berhijrah membuktikan bahawa perjuangan Islam tidak cukup hanya dengan berdoa sahaja tanpa perlu berusaha.
Pada hal baginda boleh berdoa kepada Allah untuk menerbangkan baginda sampai ke Madinah tanpa bersusah payah. Tetapi baginda telah menunjukkan jalan yang sukar ketika berhijrah supaya umatnya memahami perjuangan memerlukan pengorbanan.
Dipetik dari - Harakah, 28 November - 1 Disember 2011.
No comments:
Post a Comment