Posting mengikut label

Saturday, November 5, 2011

BERAS ‘LAILA’ SASAR PENGELUARAN CAPAI SARA DIRI

(Pelita Brunei Online - 28 April 2009)

PENGKALAN BATU, Isnin, 27 April. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengisytiharkan nama baru bagi salah satu varieti beras tempatan yang dihasilkan di negara ini sempena dengan Majlis Pelancaran Penanaman Padi Ke Arah Mencapai Sara Diri Pengeluaran Beras di Negara Brunei Darussalam dan pengisytiharan nama baru bagi beras tempatan yang berlangsung di Kawasan Ladang Penanaman Padi Wasan di sini.

Pengisytiharan nama bagi ‘Beras Laila’ yang dahulunya dipanggil sebagai BDR1 itu akan ditanam secara besar-besaran di kawasan ladang berkenaan.

Nama beras baru itu adalah hasil ciptaan Dayang Mardiah binti Haji Ramli, Pegawai Sejarah, Bahagian Perkhidmatan, Pusat Sejarah Brunei, pemenang pertandingan mencipta nama beras anjuran Jabatan Pertanian.

Ketika ditemui oleh wakil Pelita Brunei, Dayang Mardiah berkata nama ‘Laila’ merupakan bahasa Melayu Brunei yang bermaksud tersangat (perihal kebaikan, adil, bahagia, baik). Perkataan ‘Laila’ dipilih bagi memperingati titah pertama KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu baginda menaiki takhta pada 5 Oktober 1967 yang berbunyi:

‘…maka beta selaku Sultan dengan sedaya-upaya Beta akan berusaha pada menjalankan dasar-dasar Paduka Ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara dan mengharumkan nama baik negeri Brunei Darussalam juga mementingkan laila usaha meninggikan taraf kehidupan rakyat melalui laila rancangan dan kesejahteraan perkembangan negara yang telah dan sedang dibuat oleh Paduka Ayahanda dahulu, dan mudah-mudahan dengan izin Allah, Beta juga sentiasa akan menjaga dan memelihara dengan tidak kendur-kendurnya laila usaha mengenai ugama Islam benar-benar dan Adat Istiadat Negeri Brunei’.

‘Laila’ seperti sumber yang dipetik dari Pusat Sejarah, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan menurut beliau, merupakan suatu perkataan yang bererti adil, bahagia, baik dan juga digunakan untuk menunjukkan sesuatu kesayangan yang menarik perhatian, berkesan dihati, nyata kebisaiannya, menyerlah kecantikannya, merupakan amat baik, berkebolehan, amat cantik, amat elok (elok dipandang mata), amat segak dan bergaya (gaya yang sempurna), gagah, berani, tersusun rapi dan adil laila bahagia.

Contoh perkataan laila yang digunakan untuk menunjukkan keistimewaannya adalah seperti berikut iaitu, laila perkasa, laila bangsawan, laila setiakawan, laila dermawan, laila kebajikan, laila berkesan, laila insan, laila jamput, laila binar, laila budi, laila setuju, laila fikiran, laila wahai dan sebagainya.

Pengeluaran padi/beras bagi varieti baru ini telah diusahakan oleh Jabatan Pertanian dan beberapa pengusaha padi sejak tahun 2006 di mana didapati prestasi dan hasil varieti ini adalah memuaskan iaitu sekitar 3 metrik tan sehektar berbanding dengan varieti tempatan yang ditanam pada masa ini yang hanya dihasilkan setahun sekali iaitu kira-kira 1 metrik tan sehektar.

Varieti ini juga adalah dari jenis padi yang rendah, tidak mudah rebah dan boleh ditanam dua kali setahun dan berasal dari ‘International Rice Research Institute di Republik Filipina dengan nama asal IR67406-6-3-2-3.

Sebelum ini, Jabatan Pertanian merujuk varieti ini sebagai BDR1 (Brunei Darussalam Rice One) bagi pengenalan awal.

Beras Laila ini mempunyai nutrien mikro yang lebih berpatutan, kandungan karbohidrat dan serat (nutrien makro) yang rendah dan kandungan protein yang lebih tinggi berbanding dengan beras Hom Mali (Thai).

Beras Laila ini juga setanding dengan beras Adan dalam kandungan tenaga, lemak, karbohidrat dan serat manakala kandungan proteinnya lebih tinggi berbanding kandungan protein beras tempatan.

Dalam Perlaksanaan Program Peningkatan Beras di Negara Brunei Darussalam bagi menyahut titah Kebawah DYMM, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber utama telah merancang untuk meningkatkan pengeluaran beras daripada 3,15 peratus sara diri (982.9 metrik tan setahun) kepada 20 peratus sara diri (kira-kira 5,800 metrik tan setahun) pada tahun 2010 (Pelan Jangka Pendek); dan seterusnya ke tahap 60 peratus sara diri ( kira-kira 18,000 metrik tan setahun) pada tahun 2015 (pelan Jangka Sederhana). Perkara-perkara yang akan menjadi penentu tercapainya matlamat sara diri dalam pengeluaran beras tempatan adalah pengeluaran; permintaan dan harga pasaran serta kos pengeluaran.

(Oleh : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Mohd. Noor, Bolhassan Hj. Abu Bakar dan Siti Zuraihah Sulaimann)

No comments: