Atasi cabaran uhkrawi secara serius
ALHAMDULILAHI Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba’du.
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Walillahil Hamd.
Segala puji bagi Allah yang telah mensyariatkan Aidiladha sebagai Hari Besar kita umat Islam. Kalau hari-hari besar lain datangnya daripada manusia, tetapi Aidiladha dan Aidilfitri adalah mutlak daripada Allah. Kerana itu wajar ia disambut dan dirayakan sebagai tanda kita bersyukur.
Tidak ada makna main-main atau hanya berseronok-seronok dalam Hari Raya, melainkan semuanya itu adalah ibadat jua.
Kita melihat anak bulan untuk menentukan puasa adalah ibadat. Begitu juga melihat anak bulan Syawal untuk menentukan Hari Raya, juga ibadat. Kemudian melihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Hari Wuquf di Arafah dan Aidiladha, semuanya itu ibadat belaka.
Pada Hari Raya, ibadat itu adalah lebih ketara lagi dengan kita disunatkan bertakbir dan sembahyang Hari Raya serta menyembelih korban.
Demikianlah Hari Raya, berstatus ibadat dan kebajikan.
Inilah kelainan Islam selaku agama samawi atau agama langit. Ajaranajarannya tetap berpaksi ibadat dan kebajikan walaupun di dalam masa-masa suka. Suka, bukanlah suka melulu, tetapi suka sambil beribadat, atau suka sambil membuat kebajikan.
Misalnya disunatkan kita berpakaian baru dan beramai-ramai ke masjid. Tidakkah berpakaian baru dan ramai-ramai ke masjid itu suatu perkara yang menyukakan hati?
Begitulah, Islam tidak mengabaikan faktor naluri, namun di samping itu, ia juga tidak membiarkan naluri itu menguasai kita. Kerana itulah, boleh saja bersukaria tetapi dengan tidak melupakan matlamat. Matlamat ialah ibadat kepada Allah.
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Walillahil Hamd.
Aidiladha adalah lambang pengorbanan dan keberanian luar biasa. Ia dilihat sebagai pendorong untuk umat Islam terus istiqamah membaiki nasib, kerana menurut baginda nasib itu tidak akan berubah jika umat sendiri tidak mahu berubah.
Ini adalah sunnatullah. Kerana itu janganlah bertabiat suka menangguh-nangguh. Perkara yang baik mesti disegerakan dan inilah dia erti perubahan itu. Walau ia payah dan mencabar, namun tetap dilaksanakan juga.
Satu contoh indah yang penuh dengan iktibar ialah tindakan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam menyembelih anak Baginda, Nabi Ismail. Bukankah perkara ini amat berat untuk dilakukan? Tetapi demi menjunjung titah perintah Allah, ia tetap juga dilakukan tanpa menangguh-nangguhkannya.
Mengapakah kita abaikan iktibar yang berharga ini? Berapa lama sudah kita menyambut Aidiladha, tetapi pengajaran daripadanya masih saja kita kurang fikirkan dan ikut.
Banyak cabaran perlu disambut dan banyak kerja perlu dibuat. Marilah kita sama-sama menyambut cabaran dan membuatnya. Janganlah biarkan masa memotong kita, tetapi berusahalah mendepaninya selalu. Inilah resam umat perkasa.
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Allahu Akhbar,
Walillahil Hamd.
Cabaran dan kerja paling utama ialah memenuhi tuntutan Allah terhadap kita. Tuntutan Allah itu banyak tetapi tidak susah untuk melaksanakannya. Misalnya sembahyang dan puasa boleh dibuat dengan mudahnya, tetapi ramai orang masih mengingkarinya.
Orang sering keliru, cabaran duniawi diutamakan sementara cabaran ukhrawi diambil ringan. Contohnya cabaran dalam ekonomi, apakala implasi berlaku dengan teruknya, kitapun akan sibuk dan bertungkus-lumus mencari formular, atau merangka pelan-pelan tindakan mengatasinya.
Tetapi apabila cabaran itu berunsur uhkrawi, seperti merasakan diri terlalu banyak berdosa akibat banyak melangkahi suruhan-suruhan Allah, maka kita kurang serius mengatasinya.
Ini adalah perkara yang terbalik. Perkara ukhrawi mestilah ia diutamakan, melebihi daripada perkara duniawi. Perkara ukhrawi merujuk kepada akhirat dan akhirat itu pula adalah segala-segalanya, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A'laa ayat 17:
Tafsir-Nya: "Dan akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal."
Akhirnya, beta dan keluarga beta dengan perasaan gembira mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana saja mereka berada, tidak terkecuali juga para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka beroleh haji yang mabrur dan kembali dengan selamat ke tanah air.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment