Jika wanita-wanita di Barat ditanya tentang karakter wanita Islam, mungkin mereka akan mencari model wanita dari Afganistan, Iraq atau lain-lain negara Islam yang dilanda kemelut politik yang panas. Islam telah dijadikan identik dengan keganasan, kemiskinan, miskin sumber daya manusia dan kepakaran, ketidakadilan dan penindasan hak asasi manusia. Begitulah kuasa media mempengaruhi pemikiran masyarakat. Jadi bukan salah wanita di Barat memandang wanita di negara Islam dengan pandangan negatif kerana imej tersebut sengaja dibentuk oleh media mereka untuk membela pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan kempen politik dan kekuatan senjata untuk menundukkan negara-negara Islam. Akan tetapi dalam masyarakat Islam sendiri, apakah sudah jelas dan terang bagi mereka kedudukan wanita dalam agama ini? Masih wujudkah penindasan hak-hak wanita dalam undang-undang perkahwinan? Bagaimana kedudukan wanita dalam masyarakat, kerjaya dan keluarga? Setakat mana ketaatan wanita kepada suaminya sehingga tidak menafikan hak-haknya dalam rumahtangga?
Syaikh Muhammad al-Ghazali seorang ulama yang terkenal dan penulis yang kritis menyatakan dalam tulisannya untuk kata-kata aluan buku Tahrir al-Mar’ah fi ’Ashr al-Risalah (Pembebasan Wanita Pada Zaman Risalah Nabi SAW) karangan Prof. Abdul Halim Muhammad Abu Syuqqah: ”Saya pernah mendengar seorang khatib terkenal berkhutbah dengan penuh emosional. Beliau mengatakan: Semoga Allah merahmati masa-masa di mana para wanita tidak keluar kecuali tiga kali, iaitu dari rahim ibunya, dari rumah orang tuanya ke rumah suaminya, dan dari rumahnya ke alam kubur. Saya tidak dapat menerima pendapat tersebut dan saya jawap dengan perkataan, Semoga Allah merahmati masa-masa itu agar tidak terulang kembali dalam sejarah Islam, kerana masa-masa itu adalah kemenangan tradisi sesat yang menyimpang dari jalan yang lurus.”
Demikianlah petikan keresahan hati seorang ulama ulung yang sangat prihatin dengan nasib wanita Islam kerana di kalangan umat Islam masih ada orang yang menafikan hak-hak wanita Islam. Kalaulah dianggap mulia dan luhur pekertinya dengan tidak keluar rumah, bagaimana mereka hendak mendapatkan ilmu apatah lagi hendak mengekspresikan jatidiri mereka di tengah masyarakat.
Mulia Kerana Ilmu
Kecemerlangan setiap insan bergantung kepada kekuatan iman dan kematangan intelektualnya tidak kira ia dari jenis lelaki atau wanita. Islam menyamaratakan hak dan kedudukan mereka mendapatkan ilmu. Bahkan Rasulullah SAW adalah pemimpin dunia yang pertama menggerakkan revolusi pendidikan kepada kaum wanita iaitu dengan menyiapkan kader-kader ilmuwan wanita yang menjadi sumber rujukan para lelaki pada zamannya. Diriwayatkan dari Abu Sa’id beliau berkata, Seorang wanita datang menghadap Rasulullah SAW kemudian berkata: ”Ya Rasulullah kaum lelaki banyak mendapatkan haditsmu, maka berilah masa untuk kami agar engkau mengajar apa yang telah diwahyukan Allah kepadamu. Rasulullah SAW bersabda: ”Berkumpullah pada hari dan tempat tertentu.” Kemudian mereka berkumpul dan Rasulullah datang mengajar mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bahkan isteri-isteri Rasulullah SAW banyak meriwayatkan hadis dan ikut serta dalam mendidik dan mentarbiyah umat. Saat ini, dunia Islam amat memerlukan kepakaran di bidang sains dan teknologi, perubatan, ekonomi, multimedia, pertanian, bahkan industri militer yang boleh menghasilkan kecanggihan senjata dan peralatan perang sebagai usaha meningkatkan kekuatan umat. Jika kita meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu lelaki saja, kita akan jauh tertinggal oleh kehebatan musuh yang sememangnya akan mencari kelemahan dan berusaha menguasai kita. Padahal Rasulullah SAW menggerakkan seluruh kekuatan dari kaum lelaki dan perempuan untuk membela agama Allah.
Wanita Profesional Di Rumah
Tugas wanita Islam yang asasi adalah mendidik anak-anak dan mentadbir rumah tangganya dengan bijak di samping tempat menggantung kasih sang suami. Wanita juga dituntut untuk berdiri bersama kekasihnya itu memegang kemudi bahtera mereka. Segala keputusan diambil atas dasar musyawarah dan bertolak ansur. Benarkah segala polisi yang dikuatkuasakan suami wajib ditaat tanpa sebarang alasan penolakan? Benarkah berdosa bila sang isteri tidak sependapat dengan suami? Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, beliau berkata: ”Ketika aku mempertimbangkan suatu urusan tiba-tiba isteriku berkata: Alangkah baiknya jika kamu melakukan demikian dan demikian. Akupun berkata: Apa urusanmu dengan masalah ini? Untuk apa kamu mencampuri urusanku? Ia berkata: Sungguh pelik engkau wahai putera al-Khattab kamu tidak mahu mendengar pendapatku padahal puterimu (Hafsah, isteri Nabi SAW) berani memberi pendapatnya kepada Rasulullah SAW” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitulah cara Rasulullah SAW berkomunikasi dengan isteri-isteri baginda, dengan jalan musyawarah, tidak ada rasa takut kepada suami atau terpaksa mengalah untuk taat. Tetapi bukan pula bererti wanita boleh memaksakan kehendaknya dan bersikap kurang ajar kepada suaminya. Hubungan atas dasar keikhlasan dan tolak ansur boleh menyelamatkan keduanya dari pertelingkahan yang dihembuskan oleh syaitan.
Kekuatan iman setiap pasangan suami isteri amat penting untuk keselamatan rumahtangga yang mawaddah warrahmah (penuh kasih sayang dan rahmat). Seorang isteri yang bijak mampu mengukur tahap keimanan setiap penghuni rumahnya. Bukan hanya suami yang bertugas mendidik ahli keluarga, tetapi isteri turut berperanan menasihat suami jika ada kekhilafan. Isteri juga mesti celik melihat perkembangan anak-anak dalam proses penanaman nilai-nilai iman dalam keperibadian mereka. Sungguh mulia kerja-kerja isteri di rumah yang menjadi mentor bagi menjana generasi Islam yang cemerlang.
Misi Dan Visi Untuk Kecemerlangan Umat
Wanita Islam yang mempunyai hati menyala dan azam yang kuat akan menyahut seruan perjuangan kerana mereka mengikut jejak para ibunda mereka, isteri-isteri Rasulullah SAW dan sahabiyah-sahabiyah yang tidak pernah berhenti bekerja demi kecemerlangan agama Allah SWT. Hidup ini adalah untuk memberi bukan untuk membebankan sesiapapun kerana begitulah teladan ibunda para mukminin, Zainab binti Jahsy yang kuat bekerja menyamak dan menjahit kulit untuk membantu berinfaq di jalan Allah. Aisyah binti Abu Bakar adalah seorang pendidik dan pendakwah ulung yang telah berjaya melahirkan berjuta pejuang agama Allah dengan visi dan misinya. Nushaibah pula adalah tentera wanita yang cemerlang sebagai pembela Rasulullah SAW di setiap peperangan bersama dengan kaum lelaki kerana cintakan Allah dan Rasul-Nya. Pada diri wanita hari ini, apakah masih tersisa semangat bekerja dan berjuang untuk agama Allah ini? Pada saat kehidupan moden yang menghidangkan kenikmatan hiburan yang melalaikan, tuntutan kerja yang setakat meminta imbalan kepuasan wang dan material sehingga mengorbankan amanah kerja. Di manakah mujahidah yang bersungguh-sungguh bekerja bermati-matian demi agama, bangsa dan negara? Allah SWT berfirman: ”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Wanita muslimah yang salihah tidak rela dirinya dieksploitasi demi kemajuan jahiliyah moden. Kecantikannya, ilmunya, keperibadiannya, kelembutan, keteguhan dan kesabarannya adalah amat berharga untuk dijualbeli demi kepuasan nafsu syahwat semata-mata. Diri muslimah adalah amat berharga di sisi Tuhan-Nya. Hidupnya untuk menghabiskan perjuangan yang akan berakhir pada satu noktah, iaitu keredaan Allah SWT.
dipetik dari - http://drjuanda.com/?p=227
Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment