Posting mengikut label

Thursday, March 15, 2012

PPN terus sokong undang-undang syari'ah


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac - Pejabat Peguam Negara (PPN) terus menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melihat Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari'ah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syari'ah diluluskan, oleh itu pegawai-pegawai Pejabat Peguam Negara telah menghadiri secara tetap mesyuarat-mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Jawatankuasa Menyesuaikan Undang-Undang Menurut Kehendak Ugama Islam bagi memberikan bantuan undang-undang yang diperlukan dan mengenai penggubalan undang-undang.

Perkara itu dijelaskan oleh, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh (gambar) ketika menyampaikan ucapan di Pembukaan Tahun Undang-Undang 2012 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, hari ini.

"Sokongan Pejabat Peguam Negara sudah setentunya tertakluk kepada panduan yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam dan pakar-pakar dalam Undang-Undang Syari'ah."

Sementara itu dalam ucapannya, Presiden Persatuan Undang-Undang, Haji Muhammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid menyatakan sokongan terhadap hasrat Baginda Sultan bagi pelaksanaan penuh prinsip-prinsip dan undang-undang syari'ah.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa Persatuan Undang-Undang bersedia untuk mengambil bahagian dan memberikan pandangan berhubungan dengan perkara berkenan serta membantu dan menyumbang ke arah pelaksanaan perkara yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu menyentuh mengenai perubahan pada undang-undang, Haji Muhammad Zainidi berharap bagi pembaharuan undang-undang, pihak persatuan berharap pihak-pihak yang berkenaan akan dapat mengalu-alukan ahli-ahli persatuan untuk memberikan pandangan serta mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang baru yang akan memberi kesan kepada orang ramai dan juga ahli-ahli persatuan.

Beliau percaya bahawa jika ahli-ahli persatuan diberikan peluang akan dapat membantu menyediakan nasihat berguna bagi kebaikan semua pihak.

Menyentuh mengenai dengan klinik nasihat undang-undang yang mula dilaksanakan sejak 2010, Haji Muhammad Zainidi berkata bahawa Persatuan Undang-Undang berharap untuk mengembangkan lagi skop klinik itu ke daerah-daerah lain bergantung pada logistik dan kakitangan-kakitangan dengan harapan lebih banyak peguam akan mengambil bahagian dalam klinik-klinik berkenaan.

Dipetik dari - Media Permata Online

Posting berkaitan sebelum ini,
--> Hukum dakwa hudud 'out-of-date'
--> LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PERLAKSANAAN SYARI'AH
--> Masalah dan Halangan dalam pelaksanaan Perundangan Syariah
--> Pandangan sarjana luar mengenai pelaksanaan Undang-undang Islam
--> HUDUD: MALAYSIA PATUT CONTOHI BRUNEI
--> SEGERA LAKSANA HUKUM ALLAH

No comments: