Posting mengikut label

Thursday, July 19, 2012

BELANGSUNGKAWA: HORMAT SELURUH WARGA NDP KEPADA ALMARHUM AYAHANDA AWANG HJ MUHAMMAD YASIN BIN ABD. RAHMAN








Ayahanda Haji Muhammad Yasin Bin Abd Rahman yang dikenali sebagai Yasin Affandy telah kembali kerahmatullah di kampung halamannya, Brunei Darussalam pada usia 90 tahun, pada hari Rabu 18 Julai 2012 bersamaan 28 Syaaban 1433H.

Ayahanda Yasin Affandy di lahirkan pada 19 Mei 1922 di Kampong Sungai Matan, di pinggir Bandar Seri Begawan.

Beliau mendapat pendidikan awal ketika berumur 12 tahun di Sekolah Rendah Melayu Pekan Brunei dari 1934 hingga 1937.

Setelah tamat Darjah 4 beliau melanjutkan pelajaran di Saint Georges dari 1937 hingga 1942 dengan mendapat kelulusan Sarawak Junior Level.

Malangnya St Georges terpaksa di tutup apabila tentera Jepun menceroboh masuk ke Brunei pada 1942.

Beliau kemudian dihantar oleh pentadbiran Jepun di Brunei ke Miri, Sarawak untuk belajar bahasa Jepun. Semasa di Miri beliau mengambil kesempatan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai juruelektrik. Pada awal tahun 1946 setelah tamat belajar bahasa Jepun beliau berhijrah ke Labuan dan berkerja menjadi penterjemah bahasa Inggeris di Borneo Civil Administration di Labuan.

Semasa di Labuan beliau diberikan kesempatan berkeja sambilan sebagai Ground Crew di Pertahanan Udara tentera BARIKAT, pasukan bersekutu tentera Inggeris dan Australia yang ketika itu berpengkalan di Labuan.

Tidak lama kemudian, pada akhir tahun 1946 beliau kembali ke Brunei dan berkerja sebagai store keeper di Jabatan Stor Negara. Beberapa bulan selepas itu beliau ditawarkankan pekerjaan di Brunei Shell Petroleum. Beliau berkhidmat di Syarikat Minyak Shell dari tahun 1947 hingga 1956. Semasa di Shell beliau telah menggerakkan Kesatuan Sekerja di syarikat minyak tersebut.

Dalam usia yang muda beliau juga aktif dalam pergerakan Barisan Pemuda Brunei (BARIP) yang dinaungi oleh Sultan Ahmad Tajuddin, selaku Ketua Penerangan BARIP sekitar 1946 hingga 1950.

Setelah BARIP dilumpuhkan oleh penjajah, Yasin Affandy yang taksub dengan perjuangan Sultan Ahmad Tajuddin, telah bersepakat bersama teman-temannya memulakan gerakan bawah tanah untuk menentang penjajahan British sehinggalah Parti Rakyat Brunei (PRB) ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1956.

Beliau turut mengasaskan PRB dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agong PRB yang pertama. PRB adalah satu-satunya parti politik di Borneo ketika itu yang berjuang menuntut kemerdekaan Brunei khususnya, dan termasuk juga wilayah-wilayah Sarawak dan Sabah.

Pada 1957 beliau bersama Allahyarham A.M Azahari dan Zaini Ahmad mewakil PRB berangkat ke London untuk perundingan dengan Colonial Office berhubung penggubalan Perlembagaan Brunei. Rombongan PRB telah mengemukakan pandangan kedua PRB terhadap draf Perlembagaan yang dirundingkan oleh rombongan Diraja Brunei ketika itu.

Yasin Affandy telah mengetuai satu pemberontakan bersenjata menentang penjajahan British di Brunei dan sekitar wilayah Brunei pada 8 Disember 1962. Pada bulan Mei 1963 beliau telah ditangkap oleh pasukan tentera British dalam satu pertempuran dengan tentera Gurkha British di kuala Sungai Brunei di mana ketika itu beliau mengalami cedera parah terkena tembakan di peha kiri beliau.

Sejak itu beliau berada dalam tahanan, di Khemah Tahanan Berakas sehingga 12 Julai 1973 apabila beliau bersama tujuh orang rakan-rakan tahanannya melarikan diri ke Limbang sarawak. Sebaik sampai di Malaysia mereka telah diberikan Suaka Politik (political asylum) oleh Kerajaan Malaysia sehinggalah beliau kembali ke tanah air pada 1998, setelah 25 tahun berada dalam buangan.

Ketika kemunculan semula PRB di luar negara (1974-1984), Yasin Affandy sekali lagi diberikan tugas dan amanah sebagai Setiausaha Agong PRB.


Pada bulan Julai dan November 1975 beliau bersama A.M Azahari dan Zaini Hj Ahmad sekali lagi diberikan kepercayaan di dalam rombongan merdeka PRB ke United Nations (PBB) untuk mengemukakan petisyen bagi menuntut Kemerdekaan Brunei. Sebuah Resolusi telah diterima oleh PBB mengenai tuntutan kemerdekaan PRB ini dikenali sebagai Resolusi PBB 3424 (1975).

Setelah 25 tahun berada dalam buangan, akhirnya pada 1998 beliau dibenarkan pulang. Namun demikian sekali lagi beliau terpaksa merengkok dalam tahanan Brunei selama dua tahun hingga beliau dibebaskan pada tahun 2000.


Tidak serik dengan rebah bangun, pahit getir dan penderitaan demi penderitaan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan negarabangsanya, pada tahun 2005 beliau turut menjadi salah seorang pengasas Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dan seterusnya dipilih menjadi Presiden NDP di Kongres Agung pertama parti pada Jun 2006.

Beliau kemudiannya memegang jawatan presiden selama empat tahun, sehinggalah beliau terpaksa mengundur diri pada Ogos 2010 atas sebab kesihatan. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Parti sehingga akhir hayat beliau. Jawatan Presiden kemudiannya dipangku oleh Malai Hassan Othman sehingga Kongres baru lalu 29 Jun 2012.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa beliau, dan semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhum bersama roh para syuhada.

Amin Ya Rabbal Alamin.

No comments: