Posting mengikut label

Wednesday, January 2, 2013

KDYMM: Brunei catat pertumbuhan ekonomi positif



Laporan: Abdullah Asgar dari London, United Kingdom

LONDON, UNITED KINGDOM, Isnin, 31 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang terus tidak menentu Negara Brunei Darussalam pada tahun 2012 masih saja mampu untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif kira-kira 1.6 peratus.

Dengan pertumbuhan itu, ditambah lagi dengan pelbagai usaha mengukuhkan kedudukan fiskal masa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam percaya, negara insya-Allah akan terus berupaya untuk meneruskan program pembangunannya pada tahun 2013.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2013, pagi tadi di Kensington Palace, London, United Kingdom, di sini.

Di sepanjang tahun 2012 dan sebelumnya, titah Kebawah DYMM, usaha banyak tertumpu kepada mengukuhkan institusi-institusi negara terutama yang berkait langsung dengan penjanaan aktiviti ekonomi.

"Sebagai meneruskan usaha ini, Kerajaan Beta telah menubuhkan sebuah syarikat pemegang pelaburan di bawah Perbadanan Menteri Kewangan (Minister for Finance Corporation) yang dinamakan 'Darussalam Assets Sdn Bhd, tujuan syarikat ini ditubuhkan adalah bagi memegang dan menguruskan secara aktif pelaburan Kerajaan Beta di dalam Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs)," titah baginda.

Syarikat ini , titah baginda, dihasratkan akan memainkan peranan strategik dalam aktiviti-aktiviti pelaburan kerajaan baginda ke arah pembangunan negara bagi mencapai perkembangan dan kepelbagaian ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat, di samping meraih pulangan pelaburan dalam jangka masa panjang.

Menurut baginda, penyusunan itu akan membolehkan pemilihan dan pengurusan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan dilaksanakan dengan lebih berkesan berasaskan prinsip komersial dengan amalan Corporate Governance yang kukuh.

"Matlamat kita adalah jelas, kita mahu negara kita sentiasa 'pro-business' dan 'pro-invesment," tegas baginda.

Baginda bertitah, kita telah pun mewujudkan Sistem Perlesenan Perniagaan untuk memulihkan pemberian lesen perniagaan, di samping membuat pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan (Income Tax Act) yang antara lain menurunkan cukai korporat kepada 20 peratus.

Mulai bulan Januari 2012, titah baginda, negara telah menguatkuasakan Perintah Paten 2011 (Paten Order 2011) untuk menjaga hak cipta, ini adalah penting dalam perusahaan dengan adanya undang-undang ini akan menggalakkan antara lain pelaburan dalam kegiatan-kegiatan kajian dan inovasi.

"Kemajuan institusi seterusnya adalah untuk menjaga keselamatan kedua-dua pihak pengusaha dan pengguna, negara telah memperkuat lagi undang-undang berkaitan dengan Pembersihan Wang Haram (Money Laundering) dalam bentuk Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 (Criminal Asset Recovery Order 2012).

Begitu juga halnya dengan penguatkuasaan undang-undang Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2011 (Consumer Protection [Fair Trading] Order 2011). Ianya bertujuan untuk mewujudkan urus niaga yang adil bagi memelihara kepentingan pengguna," tegas baginda lagi.

Dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan tersebut baginda berharap sektor swasta mampu berkembang dengan pesat antara lain berupaya untuk menjana peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Sejauh ini, pelaburan dalam sektor minyak dan gas dalam bentuk Pelaburan Asing Langsung (Foreign Direct Investmen), titah baginda adalah sangat menggalakkan, selain dari industri huluan, industri hiliran juga menempah kemajuan yang menjanjikan, sebagai tambahan kepada cecair gas asli atau LNG dan pengeluaran methanol pada masa ini, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa peluang industri hiliran minyak dan gas yang lain.

Baginda menekankan, kemajuan di bidang ini sudah setentunya akan menambah baik pendapatan negara dan menjana peluang-peluang pekerjaan di mana statistik pada masa ini menunjukkan hanya 40 peratus pekerjaan di sektor itu diisi oleh anak-anak tempatan yang pada hemat baginda peratus tersebut perlulah ditingkatkan lagi.

Ke arah sasaran itu, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri, titah baginda telah melaksanakan beberapa inisiatif bersama dengan Syarikat Shell Petroleum Brunei dan juga lain-lain pihak yang berkepentingan.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: