Posting mengikut label

Wednesday, January 2, 2013

KDYMM: Pelajar tidak patriotik, amat dikesali



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul pada hari ini. Beta berharap perhimpunan ini akan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara rakyat dan penduduk Brunei yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, khasnya para pelajar kita.

Para pelajar adalah tunggak kemajuan dan kecemerlangan, berdasarkan, knowledge and innovation-based economy. Ini sejajar dengan wawasan negara, ingin menjadikan rakyat dan penduduknya berilmu, berkemahiran dan bertamadun.

Maka untuk ini, kerajaan beta telah menawarkan skim dermasiswa semenjak lebih dari 50 tahun lagi, iaitu satu dasar pendidikan meritocracy yang telah diasaskan oleh Paduka Ayahanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Sehingga hari ini, penghantaran pelajar- pelajar dermasiswa keluar negeri terus dilakukan, meliputi beberapa biasiswa seperti Sultan’s Scholar Biasiswa The Supreme Commander Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Biasiswa ABDB, Biasiswa kerajaan beta melalui Kementerian Pendidikan Biasiswa Dana Sumber Manusia, Biasiswa Perkhidmatan Pentadbiran Brunei Darussalam (BAS) dan Biasiswa Brunei Shell Petroleum (BSP).

Beta gembira mengetahui, bahawa kualiti akademik penerima-penerima biasiswa adalah semakin meningkat, dengan para pelajar tersebut mampu untuk mengikuti pengajian mereka di universiti-universiti terkemuka dalam Top 10 World Universities. Pencapaian ini sangatlah membanggakan.

Namun perlu diingat sijil akademik saja bukanlah ukuran mutlak kejayaan seseorang pelajar. Tetapi turut penting ialah impak sumbangannya kepada negara.

Kerana itu beta adalah menyesali apabila mengetahui ada pelajar yang meminta dilepaskan dari ikat janji berkhidmatan dengan kerajaan setelah tamat pengajian, untuk memilih berkhidmat di luar negara. Atau tidak mustahil juga akan ada mereka yang tidak mahu berkhidmat langsung setelah tamat.

Cara berfikir seumpama ini, tidak diragukan lagi, datangnya daripada syaksiah yang mementingkan diri, lemah dan tidak patriotik.

Apakah mereka tidak memahami, sama ada yang menyandang biasiswa ataupun tidak, bahawa mereka itu adalah pelaburan bagi negara? Setiap pelaburan, memerlukan ianya diterjemah menjadi produk atau sumbangan kepada negara. Jadi, kalau mereka sudah lari meninggalkan negara atau tidak mahu berkhidmat, bagaimanakah sumbangan itu akan dapat dijawat oleh negara.

Negara tetap memerlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti, di mana sektor pengajian tinggi adalah kilangnya. Kerana itulah, mulai tahun ini, beta telah memperkenankan satu lagi skim biasiswa yang dipanggil : Skim Biasiswa The Chancellor's Scholar. Skim ini bertujuan untuk melahirkan tenaga akademik tempatan yang berkualiti tinggi. Mereka akan ditempatkan di universiti yang terkemuka di dunia.

Pada sesi tahun ini, buat julung-julung kalinya, biasiswa berprestij ini telah dianugerahkan. Beta mengucapkan tahniah kepada tiga orang pelajar yang bernasib baik, yang terpilih di bawah skim ini, untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat PhD.

Namun satu peringatan, segolongan ijazah, walau bagaimanapun tingginya bukanlah bererti kita sudah sampai ke penghujung jalan, atau dalam makna lain, menganggap diri kita sudah tahu segala-segalanya orang yang benar-benar berilmu, semakin banyak ilmunya, semakin dia dahagakan ilmu itu, seperti saja dia belum cukup atau belum merasa puas dengan ilmunya setakat itu. Resam beginilah jika ada, adalah resam yang bagus.

Satu lagi peringatan untuk para pelajar khasnya, di samping ligat memperkasa ilmu, identiti juga mestilah dijaga. Identiti itu ialah hiasan, lambang dan tanda pengenalan diri.

Apa dia identiti pelajar-pelajar kita? Identiti mereka dan malah kita semua ialah identiti Brunei sendiri. Identiti Brunei itu ialah agama Islam, adat istiaadatnya dan cara hidup luhur yang berlandaskan agama dan undang-undang.

Ini sayugia jangan diabaikan. Bawa dan pakailah ia, di mana atau ke mana saja berada. Tunjuk dan jangan malu kita ini orang Brunei. Brunei adalah sebuah negara tua yang sudah lama bertamadun dan kini, ia sedang memanjat maju seperti juga orang lain.

Kita julang ia dengan bangga melalui penonjolan identitinya yang hebat, di dalam semua keadaan dan tempat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: