Posting mengikut label

Wednesday, January 29, 2014

Kenyataan Media Presiden NDP berkenaan pandangan ICJ terhadap Kanun Jenayah Syariah


LIMBARUH HIJAU 28 JANUARI 2014: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan dari mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara yang bertujuan campur tangan di dalam urusan Agama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan ini dibuat oleh Presiden NDP, sdra Haji Mahmud Morshidi Othman berikutan laporan terkini mengenai pandangan Suruhanjaya Kehakiman Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan bahawa langkah Negara menguatkuasakan Kanun Jenayah Syariah merupakan rangka tindakan yang mencabuli Undang-Undang Hak Asasi Manusia.

Emerlynne Gil, penasihat perundangan antarabangsa bagi Asia Tenggara dalam temubual yang disiarkan oleh ABC Radio Australia dilaporkan sebagai berkata, "ICJ telah menulis surat kepada Kerajaan Brunei untuk menekankan bahawa Kanuan Jenayah Syariah yang akan dikuatkuasakan tidak sesuai dengan undang-undang antarabangsa hak asasi manusia (yang membenarkan seks bebas, zina, sodomi, gay dan lesbian).



KENYATAAN MEDIA

Presiden, Ahli Dewan Harian dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pembangunan Bangsa  (NDP) serta seluruh anggota NDP yang beragama  Islam dan bukan beragama Islam tetap berdiri teguh di belakang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Kebawah DYMM dalam mempertahankan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah, dalam keadaan apa jua pun.

NDP mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan dari mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara bertujuan campur tangan di dalam urusan Agama Islam di Negara Brunei Darussalam.

NDP menegaskan sekali lagi ikrarnya akan rebah bangun bersama Kebawah DYMM mempertahankan syariat Islam di Negara Brunei Darussalam.


DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK

Mahmud Morshidi Othman
Presiden NDP
Limbaruh Hijau
Spg 323, Jln Jerudong,
Brunei Darussalam.
28 JANUARI 2014M / 26 RABIULAWAL 1435H

No comments: