Posting mengikut label

Sunday, January 5, 2014

Titah KDYMM Sempena Menyambut Tahun Baru Masehi 2014


TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI 2014



Alhamdulillah Beta bersyukur, kerana kita semua dapat menikmati ketenteraman dan kesejahteraan di sepanjang tahun Masehi 2013.

Insya Allah, semoga tahun Masehi 2014 juga akan terus membawa keamanan dan kesejahteraan yang sama.

Pada tahun Masehi 2013, negara kita menjadi Pengerusi ASEAN. Di sepanjang tempoh itu kita cukup berbangga kerana dapat menyempurnakan tanggungjawap kita dengan sangat berkesan.

Ini termasuklah kita menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan april dan Oktober yang lalu serta mengendalikan pelbagai mesyuarat ASEAN dan antarabangsa di Peringkat Menteri dan Pegawai Kanan.

Untuk itu, Beta mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dan masyarakat seluruhnya yang telah sama-sama mengangkat imej Negara dimata tetamu-tetamu kita daripada luar negara.

Beralih kepada pembangunan, kedua-dua sektor awam dan swasta adalah memainkan peranan penting untuk berganding bahu mempertingkatkan sosio-ekonomi negara.

Khasnya dalam bidang pentadbiran, perkhidmatan awam adalah jentera kerajaan bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai mahupun komuniti bisnes.

Baru-baru ini, kedudukan negara di dalam ‘Ease of Doing Business” menunjukkan pembaikan yang menggalakkan, dari tangga 79 pada tahun 2012 kepada tangga 59 pada tahun 2013.

Beta berharap pencapaian ini akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk terus membuat lebih banyak pembaharuan yang diperlukan bagi memudahcara perniagaan.

Matlamat kita adalah jelas untuk menjadikan Negara ini benar-benar pro-bisnes. Dengannya, insya Allah, ekonomi kita akan dapat berkembang dan berdayamaju, serta banyak lagi peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Negara, memang memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan, khasnya di sektor swasta unuk menangani pengangguran yang meningkat. Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sangat giat menggerakkan pengambilan anak-anak tempatan bekerja di sektor swasta untuk mengisi kekosongan yang ada.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga giat mensejajarkan latihan-latihan teknikal dan vokasional supaya terdapat kesepadanan di antara peluang-peluang pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan. Cara ini akan memastikan anak-anak muda yang mencari pekerjaan mendapat latihan yang bersesuaian dengan peluang pekerjaan yang ada.

Dalam masa yang sama, komuniti bisnes hendaklah mendokong usaha kerajaan bagi sama-sama memberikan keutamaan bekerja kepada anak-anak tempatan dengan menawarkan gaji dan kemudahan-kemudahan lain yang berpatutan lagi munasabah.

Usaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi juga memerlukan kita semua meningkatkan lagi tahap produktiviti masing-masing di sektor awam dan swasta. Ini selaras dengan tema Rancangan Kemajuan Negara ke-10 yang berbunyi: ‘Pengetahuan dan innovasi, meningkatkan produktiviti, mempecepat pertumbuhan ekonomi’.

Beta berharap, supaya isu produktiviti di sektor awam mahupun sektor swasta mula diberikan perhatian sewajarnya. Dasar dan strategi, perlulah digubal segera untuk mencapai matlamat-matlamat yang dihasratkan.

D sepanjang tahun Masehi 2013, kita juga telah melaksanakan pelbagai usaha, bagi meningkatkan lagi kegiatan-kegiatan sosio-ekonomi, menarik pelaburan asing, melaksanakan projek-projek usahasama dalam beberapa sektor, termasuk sektor huluan dan hiliran minyak dan gas, perubahan dan perkhidmatan.

Di bawah pembaikan infrastruktur, projek-projek untuk keperluan air, juga akan terus dilaksanakan. Ini termasuklah antaralain meningkatkan kapasiti penyimpanan air dan penjagaan logi rawatan air. Tidak terkecuali juga projek-projek memperdalam sungai dan membina terusan bagi mengatasi banjir.

Peningkatan keselamatan jalan raya juga turut rancak berjalan di bawah beberapa projek, antaralain, pembesaran dan penaiktaraf permukaan jalan, penggunaan sistem demerit dan kempen-kempen keselamatan jalan raya secara berterusan.

Bagi jangka panjang, kerajaan juga adalah dalam proses menyediakan pelan induk pengangkutan yang memfokus, antaralain, kepada rangkaian perkhimatan pengangkutan bersapadu yang efisien, selamat dan bersih dengan memberikan pilihan pergerakan yang luas dan lancar kepada semua.

Ini termasuklah pembinaan jalan dan jambatan-jambatan untuk menghubungkan Dearah Brunei-Muara den Dearah Temburong dan pembinaan jambatan penghubung menyeberangi Sungai Brunei dari kampong Sungai Kebun ke Jalan Residency, Dearah Brunei-Muara.

Di samping itu, Kerajaan juga giat untuk mempertingkatkan Sistem Pengangkutan Awam di Negara ini bagi memenuhi keperluan orang ramai.

Bilangan rumah-rumah perpindahan yang dapat disiapkan pada tahun 2013 adalah sangat menggalakkan. Kita telah dapat menurunkan tempoh menunggu permohonan dan pemberian rumah sehingga mencapai kira-kira 48% dari bilangan permohonan.

Menjelang tahun hadapan 2014, melebihi 6,000 buah rumah lagi dijangka akan siap, yang membawa kepada jumlah perumahan yang siap melebihi 26,000.

Untuk lebih mempesatkan lagi penyedian perumahan yang cukup, Kerajaan juga sudah mula menyediakan rumah-rumah bertingkat tinggi yang sesuai untuk Negara ini.

Di dalam bidang kesihatan, Kerajaan akan mempesatkan lagi penyediaan infrastruktur fizikal dan perkhimatan serta langkah-langkah untuk mengukuhkan sumber tenaga manusia yang berkepakaran.

Kerajaan juga tidak lalai dari memelihara persekitaran atau ‘environment’, kerana hanya dengan persekitaran yamg sihat sahaja pembangunan akan dapat berjalan terus.

Ke arah ini, satu perundangan mengenai alam sekitar adalah sedang diusahakan. Ia bertujuan antaralain untuk memelihara persekitaran dan mengelakkan pencemaran.

Di dalam tahun ini, kita akan mula melaksanakan fasa awal Perintah Kanun Jenayah Syar’iah. Pada kesempatan ini, Beta ingin menekankan, supaya lapisan masyarakat, akan dapat membulatkan azam dan komitmen bagi sama-sama mendokong perlaksanaannya.

Di arena serantau dan antarabangsa, Beta sangat gembira kerana masyarakat di negara ini tidak ketinggalan turut mengambil perhatian terhadap pihak-pihak luar yang ditimpa musibah yang memerlukan bantuan. Beta berbangga dengan inisiatif dan sambutan orang ramai dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa taufan Haiyan di Filipina baru-baru ini.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhimatan Awam serta Pasukan-Pasukan Keselamatan, termasuk mereka yang bertugas di perantauan, dan juga kepada mereka yang berkhimat di sector swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawap masing-masing untuk kesejahteraan negara.

Beta dan keluarga Beta tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2014 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat serta pelindungan-Nya kepada kita dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: