Posting mengikut label

Wednesday, January 15, 2014

Wadah memperkasa iman


Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagina Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan harapan agar semua langkah yang diambil oleh negara akan diterima oleh Allah sebagai amal bakti kepada-Nya dan akan dibalas dengan ganjaran rahmat-Nya jua.

Antara langkah-langkah yang dilaksanakan ialah mengharamkan arak, menubuhkan Bank Islam, mengagihkan zakat untuk mereka yang berhak, mengharamkan rokok, mewajibkan pendidikan ugama sebagai memenuhi tuntutan fardhu ‘ain, menubuhkan Institut Tahfiz Al-Quran untuk melepaskan kewajipan fardhu Kifayah.

Menutup sementara premis-premis perniagaan pada Hari Juma’at dan paling mutakhir, melaksanakan Kanun Jenayah Syar’iah. Semua ini adalah sebagai langkah kita melepaskan diri daripada dituntut oleh Allah di hari akhirat kelak.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Sambutan
Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wassalam bagi tahun 1435H

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan perkara ini dalam titah perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi tahun 1435H yang disiarkan secara langsung oleh RTB malam ini.

Baginda Sultan seterusnya bertitah bahawa memperingati dan meraikan hari keputeraan nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah merupakan wadah ke arah memperkasa iman dan akidah.

“Kerana bukankah Baginda itu diutus untuk menyeru manusia supaya beriman dan mempunyai akidah? Tanpa Baginda itu, tidak akan berbangkit cerita iman dan akidah.

Demikian itu kepentingan dan keagungan Baginda,” titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah perutusan Baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bagi Tahun 1435H/2014M.

Menurut Baginda Sultan, hingga sekarang keagungan itu tidak malap-malap, bahkan akan terus bersemarak di alam maya ini, lebih-lebih lagi dijiwa dan sanubari umat Baginda.

“Khususnya ketika perayaan sambutan ini, orang-orang tidak akan pernah lupa untuk mengimbas kembali detik-detik perjuangan Baginda yang pahit. Baginda berjuang menghadapi musuh-musuh akidah cuma dengan seorang diri sahaja.

“Baginda ditentang mati-matian dan dihina, malah disakiti. Hanya sesudah beberapa lama bersendirian itu, barulah Baginda mendapat sahabat atau pengikut untuk sama-sama menyebarkan Islam.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah memang Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah rahmat kepada alam.

“Baginda membawa perubahan-perubahan yang sangat bermakna untuk dinikmati bersama. Perubahan dari gelap gelita kepada terang benderang. Dari perhambaan kepada kemerdekaan. Dari kufur kepada Islam. Dari membunuh hidup kanak-kanak perempuan kepada menyelamatkan mereka. Dari pertelingkahan dan pembunuhan kepada hidup berbaik-baik.”

“Pendeknya, rahmat itu dibawa oleh Baginda adalah menyeluruh, sebagaimana isyarat daripada Allah sendiri dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107 dengan tafsirnya berbunyi : “Dan tidaklah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat kepada alam seluruhnya.”

“Alhamdulillah, kerana Bagindalah kita mengenali Allah serta menyembah-Nya. Kerana Baginda juga kita menjadi orang-orang yang baik, yang suka beribadat, suka menolong sesama manusia dan pandai membaca Al-Quran.

“Ini semua adalah bersumber daripada rahmat yang dibawa oleh Baginda. Semoga Allah mengekalkan rahmat ini sampai bila-bila.”

Baginda Sultan seterusnya bertitah; “Negara kita telah melakukan perkara-perkara yang terbaik untuk menagih rahmat yang mana negara kita sudah mengharamkan arak, kerana kata syara’, arak itu ibu segala kejahatan.

“Kita sudah menubuhkan Bank Islam untuk menghindari riba. Kita sudah mengagihkan zakat untuk mereka yang berhak. Kita sudah mengharamkan rokok dan merokok kerana ia berisiko kepada kesihatan dan malah nyawa. Kita sudah mewajibkan pendidikan ugama sebagai memenuhi tuntutan fardhu ‘ain. Kita juga sudah menubuhkan Institut Tahfiz Al-Quran untuk melepaskan kewajipan fardhu Kifayah.

“Kita sudah menutup sementara premis-premis perniagaan pada Hari Juma’at sebagai langkah memelihara imej Islam dan umatnya, dan paling mutakhir, kita sudahpun menunaikan azam kita dengan bertawakal mendaulatkan Kanun Jenayah Syar’iah di negara bertuah ini, sebagai langkah kita melepaskan diri daripada dituntut oleh Allah di hari akhirat kelak.

“Semoga semua langkah yang diambil ini akan diterima oleh Allah sebagai bakti kepadaNya dan akan dibalas dengan ganjaran rahmatNya jua. Kita sama sekali tidak meragui bahawa Allah itu tidak akan memungkiri janjiNya.”

Sehubungan dengan itu, Baginda Sultan mengajak umat Islam marilah sama-sama membaca selawat ke atas Baginda, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, semoga kit sama-sama layak dan mendapat syafaat Baginda.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: