Posting mengikut label

Monday, November 3, 2014

Asean Perlu Tingkat Kesedaran Awam Mengenai Komuniti Asean - Bekas Setiausaha Agung


Oleh Nabilah Saleh dan Tengku Faezah Tengku Yusof

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sepuluh anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) perlu memperhebat usaha bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai pembentukan Komuniti Asean (AC) menjelang akhir 2015, kata bekas setiausaha agung Asean Ong Keng Yong.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia yang akan tamat perkhidmatannya tidak lama lagi berkata penduduk Asean perlu diberi maklumat dan pendedahan yang secukupnya mengenai peranan blok itu, dan juga pemahaman yang lebih berhubung penubuhan badan serantau itu.

"Dimensi penting ialah bagaimana rakyat, penduduk memahami Asean dan apa yang kita perlu lakukan lebih lagi. Saya rasa kesedaran (di kalangan rakyat) tidak begitu kuat. Kita harus terus mempromosikan kesedaran dan di sepanjang perjalanan itu, berusaha supaya rakyat menghargai apa yang dilakukan oleh Asean, terutamanya jika ia adalah satu projek dan hasil yang praktikal supaya mereka dapat merasai bahawa Asean adalah penting bagi mereka, "katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini, Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia itu berkata, usaha sedemikian memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menjadikan Asean sentiasa berada dalam hati penduduk di setiap negara anggota.

Malaysia akan mengambil alih kepengerusian Asean daripada Myanmar tahun depan.

Adapun peranan Sekretariat Asean dalam mempromosikan AC, Ong berkata, dengan melibatkan lebih banyak kakitangan yang berorientasikan Asean boleh membantu melahirkan satu pasukan pegawai Asean yang baik dan menyokong bagi meningkatkan lagi keberkesanan kerja Sekretariat termasuk untuk mempromosikan AC.

Katanya mereka yang berbakat dan berkongsi perspektif Asean adalah sangat diperlukan untuk menjadikan organisasi itu beroperasi berdasarkan dengan apa yang dipersetujui di antara para pemimpin Asean.

Ong berkata bukan satu perkara mudah mendapatkan graduan baru atau mereka yang datang daripada sektor swasta atau malah bekas para pegawai untuk menyertai sekretariat.

"Kita perlu melihat kepada isu di hadapan kita sebagai seorang penjawat awam Asean kerana, sebagai penjawat awam negara kita sendiri, sebagai contoh, kita cenderung untuk melihat sesuatu isu dalam perspektif sebagai seorang rakyat Malaysia atau Singapura," katanya.

Mengenai prestasi sekretariat, Ong berkata bahawa ia telah melakukan yang terbaik, namun menambah masih terdapat bidang yang boleh dipertingkatkan jika diberikan lebih banyak peluang.

Ditanya mengenai pengalaman masa lalu beliau sebagai setiausaha agung, Ong menyifatkan tempoh beliau memegang jawatan dari tahun 2003 hingga 2008 sebagai bersemangat dan "kemuncak kerjaya saya".

Pada masa itu, Asean lebih dikenali di luar rantau itu, katanya.

"Oleh kerana kerja-kerja yang kita lakukan pada ketika itu, pembinaan komuniti dan Integrasi Ekonomi, kita didampingi banyak negara-negara besar seperti China, Australia dan New Zealand," katanya.

Ong berkata hubungan dan kerjasama antara negara-negara anggota diperkukuhkan dengan pemahaman yang tinggi tentang kepentingan berada bersama sebagai 10 negara, daripada bersendirian.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dengan lima negara anggota iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Sejak itu, keanggotaan bertambah dengan kemasukan Brunei Darussalam, Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam.


Sumber - BERNAMA

No comments: