Posting mengikut label

Tuesday, November 4, 2014

Malaysia-Brunei sepakat


Rundingan proses persempadanan, kerjasama dua hala berjalan lancar

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 3 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mahu pasukan teknikal bersama yang dibentuk kedua-dua negara menyegerakan proses pengukuran dan persempadanan darat kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu dalam satu kenyataan bersama turut mengalu-alukan penggunaan prosedur operasi standard (SOP) untuk ukur hidrografi bagi menentukan sempadan dari Sungai Pandaruan dan Sungai Menunggol ke Sarawak.

“Kedua-dua pemimpin memuji kerja cemerlang yang ditunjukkan pasukan teknikal bersama dalam persempadanan dan pengukuran serta berpuas hati dengan kemajuan signifikan dalam bahagian yang sudah dikenal pasti dan diberi keutamaan,” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan selepas Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia dan Brunei Ke-18 di sini hari ini.

Majlis rundingan itu yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana membincangkan pelbagai isu dan kedua-kedua pemimpin berpuas hati dengan hubungan dua hala selain menegaskan kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertanian, maklumat, teknologi, komunikasi dan percukaian.

Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan turut berpuas hati dengan pelaksanaan perjanjian dua hala yang dimeterai pada 16 Mac 2009 selain menggesa pegawai masing-masing untuk menyelesaikan semua isu berbangkit.

Dalam pada itu, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menyambut baik kerjasama kukuh antara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dengan Syarikat Petroleum Nasional Brunei (PetroleumBRUNEI) yang menjangkau Kawasan Aturan Komersial (CAA) di Blok N dan Q dengan merangkumi negara ketiga seperti Kanada.

Kerjasama antara Petronas dengan PetroleumBRUNEI di Myanmar turut dialu-alukan Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah.

Dalam bidang perikanan, kedua-dua pemimpin itu mahu pegawai kedua-dua negara mempercepatkan perbincangan supaya memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang itu dapat dimeterai.

“Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mengenai kerjasama ekonomi antara Brunei dengan negeri Sabah dan Sarawak serta gembira dengan hasil perbincangan untuk memudah cara usahasama untuk pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) di Sabah.

“Kedua-dua pemimpin menggalakkan pihak swasta mempertingkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan seterusnya memperdalamkan integrasi ekonomi rantau ini,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu.

Sementara itu, Najib menghargai sokongan Sultan Hassanal Bolkiah terhadap Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Sultan Hassanal Bolkiah pula menyambut baik minat Malaysia terhadap Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Brunei dan mengharapkan kerjasama antara PKBN dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).


Sumber - Utusan Online

No comments: