BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis - Hampir semua peniaga secara kecil-kecilan dan sederhana, di Tamu Kianggeh melahirkan rasa tidak bersetuju atas keputusan untuk mereka dipindahkan daripada kawasan berniaga yang sudah sinonim dengan mereka terutama sekali di kalangan peniaga-peniaga warga emas yang mendakwa sudah berpuluh-puluh tahun menjadikan tempat itu sebagai tempat mereka mencari mata pencarian selama ini.
Mereka juga terkilan kenapa mereka tidak diajak untuk memberikan pandangan sama atas keputusan pihak berkenaan itu. Mereka meluahkan perasaan dan pandangan mereka ini kepada rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang membuat lawatan kerja mereka ke kawasan tamu tersebut kemarin. Rombongan di ketuai oleh Presiden parti itu, Malai Hassan bin Malai Haji Othman.
Ramai di kalangan peniaga-peniaga di sana terdiri daripada kalangan warga emas selain terdapat juga di kalangan ibu tunggal yang berniaga di sana untuk menampung kehidupan bersama anak-anak mereka. Menurut mereka pendapatan minima setiap hari kira-kira lebih $30.00 dan pendapatan akan meningkat di waktu hujung minggu.
Banyak perkara yang mereka bimbangkan dengan langkah untuk memindahkan mereka ke kawasan tamu baru di Gadong.
“Jika kami dipindahkan ke kawasan Gadong sepertimana kami difahamkan, maka antara kesukaran kami ialah terpaksa dua kali naik bas, daripada tempat tinggal kami, bas berhentian di satu perhentian di Bandar Seri Begawan sahaja, kemudian dari sini kami terpaksa lagi naik bas lain untuk ke Gadong, dan kami terpaksa mengangkut dagangan kami”, kata beberapa orang peniaga di sana yang tinggal jauh daripada kawasan tamu.
Selain yang tinggal di kawasan kampung ayer pula, jika dipindahkan ke kawasan baru, adalah menjadi kesukaran mereka dari segi pengangkutan, biarpun ada bas, tetapi ramai dikalangan mereka adalah warga emas yang sudah kurang kekuatan fizikal.
“Kami selalunya hanya naik motor bot, dari seberang kampung kami dan naik di tambatan depan tamu ini” kata beberapa orang lagi peniaga warga emas yang tinggal di kawasan kampung ayer.
Sementara itu Presiden NDP, Malai Hassan bin Malai Haji Othman, ketika ditemui menyatakan rasa terkilannya dengan isu hangat pemindahan Tamu Kianggeh yang telah mengundang banyak bantahan daripada kalangan masyarakat tempatan terutama penjaja-penjaja yang merasakan langkah itu akan menjejaskan mata pencarian mereka.
Menurutnya, sebahagian besar masyarakat di negara ini pula merasakan langkah tersebut tidak wajar, memandangkan Tamu Kianggeh merupakan sebahagian daripada warisan sejarah dan budaya orang Brunei, selain turut merupakan kawasan popular di kalangan pelancong luar negara yang ingin melihat sambl belajar menghayati suasana kehidupan dan budaya orang Brunei.
“NDP dalam hal ini memahami sentimen orang ramai yang terbabit, dan bimbang ianya boleh mengundang kepada kebencian rakyat kepada sektor perkhidmatan awam terutama elit-elit pentadbir yang di amanahkan untuk menjaga kemasalahan rakyat, selain kami juga khuatir perlaksanaan perancangan yang gagal mengambil kira kemasalahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di tamu itu, akan sekali lagi menjejasakan kredibiliti sektor perkhidmatan awam sebagai pemudahcara pembangunan bangsa dan negara, seperti juga yang pernah dicetuskan oleh isu Pasar Seria yang dipindahkan ke Pasar Baru Lorong Tiga, hingga sekarang ia dilihat sebagai satu testimonial kehancuran peniaga-peniaga Melayu berpunca daripada perancangan yang lemah” katanya.
Tambahnya lagi, NDP menyokong penuh usaha pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan ke arah mencapai objektif-objektif antaranya untuk memelihara kebersihan alam sekitar, keselamatan dan keselesaan pengguna-pengguna jalanraya serta bagi tujuan menambah cantik persekitaran ibu negara Bandar Seri Begawan, selain alasan yang turut ditekankan untuk menghormati tanah perkuburan orang-orang Islam yang terletak berdekatan di tamu itu.
“Akan tetapi NDP berkeyakinan objektif-objektif tersebut masih boleh dicapai tanpa mengambil langkah-langkah drastik yang jelas telah banyak mengundang kegelisahan dan kekecewaan di kalangan peniaga-peniaga di tamu itu, khususnya dan di kalangan masyarakat umum, dari itu, kami berharap pihak-pihak berkenaan akan dapat memikirkan semula perancangan tersebut dengan mengambil kira semua sudut pembangunan bukan sahaja pembangunan fisikal akan tetapi lebih penting pembangunan sosial rakyat Brunei, serta kami menyeru pihak berkenaan agar mempertimbangkan semula perancangan dengan mengingati motto negara “Berkhidmat Mengikut Petunjuk Allah”, di mana nanti negara akan terus menjadi negara yang baik dengan keadilan di tegakkan” ujarnya.
Turut menyertai lawatan hari ini, Timbalan Presiden NDP, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib, serta ahli-ahli Majlis Tertinggi pertubuhan itu daripada seluruh negara.
Berikut kenyataan rasmi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) tentang isu Tamu Kianggeh:
KENYATAAN MEDIA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)
UNTUK SIARAN SEGERA
TARIKH: 25 DISEMBER 2015
PER: NDP KESAL DENGAN ISU TAMU KIANGGEH
1. PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) rasa terkilan dengan isu hangat pemindahan Tamu Kianggeh yang telah mengundang banyak bantahan dari kalangan masyarakat tempatan terutama peniaga-peniaga Melayu yang merasakan langkah tersebut akan menjejaskan mata pencarian dan masa hadapan mereka
2. Langkah tersebut juga dilihat oleh sebahagian besar masyarakat Brunei sebagai tidak wajar kerana Tamu Kianggeh merupakan sebahagian dari warisan sejarah dan budaya orang Brunei yang perlu dipelihara dan dimajukan
3. Tambahan lagi Tamu Kianggeh telah dikenali ramai sebagai destinasi popular yang menjadi tarikan pelancong asing yang ingin melihat keunikan Negara Brunei dan menghayati suasana kehidupan dan budaya orang Brunei
4. Di Tamu Kianggeh pelancung asing dapat melihat dengan lebih dekat lagi suasana hiruk pikuk di tamu berkenaan disamping meninjau ke tempat jualan kuih-kuih kering, jualan perubatan tradisi orang-orang Brunei dan tempat jualan ikan kering, belacan dan lain-lain hasil usaha kampong
5. NDP mengingat kembali sejarah Tamu Kianggeh yang bermula pada awal 1960-an. Dulunya ia merupakan tempat padian wanita menjual pelbagai hasil produk mereka dengan menggunakan bot yang juga dikenali sebagai padian dan tempat ini juga dikatakan pernah mennerima lawatan dari Ratu Elizabeth sebanyak dua kali dan juga puteranya, Putera Charles sekitar tahun 1980-an
6. Sehubungan dengan itu NDP sangat memahami sentimen orang ramai mengenai isu tersebut dan berkongsi pandangan dengan seluruh rakyat yang tidak selesa dengan tindakan pihak berkuasa tersebut
7. NDP bimbang langkah tersebut mengundang ‘kebencian' rakyat dan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam terutama elit-elit pentadbir yang diamanahkan untuk menjaga maslahah rakyat
8. Menurut laporan media-media perdana pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan telah mengeluarkan notis pemindahan dan telah mengarahkan semua peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh untuk mengosongkan kawasan tersebut dan berpindah ke kawasan Pasar Gadong selewat-lewatnya bulan Mac 2016
9. NDP mengambil maklum bahawa pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan telah memberikan beberapa alasan-alasan seperti berikut untuk menjustifikasikan langkah tersebut:
I. Ianya merupakan salah satu program Lembaga Bandaran BSP untuk mencantikan persekitaran Bandar Seri Begawan
II. Langkah untuk memelihara kebersihan alam sekitar Bandar Seri Begawan
III. Mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan utama berhadapan Tamu Kianggeh
IV. Untuk menghormati tanah perkuburan orang-orang Islam yang berdekatan dengan Tamu Kianggeh
10. NDP juga mengambil maklum langkah memindah Tamu Kianggeh tersebut merupakan sebahagian dari projek pembinaan Tamu Gadong (Berpayung) yang ‘bermasalah' sejak ianya siap dibina pada tahun 2014
11. Dari sudut pandang NDP isu ini dilihat sebagai satu lagi kegagalan pihak-pihak berkenaan dalam membuat perancangan kemajuan yang melibatkan secara langsung kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana dengan bijaksana
12. Ia juga merupakan satu kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil pendekatan yang holistik selaras dengan tuntutan Melayu Islam Beraja sebagai konsep berbangsa dan bernegara orang Brunei dalam membuat perancangan dan perlaksanaan sesuatu perancangan yang melibatkan kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana
13. Dalam hal ini apa yang jelas ialah proses membuat keputusan tidak melibatkan sepenuhnya pandangan-pandangan rakyat terutama peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang merupakan ‘stakeholder' yang tidak kurang penting dalam membuat keputusan besar ini
14. Perlu dijelaskan NDP bersetuju dengan objektif-objektif yang diketengahkan oleh pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan dalam langkahnya memindah peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh ke empat lokasi di Gadong
15. Akan tetapi NDP kurang bersetuju dengan langkah kearah mencapai objektif-objektif tersebut iaitu dengan menamatkan riwayat Tamu Kianggeh dan sekali gus meletakan masa hadapan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh dalam keadaan gusar akan masa hadapan yang boleh pasti terjamin
16. NDP juga sangat tidak selesa untuk bersetuju dengan sebarang langkah yang terdapat unsur-unsur ketidakadilan didalamnya terutama yang boleh menjejaskan mata pencarian dan masa hadapan peniaga-peniaga anak tempatan
17. NDP berkeyakinan objektif-objektif tersebut masih boleh dicapai tanpa mengambil langkah-langkah ‘drastic' yang jelas telah banyak mengundang kegelisahan dan kekecewaan dikalangan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh
18. Dari itu NDP berseru kepada pihak-pihak berkenaan agar memikirkan semula perancangan tersebut dengan mengambil kira semua sudut pembangunan bukan sahaja pembangunan fisikal akan tetapi lebih penting pembangunan sosial rakyat Brunei
19. NDP khuatir perlaksanaan perancangan yang gagal mengambil kira kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di Tamu Kianggeh akan sekali lagi menjejaskan kredibiliti sektor perkhidmatan awam sebagai pemudahcara pembangunan bangsa dan negara, seperti juga yang pernah dicetuskan oleh isu pasar Seria yang dipindahkan ke pasar baru di Lorong Tiga.
20. Hingga kehari ini ia menjadi ristaan tentang kehancuran peniaga-peniaga Melayu yang berpunca dari perancangan yang tidak bijaksana
21. Sekali lagi NDP menyeru pihak-pihak berkenaan agar mempertimbangkan semula perancangan tersebut dengan melihat semula nilai-nilai Tamu Kianggeh sebagai satu aset sejarah dan budaya bukannya semata-mata sebagai satu liabiliti kepada persekitaran Bandar Seri Begawan
22. Ada berkatnya jika pihak-pihak berkenaan mengingati semula motto negara “BERKHIDMAT MENGIKUT PENTUNJUK ALLAH” dan bertolak dari sana serta atas landasan Negara Zikir dalam membuat sebarang perancangan dan keputusan
23. Ada juga berkatnya jika pihak-pihak berkenaan turut mengingat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti berikut:
"Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.
Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman.
Sebab itulah kadang-kadang, bersedia mendengar suara orang di bawah, atau menerima idea-idea yang baik, atau keluhan atau rintihan mereka dapat dianggap sebagai ciri melaksanakan keadilan."
(Titah Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Dan Pelantikan-Pelantikan Baru 09 MUHARRAM 1437 / 22 OKTOBER 2015)
24. Semoga dengan itu nanti negara akan terus menjadi negara yang baik dimana keadilan ditegakkan, pihak yang berhak mendapat hak nya dengan adil dan ihsan, dan yang berkewajipan menjalankan kewajipan mereka dengan jujur, amanah dan bersih. In sya Allah negara uyang baik ini akan sentiasa mendapat perlindungan Allah jauh dari murka Allah.
Sumber -
Laman Aspirasi NDP