UCAPAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA
ULANG TAHUN ISTIADAT PENAIKAN BENDERA ‘SANG SETIA’ KALI KE-11
DI LIMBARUH HIJAU MARKAS NDP PUSAT JALAN JERUDONG,
KAMPONG JERUDONG DAERAH BRUINEI-MUARA
PADA 18 SAFAR 1437 BERSAMAAN 1 DISEMBER 2015
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Yang Berusaha Pengerusi JK Penaikan Bendera Sang Setia Ke 11 2015,
Yang Di kasihi Ayahnda Haji Mahmud Morshidi Othman, Mantan Presiden NDP dan Pengasas Utama NDP
Yang Di Hormati TYT Timbalan Presiden,
Yang Berbahagia Setiausaha Agung
Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden,
Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Tetap dan
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat,
Ketua Himpunan Non-Muslim,
Ketua Himpunan Wanita,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Pemimpin-Pemimpin Parti diperingkat Perhubungan dan Ranting,
Ahli-ahli NDP,
Hadirin dan Hadirat Sekalian.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
DAN SALAM SEJAHTERA
1. Syukur kehadrat Allah (swt) kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua kita dapat bersama-sama menjayakan majlis yang berbahagia ini
2. Selawat dan salam kesejahteraan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad (s.a.w) yang telah diutus untuk memimpin dan menunjuk kearah jalan kejayaan dunia dan akhirat
3. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Majlis, saudara Abdullah Peter Saging dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur yang telah berusaha gigih menjayakan majlis yang penuh bermakna ini
Saudara, saudari yang saya hormati,
4. Alhamdullilah, majlis hari ini merupakan majlis memperingati istiadat penaikan bendera Sang Setia buat kali ke-11
5. Majlis istiadat penaikan bendera Sang Setia kali ini agak istemewa, kerana hari ini merupakan lembaran baru bagi NDP setelah satu dekad berlalu menanai perjuangan rakyat menjunjung titah membangun bangsa
6. Dalam lain perkataan, istiadat hari ini seumpama membuka lembaran baru fasa perjuangan NDP untuk sepuluh tahun kehadapan, in sya Allah
7. Dalam masa yang sama, majlis hari ini turut menyaksikan masa hadapan NDP dipikulkan di bahu saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan baru bagi tahun 2015 – 2018
8. Saya merasakan, ini satu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul apatah lagi, sejujurnya saya merasakan bahawa diri saya ini bukanlah yang terbaik dikalangan saudara saudari sekalian
9. Bagaimanapun, jika ini merupakan kehendak Allah (swt) maka saya redha dan In Syaa Allah, akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menerajui NDP sebaik mungkin, dengan mengikut petunjuk syariah terutama dalam konteks memenuhi tuntutan ‘Maqasid Syariah’, serta akan terus berpegang kepada perlembagaan, dasar, visi dan misi serta objektif parti, in sya Allah
10. Untuk itu saya berseru kepada saudara dan saudari sekalian, jika saya berbuat yang betul maka ikutilah saya sebaliknya jika saya berbuat kesilapan maka janganlah biskita teragak-agak untuk membuat teguran bagi mengelakkan saya tersasar lebih jauh
11. Marilah kita memanjatkan do’a kehadrat Allah (swt) semoga saya dan barisan kepimpinan yang baru akan dikurniakan taufik dan hidayat serta kekuatan dan kesungguhan untuk memimpin atas landasan dan ciri-ciri kepimpinan Rasullullah (saw) iaitu dengan sifat-sifat SIDIQ, AMANAH, FATANAH DAN TABLIGH, in sya Allah
12. Bersama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga dalam perjalanan kita yang penuh ranjau dan duri ini, kita akan sentiasa berusaha menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah, iaitu sifat riyak, sombong, ujub, hasad dengki, beburuk sangka mengadu domba dan lain-lain yang boleh membawa kita kepada persengketaan dan kehancuran
13. Kita juga memohon ke hadrat Allah SWT semoga kita semua diberikan kekuatan dan istiqamah dalam menlaksanakan tugas dan amanah bagi mengalas perjuangan rakyat ini dengan berpegang teguh kepada konsep JEMAAH, UKHUWAH, SYURA DAN TA’WUN (J.U.S.T)
14. Izinkan saya menyentuh surah ‘Ali-Imran ayat 104 di mana Allah berfirman maksudnya, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyeru kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang munkar mereka, itulah orang-orang yang beruntung”
15. Firman Allah lagi dalam surah ‘Ali Imran ayat 159 yang maksudnya; “Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan BERMUSYAWARATLAH dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”
16. Dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda, “Belalah saudaramu, baik ia berlaku aniaya, maupun teraniaya. Ketika beliau ditanya seseorang, bagaimana cara membantu orang yang menganiaya, beliau menjawab, Engkau halangi dia agar tidak berbuat aniaya. Yang demikian itulah pembelaan baginya” (HR Bukhari melalui Anas bin Malik)
17. Dan Dalam surah Al-Maidah ayat 2 pula Allah (swt) berfirman maksudnya, ”Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”
Saudara dan saudari yang saya hormati,
18. Seperti yang saya katakan tadi pada tahun ke 11 ini, tanggungjawab menjayakan majlis istiadat penaikkan bendera Sang Setia diserahkan kepada barisan kepimpinan yang baru bagi tahun 2015 ke 2018.
19. Hari ini merupakan hari yang penuh bermakna kepada perjuangan kita selaku anggota Parti Pembangunan Bangsa, satu-satunya pertubuhan politik yang masih berdiri tegak waima pun suasana politik negara kurang memberangsangkan untuk ianya berkembang dengan baik.
20. Dalam konteks ini saya rakamkan ucapan tahniah kepada semua yang berada di majlis ini, ahli-ahli NDP yang tidak dapat menghadirkan diri serta penyokong-penyokong setia NDP atas keteguhan semangat untuk terus menanai perjuangan NDP
21. Tanpa sokongan dan tanpa komitmen yang jitu dari saudara saudari, mungkin saja hari ini hanya tinggal menjadi kenangan dan menjadi ristaan sejarah tentang kegagalan rakyat untuk memainkan peranan dalam proses pembaharuan politik yang dihasratkan
22. Akan tercatat dalam lipatan sejarah bahawa orang Brunei walaupun hidup selesa tetapi miskin politik, miskin semangat untuk mengelinga maslahah bangsanya dan tidak peduli akan politik bangsanya
23. Makanya kita bersyukur, NDP masih bertahan dan dengan izin Allah NDP akan terus bertahan atas landasan perjuangan yang diasakan atas keinsafan dan kesedaran rakyat untuk terus memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang demokratik seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara
24. Bendera Sang Setia, dengan izin Allah, akan terus berkibar sebagai lambang perjuangan NDP mempertahankan sistem pemerintahan yang berasaskan keadilan dan berihsan yang merupakan ciri-ciri kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
25. Sistem pemerintahan yang berpaksikan keadilan dan ihsan ini akan kita terus pertahankan agar rahmat keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati dapat sama dirasai oleh anak cucu dan zuriat-zuriat kita hingga ke akhir zaman. In sya Allah
26. Sang Setia, dengan izin Allah, akan terus berkibar sebagai simbol perjuangan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara Negara Brunei sebagai ‘Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghaffur’ iaitu negara yang baik, yang aman makmur serta sentiasa mendapat perlindungan Allah (swt)
27. Pada pemahaman NDP, negara yang baik itu ialah negara yang bahagia dan sejahtera, negara dimana keadilan ditegakkan, yang berhak, tidak kira kedudukan pangkat, ningrat atau marhaen, puak majoriti atau puak minoriti akan mendapat haknya tanpa diskriminasi dan pilih kasih, pihak yang berkewjipan akan menjalankan kewajipannya dengan adil dan berihsan, dengan amanah, jujur dan bersih. Tidak ada lagi kezaliman didalamnya.
28. Sang Setia juga akan terus bekibar sebagai simbol perjuangannya menyokong dan membantu menjayakan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar konsep ‘Negara Zikir’ terus diamalkan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.
29. Dalam konteks ini NDP melihat pengertian al-zikr sebagai Al-Quran.
30. Bersandarkan pemahaman ini konsep negara zikir membawa maksud negara Al-Quran, yakni, Negara Islam atau Negara Kebajikan, negara yang aman makmur yang mendapat keampunan Allah SWT.
31. Dalam lain perkataan, Brunei sebagai ‘Negara Zikir’ merupakan sebuah negara Islam yang menterjemahkan seluruh tuntutan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam segala aspek kehidupan, meliputi kepimpinan, pemerintahan, pentadbiran, politik, undang-undang, keadilan dan kesaksamaan sistem sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
32. Pegangan NDP ini adalah bersandarkan kepada tuntutan Surah Al An’aam, ayat 155, yang bermaksud: Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
33. Untuk itu marilah kita manfaatkan hari yang penuh bermakna ini dengan memperbaharui kesetiaan kita kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku ulil amri yang tidak goyah memperjuangkan keadilan dan memperjuangkan Islam sebagai cara hidup yang syumul yang memberikan jaminan jalan kearah kejayaan dunia dan akhirat
34. Marilah kita kibarkan Sang Setia hari ini sebagai simbol perjuangan dan keikhlasan kita untuk terus menyokong dan membantu baginda sultan dan kerajaan dalam apa jua usaha membangun negara dan bangsa atas landasan yang betul iaitu landasan keadilan dan ihsan, landasan ‘Negara Zikir, dan ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghaffur’ dalam menuju kearah merealisasikan Wawasan 2035
35. Diperhimpunan ini kita juga perbaharui ikrar taat setia kita yang tidak berbelah bahagi kepada nusa bangsa dan kecintaan kita kepada kehidupan sejagat yang aman damai dan harmoni.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
36. Hari ini kita menjayakan majlis yang penuh bermakna ini dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan suasana ekonomi dan politik dunia yang amat mencabar. Harga minyak mentah antarabangsa, contohnya, telah jatuh ke paras yang paling rendah dan ini telah menjejaskan dengan teruknya hasil pendapatan negara yang bergantung penuh kepada hasil minyak dan gas
37. Konflik antara negara semakin menjadi-jadi, perubahan cuaca ekstrim bukan lagi satu andaian, pengganguran dan bencana alam semakin menjadi-jadi, keadilan sudah dijual beli dan kezaliman semakin berleluasa
38. Dalam suasana yang membimbangkan ini, negara juga belum berhasil mempelbagai sumber ekonomi agar tidak terus bergantung hidup kepada hasil minyak dan gas
39. Menurut laporan terkini 75 peratus struktur ekonomi masih berpaksikan kepada sektor minyak dan gas, 24 peratus kepada sektor perkhidmatan dan hanya 1 peratus ditanai oleh sektor pertanian
40. Keadaan ini membawa makna bahawa usaha untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan turut terencat, serta usaha untuk mempelbagai sumber pendapatan negara masih belum tercapai
41. Dari sudut kestabilan politik negara, sesetengah pihak melihat ianya masih lagi didudukan atas kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan selaku Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdaggangan serta Menteri Kewangan
42. Keadaan ini turut juga meletakkan NDP dalam suasana yang sangat mencabar kredibiliti dan yang boleh saja mempersoalkan relevansi kewujudannya dan perjuangannya.
43. Dalam hal ini peranan NDP untuk menegakkan keadilan dalam keadaan ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu dan dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan cabaran pertumbuhan ekonomi yang malap sudah tentu semakin ditagih-tagih
44. Baru-baru ini Brunei diletakkan ditangga teratas dalam ranking negara-negara ASEAN yang mempunyai angka pengganguran yang terbanyak mengikut nisbah jumlah penduduknya
45. Dalam isu pengganguran ini keresahan dan kegelisahan rakyat tentangnya dapat dirasakan dan NDP selalu disarankan untuk berbuat sesuatu agar pihak berwajib lebih kehadapan menanganinya
46. Perkara yang sering dibagkitkan ialah isu kemaslahatan para penggangur yang belum berjaya mendapat pekerjaan. Menggangur bermakna tidak ada pekerjaan, tidak ada pekerjaan bererti tidak ada pendapatan untuk keperluan hidup seharian. ertinya golongan penggangur in termasuklah kedalam golongan fakir miskin yang berhak menerima zakat asnaf fakir miskin
47. Isu pengganguran ini juga dikaitkan dengan isu pendatang asing yang mengecilkan lagi peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan serta isu majikan di sektor swasta yang lebih cendrung mengelinga maslahah pekerja asing berbanding anak tempatan
48. Banyak lagi isu keadilan sosial dan ekonomi yang sering menjadi rungutan terutama dikalangan masyarakat yang terhambat oleh dasar yang tidak memihak kepada kepentingan golongan berpendapatan rendah dan juga yang berpunca dari ketirisan dalam sistem delivery kerajaan
49. Semua ini merupakan petanda atau bunga-bunga kepada masalah yang paling pokok yang berkemungkinan bercabang atau berpunca dari dasar pembangunan negara serta sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan yang kurang mantap dan tidak selaras dengan tuntutan objektif syariah
50. Kita berharap agar masalah-masalah ini dapat dikurangkan dan terkawal dari keadaan yang boleh menjejaskan kebahagiaan dan kesejhateraan rakyat, negara dijauhi dari perbuatan-perbuatan mungkar dan zalim yang boleh mehilangkan rahmat Allah dari negara yang tercinta ini
51. Dikesepmatan ini marilah kita mengambil ingatan akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan pelantikan-pelantikan baru pada 9 muharram 1437 / 22 oktober 2015 yang lalu
52. Izinkan saya memetik dan membacakan titah yang dimaksudkan;
“Allah mengurniakan nikmat, sementara kita berkewajipan mensyukurinya. Syukur itulah pemangkin segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat akan hakis, tidak dapat bertahan lama.
Bagaimanakah caranya bersyukur itu? Di samping mengucapkannya dengan lidah, kita juga dituntut untuk bersyukur melalui ‘urustadbir’ di dalam kehidupan. Kerana itulah kita memerlukan kerajaan, dan dalam kerajaan itu pula terdapat jentera yang terdiri daripada para pemimpin dan pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah mereka.
Di tangan merekalah, terutama para pemimpin, kewajipan untuk membawa negara ini menjalani amalan bersyukur, iaitu melalui pimpinan dan urustadbir mereka dalam kerajaan.
Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.
Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman”
Saudara, saudari yang dihormati,
53. Dalam senario ini, persoalannya yang perlu diberikan perhatian ialah kesediaan NDP dan anggota-anggotanya melaksanakan janji untuk rebah bangun bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
54. Janji kita untuk bersama rakyat dalam menegakkan keadilan sedang ditagih
55. Apakah kita sudah siap untuk terus memperjuangkan visi, misi dan objektif parti dengan penuh kedewasaan dan kematangan sesuai dengan imej hebat yang wajar terpancar dari sebuah parti politik yang sudah berusia lebih satu dekad?
Saudara, saudari yang saya hormati,
56. NDP, sebagai sebuah pertubuhan politik telah dipersiapkan dengan struktur organisasi dan sistem pentadbiran serta pengurusan yang cukup lengkap untuk mengatur perjalanannya kearah mencapai matlamat yang dicita-citakan.
57. NDP mempunyai struktur organisasi serta sistem pengurusan dan pentadbiran yang cukup mantap untuk ianya benar-benar dapat berperanan sebagai penyambung lidah rakyat dan wadah untuk rakyat ikut serta menjayakan sistem pemerintahan yang demokratik dan inklusif seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.
58. NDP juga mempunyai perlembagaan yang mengariskan secara komprehensif dasar, misi, visi dan objektif parti, sebagai buku peraturan, tata cara dan garis panduan pengurusan, pentadbiran serta amalan-amalan urustadbir yang baik.
59. Dan kita juga ada bendera ‘Sang Setia’ yang kita kibarkan dengan megahnya sebagai simbol kesetia’an kita kepada raja, bangsa dan negara. Ia kita tabik, kita sanjung tinggi kerana ia melambangkan dan memancarkan semangat perjuangan kita menegakkan dan mengagungkan syiar Islam, simbol perjuangan kita menegakkan dan menanai konsep Melayu Islam Beraja sebagai peggangan kita berbangsa dan bernegara dan sebagai tunggak keamanan dan kestabilan negara.
60. Dalam lain perkataan, dari aspek teknikal nya, NDP umpama sebuah bahtera yang sudah lengkap dengan kelengkapan-kelengkapan dan peralatan-peralatan canggih, buku-buku manual, peta serta kompas. tinggal lagi ianya perlu dilayarkan dan dikemudi dengan baik agar samapai ke destinasi yang dicita-citakan.
61. Dalam hal ini, NDP perlu bergerak sebagai sebuah pasukan. Ia tidak mampu bergerak dengan baik jika ia sarat dengan penumpang yang hanya pandai mengeluh dan mengadu akan setiap kekurangan tetapi tidak bersedia untuk sama-sama meyumbang kearah usaha mempastikan pelayaran kita lancar dan berjaya.
Saudara, saudari yang saya kasihi,
62. Dalam masa sama, NDP perlu terus melontarkan pandangan dan saranan agar keadilan sosial, yang merupakan keutamaan dalam tuntutan perlaksanaan hukum hudud, terus ditegakkan.
63. Dengan kata lain, sistem dan proses yang menyokong keadilan sosial harus diperbaiki. Sistem pemungutan dan pengagihan zakat untuk meringankan bebanan hidup asnaf-asnaf fakir miskin, al gharimin dan lain-lain perlu terus dimantapkan hingga mereka yang menghadapi kesemptian hidup jauh dan terhindar dari kekufuran.
64. Begitu juga dengan dasar kemajuan perumahan negara serta sistem dan proses perlaksanaannya. NDP mempunyai tanggungjawab politik dalam mepastikan bukan sahaja semua rakyat terutama golongan miskin dan kurang kemampuan tidak dinafikan hak mereka, tetapi lebih dari itu mestilah disediakan dengan bangunan rumah yang mesra syariah, mesra pengguna yang dapat menjauhakn keluarga dari jenayah sumbang mahram dan mendekatkan mereka pula kepada kehidupan beragama.
65. Persoalannya, apa NDP boleh sumbangkan dalam sama-sama menyahut seruan Baginda Sultan tersebut dan dalam sama-sama berhadapan dengan cabaran-cabaran yang telah digariskan
66. Sehubungan dengan itu, NDP perlu menterjemahkan kebimbangan ini dalam bentuk gerak kerja yang boleh menyumbang kearah mengurangkan ancaman ini
67. Bagi melaksanakan tugas tersebut, NDP memerlukan anggota-anggota parti yang komited kepada tema perjuangan ‘menjunjung titah membangun bangsa’ dan komited dalam usaha menjayakan misi, visi dan objektif NDP.
68. Kesimpulannya, NDP mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dalam sama-sama membangun bangsa dan negara ini atas landasan pemerintahan yang baik, amalan urustadbir yang baik serta sistem delivery yang adil dan berehsan.
69. Tugas dan tanggungjawab NDP, sebagai sebuah pertubuhan politik, sangat luas merangkumi semua aspek kehidupan.
70. Kita dapat simpulkan bahawa tugas dan tanggungjawab politik NDP selaras dengan tuntutan ‘Maqasid syariah’ iaitu untuk memelihara ugama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Justeru, tidak ada yang boleh terlepas dari perhatian NDP.
71. Makanya dalam isu pembangunan infrastruktur negara, contohnya, NDP juga berperanan agar dasar dan perlaksanaannya menjurus kearah memlihara kesejahteraan bangsa dan negara.
72. Kita tidak mahu melihat perlaksanaan projek-projek mega yang membanggakan sahaja, tetapi dalam masa sama masalah banjir, jalan rosak, projek perumahan negara lambat disiapkan, keadaan rumah yang kecil, isu tanah TOL dan lain-lain masih belum dapat ditangani dengan baik, adil dan berehsan.
73. Seperti juga isu-isu yang lain, NDP turut bertanggungjawab dalam hal ini.
74. Ini kerana NDP merupakan sebuah pertubuhan politik yang berdaftar. Ia merupakan sebuah pertubuhan politik yang berdakwah dan pergerakkan dakwah yang berjalan atas landasan politik yang sah.
75. Perlembagaan menghendaki kita melaksanakan tuntutan agama ‘amal makruf nahi mungkar’ dalam sama-sama menegakkan keadilan dan ehsan dalam berbangsa dan bernegara.
76. Jika kita gagal melkaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, maka NDP akan dilihat gagal sebagai sebuah pertubuhan politik.
77. Walaupun ia sudah berusia 11 tahun, tetapi ia akan masih dianggap belum dewasa dan matang
78. Dari itu, di majlis yang penuh bermakna ini saya sekali lagi berseru…marilah kita sama-sama memperbaharui tekad kita untuk terus komited dan ikhlas membangun dan memajukan Parti Pembangunan Bangsa sebagai rakan strategik kepada Kebawah Duli yang Maha mulia Paduka Seri Baginda Sultan.
79. Marilah kita perbaharui tekad untuk terus mara kehadapan dalam perjuangan membela untung nasib masa depan negara.
80. Marilah kita terus membantu raja dalam usaha mempastikan negara Brunei berkekalan menjadi sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman, damai dan sejahtera serta sentiasa mendapat keampunan Allah jua.
81. Marilah kita perbaharui komitmen kita kepada perjuangan NDP untuk menegakkan konsep keadilan dan ehsan yang menjadi teras pemerintahan Baginda Sultan.
82. Marilah kita insafi bahawa rebah bangun NDP terletak kepada kesediaan dan komitmen kita untuk menanai perjuangan yang dibawanya
83. Bercakap tentang komitmen, in sya Allah, dibawah kepimpinan baru ini kita akan meneruskan mana-mana kerja yang belum selesai dibawah kepimpinan sebelum ini seperti yang diamanahkan oleh ayahnda Haji Mahmud Morshidi Othman, mantan Presiden yang juga merupakan mentor kita.
84. Saya selaku Presiden yang baru juga berhasrat untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai dengan kemampuan kita kearah mempertingkat lagi keupayaan barisan kepimpinan pusat, daerah dan peringkat ranting dalam bidang-bidang yang perlu seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan lain-lain yang boleh menyumbang kearah memantapkan lagi kesatuan dan kewibawaan NDP
85. Saya juga berpendapat perlunya NDP memperkasa Lembaga Penasihat NDP dengan mempastikan ahli-ahli jemaah terdiri dari mereka yang benar-benar memahami semangat dan dasar perjuangan NDP
86. Pemimpin datang dan pergi, Senario politik dunia semakin hebat dan mencabar, makanya Lembaga Penasihat saya lihat sangat mustahak diperkasakan dan berperanan selaku sebuah badan syura yang memegang amanah dalam memelihara keutuhan NDP, mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan peraturan NDP yang wajib dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran NDP
87. Saya juga melihat perlunya badan Lembaga Penasihat diperkukuh sebagai pemangkin usaha kearah merealisasikan hasrat untuk menjadikan Limbaruh Hijau sebagai institusi pendidikan politik ke arah matlamat melahirkan kepimpinan pelapis dan kader-kader politik yang berkaliber
88. Ahli-ahli jemaah dewan syura Lembaga Penasihat ini saya lihat perlu terdiri dari golongan yang lebih berpengalaman luas dalam bidang politik, memahami Islam dan semangat penubuhan NDP sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya
89. In sya Allah perkara ini, dengan izin, akan saya bincangkan dengan ayahnda mantan Presiden untuk mendapatkan pandangan beliau selaku pengasas utama parti dan selaku orang yang memahami semangat penubuhan NDP
90. Agenda ini juga akan saya bentangkan di mesyuarat Dewan Harian dan Mesyuarat Majlis Tertinggi nanti, in sya Allah
91. Untuk akhirnya marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar dari firman Allah s.w.t mengenai ‘orang cakap tidak serupa bikin….’
92. Dalam surah al-baqarah ayat 44 Allah berfirman, “patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”
93. Dan dalam surah al-saf ayat 2 dan 3 Allah berfirman, “wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan”.
94. Sekian wabillah hi taufik wal assalamualaikum wa rahmatuulahi wa barakatuh.
95. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment