Posting mengikut label

Monday, December 28, 2015

KDYMM: Teruskan semangat menjulang nama Islam di mata dunia




Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

SEBAGAI hamba Allah yang tahu menghargai nikmat Allah terhadapnya, maka kita sangatlah wajar bersyukur di atas limpah kurnia Allah mengutus Nabi-Nya Yang Mulia, Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ke alam maya ini.

Dengan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dunia ini telah bertukar rupa, dari gelap-gelita kepada terang-benderang. Jiwa buas manusia dapat dijinakkan menjadi lebih tenang dan bertimbang rasa.

Inilah berkat kerasulan Nabi Muhammad selaku pelita dan rahmat. Baginda benar-benar menjadi rahmat kepada seluruh alam (Rahmatan Lil’aalamin). Inilah rahsia Allah mengutus Baginda.

Kita yang menerima rahmat dan nikmat ini, tidak ada sebab untuk tidak memperingati hari keputeraan Baginda, selaku pembawa rahmat tersebut. Inilah namanya kita bersyukur sambil mengenang jasa.

Orang yang bersyukur dan pandai mengenang jasa adalah orang baik, dan malah Allah sangat menyukai mereka. Lagipun apabila kita memperingati detik bersejarah ini, kita bukan mengisinya dengan perkara sia-sia, tetapi dengan perkara-perkara yang disuruh oleh ugama sendiri, seperti berselawat dan berzikir atau mengadakan majlis-majlis ceramah dan kuliah.

Jadi kalau ada pendapat yang tidak bersetuju kita memperingati hari keputeraan Nabi dan lain-lain hari kebesaran Islam, seperti menyambut Awal Tahun Hijrah, adalah itu pendapat yang lemah.

Beta terus mengingatkan, supaya jangan berhenti dari melakukan amalan tradisi memperingati hari-hari kebesaran Islam, biarpun orang lain tidak melakukannya. Kita melakukan ini adalah sebagai usaha untuk memperkaya semangat kita sendiri dalam menjulang Islam di mata dunia, di samping mengambil manfaat daripadanya.

Islam adalah ugama tertinggi yang menghulurkan kebajikan kepada siapa saja. Ia perlu terus dilihat dan dikenali sebagai ugama terbaik. Kerana itu jangan takut mempromosi Islam, sebagaimana Allah sendiri mempromosinya di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 19 tafsirnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Ini adalah promosi mutlak daripada Allah mengenai Islam. Ia sudah tidak boleh dipertikaikan lagi, kerana pengakuan ini bukannya dari siapa-siapa melainkan daripada Allah sendiri. Jika ada orang yang mahu menyangkalnya, maka itu adalah satu keceluparan di sisi Maha Pencipta.
Islam selama-lamanya adalah benar, dan Islam selama-lamanya tidak pernah membuat sebarang kesalahan. Adapun yang bersalah itu ialah orang. Jadi yang dicela bukanlah Islam, tetapi patut dicela ialah siapa yang mencela Islam.

Ini mustahak difahami oleh setiap individu, khasnya orang-orang Islam sendiri, supaya tidak berbangkit, akan ada pihak-pihak yang keliru yang memandang serong kepada Islam.

Islam tidak terlibat, atau sama sekali tidak boleh dilibat-libat dengan keburukan. Ia tetap ugama samawi, yang semata-mata hanya menjana kebaikan. Jika terjadi sebarang keburukan, seperti jenayah dan lain-lain, maka itu bukanlah dari ajaran Islam. Ajaran Islam adalah sebaliknya, sangat kuat memelihara darah, nyawa, keturunan, harta benda dan maruah.

Siapa yang mengenalkan semua ini kepada kita? Jawabnya tidak lain ialah Nabi Pesuruh Allah, Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Oleh itu, sangatlah perlu Baginda itu dikenang selalu, untuk mengilhami kita meneruskan usaha-usaha suci memelihara Islam dan kesejahteraan sejagat.

Semoga dengan berkat niat baik kita ini, Brunei Darussalam akan terus dilimpahi dengan rahmat, berupa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: