Posting mengikut label

Thursday, December 10, 2015

Rasuah: 3,062 kes disiasat, 344 individu didakwa


BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Sejak penubuhan Biro Mencegah Rasuah (BMR) pada tahun 1982, sebanyak 3,062 kes telah disiasat yang merangkumi kesalahan rasuah; seperti dalam memberi dan menerima rasuah, pecah amanah, menghadapkan tuntutan palsu, penipuan, dan layanan seksual.

Daripada jumlah kes tersebut, 344 individu dan dua buah syarikat telah dihadapkan ke mahkamah dengan 247 individu dan dua syarikat disabitkan kesalahan di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara serta denda.

Statistik ini dikongsikan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BMR, hari ini, sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2015.

Menurut kenyataan itu lagi, selain daripada jumlah kes yang disabitkan di mahkamah, seramai 210 orang pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, telah diambil tindakan tatatertib kerana melanggar pelbagai kesalahan hasil daripada penyiasatan oleh BMR.

Tindakan tatatertib yang diambil adalah seperti ditamatkan perkhidmatan, penggantungan kerja, penurunan pangkat, pengurangan bonus tahunan, dan penurunan penilaian prestasi mereka.

Jenis kesalahan yang dilakukan oleh pegawai dan kakitangan awam termasuklah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, pertentangan kepentingan kerana pilih kasih dalam urusan rasmi mereka sebagai pegawai kerajaan.

Menurut kenyataan itu lagi, Hari Anti Rasuah Antarabangsa disambut pada 9 Disember setiap tahun untuk memperingati tarikh deklarasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

Tarikh ini adalah sangat bermakna yang mana ia menandakan pencapaian bagi negara-negara ahli dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa pertama menentang rasuah.

Dengan penerimaan UNCAC sebagai undang-undang global memerangi rasuah, sebanyak 178 buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli kepada konvensyen tersebut.

Kenyataan itu berkata, antara objektif memperingati Hari Anti Rasuah Antarabangsa ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai gejala rasuah dan peranan konvensyen ini dalam menentang dan mencegah rasuah.

Tahun ini, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) telah menetapkan bahawa tema tahun ini adalah ‘Memutuskan Rantaian Rasuah’ (Break the Corruption Chain).

Kempen bersama antarabangsa bagi tahun 2015 memfokuskan bagaimana rasuah boleh melemahkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, membawa kepada pencabulan hak asasi manusia, menjejaskan pasaran, penghakisan kualiti kehidupan dan membolehkan jenayah terancang, pengganasan dan lain-lain ancaman keselamatan untuk berkembang.

Dalam hal ini, kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, media dan orang awam memainkan peranan penting dalam menentang rasuah dan perlu bersatu untuk ‘Memutuskan Rantaian Rasuah.’

Menurut UNODC, setiap tahun sejumlah AS$1 trillion telah dibayar untuk kegiatan rasuah manakala kira-kira AS$2.6 trillion telah dicuri melalui kegiatan rasuah – satu jumlah yang sama dengan lebih 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) global.

Sebagai tambahan, UNDP menganggarkan bahawa jumlah dana yang hilang akibat rasuah adalah 10 kali ganda jumlah bantuan pembangunan.

Rasuah bukan sahaja mencuri wang daripada di mana ia diperlukan, malahan ia membawa kepada tadbir urus yang lemah, dengan sendirinya mendorong kepada rangkaian jenayah terancang dan menggalakkan jenayah merentasi sempadan seperti penyeludupan manusia, senjata dan penyeludupan migran dan pemalsuan wang.

Rasuah memberi kesan kepada semua di mana ia melemahkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan.

Dalam usaha memutuskan rantaian rasuah, adalah penting untuk kita sedari bahawa pencegahan dan menentang rasuah memerlukan pendekatan menyeluruh dimana melibatkan akauntabiliti dan ketelusan serta penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Peranan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat awam, media dan orang ramai adalah digesa untuk bekerjasama dalam membendung gejala rasuah. Pihak yang berkepentingan adalah digesa untuk bekerjasama dalam usaha memerangi dan mencegah rasuah.


Sumber - Media Permata

No comments: