Posting mengikut label

Thursday, September 5, 2013

MAJLIS KHATAM AL QURAN, DOA SELAMAT DAN TAHLIL SEMARAKKAN ULANG TAHUN NDP KE 8



LIMBARUH HIJAU, 31 OGOS 2013 : 31 Ogos 2013 genaplah 8 tahun penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP). Satu Majlis Kesyukuran yang diisi dengan program Khatam Al Quran dan Tahlil telah diadakan sempena tarikh keramat tersebut dianjurkan oleh Jabatan Setiausaha Agung di Markas Pusat, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang dihadiri hampir 100 orang pimpinan parti di peringkat Pusat, Perhubungan dan Ranting.

Pada majlis tersebut Mantan Setiausaha Agung Saudara Haji Aminorashid bin Haji Ghazali dan Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Salleh yang merupakan ahli Pro tem dan petugas (runner) semasa di awal penubuhan parti telah diberi kesempatan mengongsikan pengalaman awal mereka ketika penubuhan parti.


Hadirin begitu teruja dengan kisah kisah yang mencabar yang mereka lalui beberapa bulan sebelum NDP disahkan penubuhannya pada tarikh tersebut dimana mereka terpaksa berulang alik antara Bandar Seri Begawan dan Kuala Lumpur bagi menerima dan melaksanakan arahan dari pendiri parti yang ketika itu terpaksa menghabiskan banyak masa di luar negara.

Pada majlis itu juga Presiden NDP Saudara Mahmud Morshidi Othman telah berkesempatan memberikan sedikit nasihat kepada ahli ahli parti supaya menerima hakikat bahawa "Negara Brunei adalah ibarat sebuah rumah yang mempunyai seorang pemilik, dan pemilik tersebut adalah Kebawah DYMM,"ujar Saudara Morshidi.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa "salam daripada bekas orang orang tahanan yang syarat pembebasan mereka dari tahanan terhalang oleh syarat pembebasan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam kegiatan politik apatah lagi untuk menubuhkan dan memimpin sebuah parti politik, telah dijawab oleh pihak berkenaan dengan mengizinkan penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) tanpa sebarang pindaan pada perlembagaannya kecuali perkara perkara teknikal yang ada persamaan dengan parti yang telah diharamkan (PRB) seperti penggunaan warna merah pada lambang dan bendera, penggunaan istilah Ketua Umum dan perkataan rakyat pada nama Parti,"ujar beliau.



Saudara Morshidi melahirkan kesyukurannya setelah empat bulan permohonan pendaftaran NDP dimajukan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan yang membariskan 'top six' kepimpinan parti yang terdiri dari bekas orang orang tahanan politik telah mendapat perkenan dari Kebawah DYMM iaitu pada 31 Ogos 2005.


Justeru itu tegas Saudara Morshidi, " Ahli ahli parti bukan hanya mempunyai tanggung jawab politik tetapi juga mempunyai tanggung jawab moral untuk menanai kepercayaan Kebawah DYMM terhadap NDP yang dari mula penubuhannya melalui pendekatan yang penuh santun dan berhemah."

Oleh itu, "Ahli ahli parti janganlah melagukan dendangan dendangan sumbang yang boleh menghakis kepercayaan Kebawah DYMM dan kerajaan terhadap komitment parti untuk menyokong dan mendokong Baginda dan kerajaan untuk memacu Negara ke arah sebuah negara yang selamat , aman dan makmur."

Menurut Saudara Morshidi harga sebuah kepercayaan adalah terlalu mahal, maka pelihara dan tanailah kepercayaan Kebawah DYMM terhadap NDP, satu satunya parti politik yang wujud di Negara Brunei pada hari ini.

Program Tadarus dan Khatam Al Quran yang disempenakan denga penubuhan NDP adalah antara program dakwah yang telah menjadi amalan parti sejak penubuhannya. Demikian juga program doa selamat dan tahlil arwah merupakan program berkembar keagamaan parti untuk mengenang ahli ahli parti dan pejuang pejuang kemerdekaan sama ada dari kalangan rakyat biasa atau dari kalangan kerabat di raja yang telah kembali ke rahmatullah. Kebetulan pula pada 18 Ogos 2013 salah seorang ahli Protem NDP Pg Haji Abu Bakar Pg Dato Paduka Haji Mohamad telah kembali ke rahmatullah.  

NDP akan meneruskan program tadarus Al Quran sempena Hari Keputeraan Kebawah DYMM dan In Syaa Allah Majlis Khatam al Quran akan diadakan pada 30 September 2013.

No comments: