Posting mengikut label

Monday, September 9, 2013

WEF: Brunei negara ke 26 paling kompetitif


Oleh Mahdi Yassin

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah menyenaraikan Brunei Darussalam sebagai negara ke-26 paling berdaya saing daripada 148 negara dalam Laporan Daya Saing Global (GCR 2013-2014), yang dikeluarkan hari ini, meningkat dua anak tangga berbanding dengan tahun lepas.

Tahun lepas Brunei menduduki tempat ke 28 daripada 144 negara.

Menurut Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, peningkatan kedudukan dalam 6 daripada 12 tonggak (pillars) dalam GCI 2013-2014 (Institusi, Kesihatan dan Pendidikan rendah, Pendidikan tinggi dan latihan, Kecekapan barangan pasaran, Kecekapan pasaran Buruh dan Kecanggihan Perniagaan) telah menyumbang kepada kemajuan kedudukan GCI Negara Brunei Darussalam tahun ini.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, peningkatan dalam kedudukan tahun ini amat bermakna kerana jumlah negara yang mengambil bahagian telah meningkat kepada 148 negara berbanding tahun lepas sebanyak 144.

“Salah satu fokus utama dalam laporan tersebut adalah Negara Brunei Darussalam mengekalkan kedudukan teratas dalam Persekitaran Makroekonomi, mengatasi 148 buah negara/ekonomi yang telah mengambil bahagian dalam laporan,” katanya.

Laporan Daya Saing Global adalah berdasarkan GCI (Indeks Daya Saing) yang diperkenalkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2004.

Penentuan indeks tersebut menentukan tahap produktiviti sesebuah negara dan mata GCI dikira dengan mencatatkan data peringkat negara yang meliputi 12 tonggak daya saing iaitu institusi, inovasi, persekitaran makroekonomi, kesihatan dan pendidikan rendah, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran barangan, kecekapan pasaran buruh, pembangunan pasaran kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan dan inovasi.

Yang Berhormat Pehin berpendapat usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah membuka jalan kepada pandangan yang lebih positif di negara ini.

“Satu skop yang meluas dalam pelaksanaan dan pembangunan inisiatif-inisiatif serta pembaharuan dalam pelbagai sektor kerajaan turut memberikan peningkatan dalam kedudukan tahun ini,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Selain itu, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor swasta juga telah menyumbang kepada pendekatan yang lebih menggalakkan dalam membangunkan produktiviti negara sama ada dalam pasaran tempatan atau antarabangsa.

Usaha kerjasama akan menggalakkan kemajuan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan merupakan komponen penting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan relevan dengan ekonomi global hari ini.

“Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan memberikan peranan untuk menyumbang kepada usaha negara memperkukuhkan daya saing ke arah merealisasikan Visi Wawasan 2035.”

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN yang dicatatkan dalam laporan itu, kedudukan GCI Indonesia telah menunjukkan peningkatan yang besar, dengan kedudukan ke-38 dari tangga ke-50 tahun lepas menjadikan negara tersebut yang paling meningkat bagi negara-negara G20 sejak 2006.

“Majoriti negara-negara ASEAN turut mengalami peningkatan dalam kedudukan dengan Singapura masih mengekalkan kedudukan teratas di kalangan negara-negara ASEAN, diikuti Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Republik Demokratik Rakyat Lao, Kemboja dan Myanmar.”

Yang Berhormat Pehin turut bersetuju dengan komen yang dibuat oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab yang mengatakan bahawa “Perbezaan tradisional antara negara-negara yang ‘maju’ atau ‘kurang maju’ secara beransur-ansur akan hilang dan kita sebaliknya akan merujuk kepada negara-negara yang ‘kaya inovasi’ vs. negara-negara ‘miskin inovasi’.

Oleh itu, adalah penting para pemimpin perniagaan, kerajaan dan masyarakat sivil bekerjasama untuk mewujudkan sistem pendidikan dan membolehkan persekitaran yang menggalakkan inovasi.”

Dipetik dari - Media Permata

No comments: