Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Friday, September 20, 2013
Titah sempena Hari Keputeraan KDYMM yang ke-67 tahun
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-67 Tahun berlangsung pada 9 Zulkaedah 1434H / 15 September 2013M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahiim
Alhamdulillaahi Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen,
Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin
Wa'alaa 'Alihie Wasahbihee Ajma'een, Waba'du
ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua istiadat ini dapat berjalan, sekalipun ianya sedikit tertunda. Beta terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu khas beta, yang sudi hadir ke Istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada beta serta keluarga, bersempena perayaan ini.
Istiadat ini, pada kelazimannya berlangsung dalam bulan Julai, namun pada kali ini ia diadakan dalam bulan September. Ini ialah bagi membolehkan umat Islam di negara ini menghayati ibadat puasa dalam bulan Ramadan serta lain-lain ibadat yang berkaitan dengannya.
Alhamdulillah, pada bulan April yang baru lalu kita telah berjaya menjadi tuan rumah dan seterusnya mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-22 di Negara Brunei Darussalam. Beta amat gembira melihat kesepaduan, komitmen serta dedikasi tinggi yang telah diperlihatkan oleh semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan tanggungjawab negara selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN. Ini termasuk juga layanan baik dan mesra kita kepada para tetamu daripada luar negara.
Sidang tersebut telah berjaya mencapai beberapa kemajuan penting, antara lain menzahirkan keazaman padu kesemua negara ahli bagi melipatgandakan lagi usaha ke arah memenuhi sasaran tahun 2015 penubuhan Komuniti ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN, beta telah menekankan tentang nilai strategic Komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat atau people centred untuk dicapai, bagi membolehkan kumpulan ini secara berkesan menggunakan peluang-peluang kemajuan serta menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa melalui kesepaduan politik integrasi ekonomi dan tanggungiawab sosial.
Demikian juga satu lagi kejayaan kita di peringkat antarabangsa pada tahun ini, ialah latihan ketenteraan ulung berteraskan bantuan kemanusiaan, bantuan bencana dan perubatan tentera (Human Assistance and Disaster Relief and Military Medicine) yang telah diadakan di negara ini pada bulan Jun yang baru lalu. Latihan besar-besaran tersebut, turut membabitkan negara-negara ahli ASEAN dan rakan-rakan dialog di bawah naungan ADMM Plus.
Pada hemat beta kejayaan-kejayaan yang dicapai itu adalah bertitik-tolak dari nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dimiliki oleh negara ini.
Insya-Allah, tidak lama lagi Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan-Rakan Dialog akan berlangsung pula di negara ini pada bulan Oktober akan datang. Beta penuh yakin kita semua akan terus komited bagi menjayakannya.
Pada tahun 2012, negara telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang agak rendah disebabkan oleh pengeluaran di sektor minyak dan gas yang menurun, walaupun sektor bukan minyak dan gas telah mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 3 peratus, namun ini adalah pertumbuhan dari asas yang rendah (low base). Bersabit itu, usaha mempelbagaikan kegiatan perekonomian dan sumber pendapatan negara adalah perlu dilipatgandakan lagi, sebagai langkah mewujudkan perimbangan.
Tumpuan juga perlu diberikan kepada meningkatkan penyertaan dan penglibatan syarikat-syarikat serta usahawan-usahawan tempatan dalam sektor swasta.
Kerana itu, jurang keupayaan dan tatacara perlaksanaan oleh agensi-agensi berkaitan bagi membantu pengusaha-pengusaha tempatan adalah perlu dikenal pasti dan diperbaiki lagi.
Kerajaan beta insya-Allah akan terus mengamalkan dasar untuk mewujudkan suasana pro perniagaan dan pelaburan.
Kejayaan rancangan pembangunan negara tidak boleh dianggap lengkap jika masih ada segolongan masyarakat yang tidak dapat menerima manfaat dari pembangunan tersebut.
Maka dalam konteks inilah, negara menekankan 'inclusive development', yang bererti pembangunan negara meliputi human dimension dengan memberikan peluang kepada setiap anggota masyarakat untuk terlibat sama menyumbang kepada dan memperolehi manfaat daripada pembangunan tersebut.
Menyedari akan hakikat ini, Kerajaan Beta telah mengambil langkah-langkah bersepadu, bukan sahaja dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi juga memastikan setiap belia yang akan menyertai pasaran pekerjaan (job market), adalah diberikan peluang untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemahiran mereka.
Menyebut belia dan tenaga kerja yang produktif, sistem pendidikan negara adalah perlu menekankan pembangunan insane seimbang yang merangkumi pembangunan sikap, mentaliti, attitude serta juga daya kreativiti dan daya keusahawanan. Aspek-aspek ini memerlukan penerapan dari peringkat awal pendidikan lagi.
Dalam menilai dan meneliti dasar-dasar yang kita laksanakan, adalah perlu mengambil iktibar daripada data-data dan statistik yang telah diperolehi dan dikumpulkan. Sebagai contoh, berdasarkan statistik daripada Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja APTK, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pada akhir tahun lepas dari lebih 6,000 peluang-peluang pekerjaan di sector swasta, cuma sekitar 2,000 sahaja iaitu kira-kira 33 peratus diisikan oleh anak-anak tempatan.
Agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan, perlu mengkaji dan mengenal pasti apakah punca sebenar perkara ini boleh berlaku. Selaras dengan usaha ini, satu badan petugas atau taskforce, yang dikenali sebagai Jawatankuasa Badan Khas Bertanggungiawab Menyediakan Dasar Perancangan Sumber Tenaga Manusia telah pun ditubuhkan bagi menentukan arah kemajuan jangka panjang tenaga manusia.
Tenaga kita semua disumbangkan adalah untuk pembangunan, untuk kita dapat hidup dengan baik dan selesa, cukup makan dan pakai serta mempunyai tempat tinggal.
Ini semua memerlukan pengurusan. Tanpa pengurusan yang baik, semuanya boleh bercelaru dan kucar-kacir. Wang banyakpun tidak akan dapat menjamin apa-apa, jika ianya tidak diurus dengan betul, seperti orang berbelanja dengan boros dan membazir. Kerana itulah budaya berjimat dan menyimpan adalah amat mustahak bagi semua orang.
Beta suka menyebut di sini, bagaimana kerajaan menguruskan subsidi untuk rakyat. Menurut statistik, subsidi bagi minyak pada tahun 2011 sahaja adalah kira-kira $500 juta ringgit, sementara per kapita penggunaan air pula adalah kira-kira 450 liter sehari, yang tertinggi di Tenggara Asia, berbanding purata negara-negara jiran hanya kira-kira 250 liter sahaja.
Ini belum lagi yang lain-lain, seperti subsidi perumahan, perubatan, pendidikan, komoditi makanan asasi dan seumpamanya. Semuanya itu menghendaki kerajaan lebih berhemah dan bijaksana menanganinya.
Dalam perkara permakanan, belanja berlebihan boleh saja membawa kepada pembaziran, dan malah juga boleh menjadi penyebab kepada penyakit-penyakit kronik.
Di negara ini, 15% penduduk adalah pengidap diabetes yang berpotensi menyebabkan meningkatnya pemotongan anggota atau amputasi. 9% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun telah dikesan mengalami berat badan berlebihan atau obes. Dan lain lagi orang berbelanja membuang wang kepada benda yang tidak berfaedah malah merbahaya.
Di negara ini, 50% kaum bapa masih jadi perokok di dalam rumah. Mereka ini sebenarnya bertindak kejam terhadap diri sendiri dan juga keluarga.
Malah menjadi penyibar racun yang merbahaya di dalam negara.
Beta pada sekian lama telah memerhatikan perkara ini. Namun belum didapati langkah tegas mengenainya.
Apakah lagi yang ditunggu itu? Hukum haram merokok sudahpun lama difatwakan, begitu juga, mudharat merokok sehingga membahayakan nyawa sudah dikenalpasti. Malah perkara ini sering diulang-ulang di dalam ucapan-ucapan, namun rokok masih saja terus beredar, boleh dijual, dibeli dan dihisap oleh rakyat, termasuk oleh orang-orang Islam sendiri. Sampai bilakah lagi untuk kita bertindak tegas menyelamatkan orang ramai dan negara daripada bahaya rokok itu?
Agak menghairankan, kita asyik bercakap mengenai gaya hidup sihat, asyik bersenam, asyik berwalkaton dan berlarian, tetapi di dalam masa yang sama, kita juga masih membiarkan asap rokok meracuni rumah-rumah dan malah negara.
Itu satu. Prioriti kedua ialah terbeban ke atas pihak-pihak keselamatan, untuk mereka itu benar-benar fokus terhadap tugas masing-masing dalam membentengi negara dari sebarang anasir jenayah.
Ini adalah tugas besar. Sebab itu anggota keselamatan seperti polis, perlu fokus terhadap tugas-tugas mereka masing-masing, dengan penuh dedikasi dan amanah. Mereka adalah pasak dan tonggak keamanan kita.
Kerana itu pula kebajikan mereka itu mestilah dipantau atau diperhatikan selalu. Sebarang peraturan yang boleh menjejaskan kepentingan-kepentingan asasi mereka dan keluarga jika ada hendaklah direvise dan cepat-cepat diperbaiki.
Ini penting untuk menjamin kelicinan dan kesempurnaan mereka melaksanakan tugas.
Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sector swasta di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan beta. Penghargaan yang setinggi-tingginya juga beta sampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha yang gigih pada menjayakan Perayaan Ulang Tahun Beta yang Ke-67 tahun ini.
Beta juga berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam ini akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan limpah rahmat pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Labels:
TITAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment