Posting mengikut label

Friday, September 30, 2011

MENJUNJUNG TITAH MEMBANGUN BANGSA

Menyusuri Titah Hari Belia 2011 (1)

Titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 28 Syawal 1432 / 26 Septeber 2011 lalu sewajarnya diambil perhatian dengan penuh insaf bukan hanya oleh golongan belia itu sendiri, tetapi juga jentera kerajaan selaku ejen pelaksana.

Dalam titah tersebut, antara lain Baginda melontarkan cabaran kepada golongan belia agar mempunyai sifat dan kriteria keusahawanan yang mantap iaitu “kreatif dan inovatif”. Seterusnya Baginda bertitah “mereka juga digalakkan untuk terus menerokai segala bidang, sambil sentiasa up-to-date dengan perkembangan”.

Tentunya Baginda menyedari idealisma belia untuk memajukan diri mereka dibidang keusahawanan dan perniagaan tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan komitmen pihak kedua iaitu kerajaan dan swasta membantu mereka.

Justeru itulah Baginda bertitah, “pihak kerajaan beta dengan kerjasama pihak-pihak swasta akan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dengan memberikan sokongan dan dukungan melalui pembangunan kapasiti, penyediaan kemudahan infrastruktur dan pembukaan peluang pemasaran kepada para belia, agar mereka itu dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di dalam dan luar negeri”.

Dalam konteks yang lain, apa yang boleh kita tanggapi ialah gesaan Baginda kepada pihak-pihak berkenaan didalam kerajaan dan swasta agar sama-sama berperanan membantu melonjakkan keupayaan pembangunan keusahawanan dan perniagaan dari kalangan belia berdasarkan tips yang dititahkan itu.

Tips yang dimaksudkan ialah pihak kerajaan, swasta dan ejen-ejen pelaksana mesti berperanan menyediakan persekitaran pembangnan usahawan yang kondusif, meningkatkan pembangunan keupayaan atau “capacity building”, menyedikan kemudahan infrastruktur dan membantu memasarkan produk-produk keluaran usahawan tempatan didalam dan diluar Negara.

Lanjutan dari saran Kebawah DYMM itu, konsep bimbingan berterusan mentor mentee dilihat amat releven digunapakai sehingga usahawan itu benar-benar boleh berdikiri.

“Stake holders” diluar sana berharap, janganlah ada yang bekerja asal jadi sahaja atau dilihat asal jadi sahaja. Kumpulan pembuat dasar dan ejen pelaksana hendaklah dengan rasa penuh tanggung jawab mewujudkan keseimbangan antara kesediaan golongan belia untuk memajukan diri mereka dengan kesediaan pihak yang satu lagi untuk menampung keperluan golongan belia yang dimaksudkan.

Justeru bukan hanya golongan usahawan dan peniaga ini perlu kreatif dan berinnovatif seperti yang dititahkan, tetapi pembuat dasar dan ejen pelaksana juga mesti memiliki ciri-ciri kepimpinan yang yang tinggi antara lain kreatif, berinovatif, berinistaif, pro-aktif, memiliki tahap kompetensi yang tinggi dan sedia untuk membantu dan berkhidmat kerana Allah.

Terjemahkanlah titah yang mengandungi seribu harapan itu tanpa berlengah-lengah lagi. Apa yang hendak kita lakukan esok hari, lakukanlah pada hari ini dan apa yang harus kita lakukan hari ini buatlah sekarang, agar ianya tidak sekadar dilihat sebagai retorik sahaja. Tokoh ICT dunia Bill Gates mengungkapkan, seharusnya pembangunan usahawan dan kegiatan perniagaan itu bergerak sepantas fikiran. Wallaha’alam – (mmo).

Tuesday, September 27, 2011

Lagenda Awang Alak Betatar Dan Awang Semaun


“……..penulisan sejarah itu boleh direka bentuk, menurut kehendak seseorang individu, penyelidik, penulis, ataupun oleh sebuah institusi atau berdasarkan idealogi negara. Penulisan sejarah yang semacam inilah yang sangat kita takuti. Kerana ia bukan saja akan merendahkan nilai saintifik ilmu pensejarahan itu, malah ia juga akan menjadikan bidang ilmu sejarah sebagai suatu propaganda atau manifesto bagi kepentingan golongan atau puak”(Awang Haji Metassim bin Haji Jibah, Dokumentasi hal 137 (2004) Terbitan Pusat Sejarah).

Tradisi Lisan

Pada hakikatnya hampir tiga ratus tahun (1082 –1370), sejarah Brunei seperti terputus menyebabkan kebanyakan para sarjana Brunei terdorong untuk mengisi kekosongan itu dengan mengetengahkan sejarah lisan yang popular seperti kisah-kisah yang terdapat di dalam Syair Awang Semaun sebagai sumber maklumat sejarah.

Menurut pandangan Hj. Abdul Latif Hj Ibrahim (1989), “sejarah Brunei, pada pendapat setempat adalah dirangkum dalam bentuk sejarah seperti hikayat atau syair” , namun tradisi lisan atau cerita-cerita yang dibawa dari mulut ke mulut dari satu generasi ke generasi yang tidak ditapis dibimbangi mengandungi unsur-unsur penambahan atau unsur-unsur yang berlebihan kepada watak dalam sejarah tersebut sehingga menjejaskan kredibilitinya lebih-lebih lagi jika ia turut dipetik sebagai sumber sejarah. Lebih membimbangkan ia mungkin saja boleh menjejaskan aqidah.

Sejarah Lisan Yang Memesongkan Aqidah

Lagenda Sang Aji iaitu nenda Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad) yang dipamerkan di dalam “sejarah” Brunei adalah contoh terbaik bagaimana tandusnya catatan sejarah Brunei di era tersebut. Umpamanya, riwayat Sang Aji yang dipetik oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri dari Syair Awang Semaun yang digubah indah menceritakan asal usul Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad) seperti berikut, “pada suatu hari semasa Sang Aji sedang berjalan-jalan di kawasan Istana, Baginda dikatakan telah menjumpai sebiji telur yang luar biasa besarnya dan telur itu dibawa Baginda ke Istana. Pada malamnya telur itu dikatakan menetas dan keluar seorang anak lelaki (Sultan Dewa Emas Kayangan?).

Sejak Sang Aji mendapat putera dari telur itu, isteri Baginda pun hamil dan kemudian meluaran seorang puteri. Setelah kedua-duanya besar mereka telah dikahwinkan”. Hasil perkahwinan itulah dikatakan telah “meluaran seorang putera yang dinamakan Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad)” Sultan Brunei yang pertama.

Adinda kepada Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad) iaitu Awang Semaun adalah seorang Murut yang disebut dalam lagenda orang-orang Murut sebagai anak kepada Upai Samaring. Orang-orang Iban juga mendakwa, bahawa Awang Semaun itu adalah dari keturunan mereka, iaitu anak tiri kepada Derom Anak Sabatin. Menurut Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, Salasilah orang Iban yang berasal daripada Awang Semaun ini hampir-hampir sama bandingannya dengan Salasilah Raja-Raja Brunei dan Awang Alak Betatar hingga keturunan masing-masing.

Antara kisah menarik mengenai Awang Semaun seperti yang diceritakan oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri (2001) pula ialah ketika Awang Semaun berteduh di sebuah lubang sebuah bukit di Long Bawan kawasan Lawas, kepalanya telah terhantuk dan hentakannya begitu kuat hingga melubangi tanah. Kononnya lubang bekas kepala yang lengkap dengan bekas telinga beliau masih didapati hingga sekarang. Malah diceritakan juga oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri , Awang Semaun ketika melompat dari sebuah batu telah meninggalkan kesan tapak kakinya di batu tersebut yang masih wujud di Ulu Lawas.

Lagenda zuriat Sultan Muhammad (Sultan I Brunei) samada berketurunan Iban atau Murut tidak menjadi persoalan, tetapi pendewaan terhadap Awang Semaun yang berlebihan dan meletakan keturunan seorang Sultan berasal dari sebiji telor adalah keterlaluan justeru tidak wajar dipamerkan apatah lagi untuk didokumentasikan bagi bacaan umum. Ianya bukan saja mengaibkan keturunan jalur sebuah kesultanan malah boleh memesongkan aqidah. Betapa tidaknya, kalau bukan burung kasawari, tentunya burung “hantu” saja yang mungkin mempunyai telor besar yang boleh menyimpan seorang bayi dalam kelongsong telornya.

Keterangan Dari Al Quran

Sebagai seorang Muslim tentulah kita akan menolak sebarang kepercayaan yang bukan-bukan lebih-lebih lagi sesuatu yang bertentangan dengan keterangan-keterangan Al Quran, umpamanya kepercayaan yang manusia itu lahir dari sebiji telor yang besar, menetas dan mengeluarkan seorang bayi sedangkan Allah telah menerangkan tentang kejadian manusia diciptakanNya dari tanah, kemudian dari setitis air benih dan benih itu menjadi seketul daging seperti di dalam firmanNya :

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخًا وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى مِنْ قَبْلُ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلا مُسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

“Dia yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari seketul daging; kemudian ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).” (Al Ghafir : 67)

Justeru apapun justifikasi, hujah atau alasan, kita perlu berpegang kepada kebenaran hakiki, seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللَّهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْكَافِرِينَ

(Apabila berlaku demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir? (Az-Zumar : 32)

Wallahu'alam – (Mahmud Morshidi Othman)

Sekalung Bunga Buat Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri

Rasanya rata-rata rakyat Brunei bersempeti dengan keluhan Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri seperti dalam temubual beliau dengan Media Permata keluaran 18 Sept 2011, walaupun kekesalan seumpama itu agak terlambat. Antara lain pandangan yang dilontarlan oleh YB Pehin seperti berikut:

“Pada waktu dulu, ceritanya, usaha untuk menerapkan bahasa Melayu dalam urusan-urusan pejabat sangat sukar kerana kebanyakan Ketua Jabatan dulu bukan bangsa Melayu, maka mereka tidak berapa suka menggunakan bahasa Melayu sehingga terpaksa banyak perkara yang perlu dibuat dan dihadapkan kepada mereka”.

“Dalam temubual itu beliau turut mengimbas semula mengenai Tahun Gelap Tulisan Jawi, 1948, iaitu tulisan jawi dihentikan pengajarannya oleh Pengarah Pelajaran berbangsa Inggeris pada waktu itu kepada murid-murid sekolah dengan alasan bagi memudahkan murid-murid menjadi lebih maju kerana hanya perlu mempelajari satu jenis tulisan saja iaitu rumi”.

“Sebenarnya, menurutnya, Pengarah Pelajaran berbangsa Inggeris itu tidak mahu orang Melayu tahu membaca kitab, dan oleh itu beliau sekali lagi menegaskan supaya tulisan jawi kembali dikuatkan penggunaanya”.

Apa yang diungkapkan oleh YB Pehin itu adalah salah satu bukti sejarah akan kejahatan yang dilakukan oleh penjajah British dibumi Brunei walaupun setengah kalangan menganggap mereka adalah sebaliknya.

Isu yang dilontarkan oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri ini, sebenarnya telah diangkat oleh PRB 35 tahun dahulu, apabila A.M. Azahari mengingatkan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengenai peranan British selaku Kuasa pentadbir di Brunei yang terlalu kuat mempengaruhi setiap keputusan kerajaan Brunei.

Natijahnya ialah, apabila berlaku sebarang pembuatan keputusan yang salah, silap atau merugikan negara dan rakyat yang dibuat oleh raja dan kerajaan dengan sendirinya tertolak dan terpikul diatas pundak bahu kerajaan dan raja yang kita kasihi sedang penjajah berlindung disebalik lalang sehelai.

Penjajah seronok dengan pengaruh kuatnya itu justeru menjadikannya strategi untuk terus menjarakkan Istana dan rakyat. Penjajah tidak akan berpuas hati selagi salah satu pihak tidak rebah tersungkur lalu yang satu lagi tiada pilihan selain terpaksa berpaut dibawah ketiak mereka.

Berikut adalah bukti sejarah yang menyukong dakwaan Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri yang kita boleh nilai sendiri, iaitu senarai pegawai-pegawai British ditahun-tahun 1960an –1970an yang dipetik dari ucapan A.M. Azahari di Sub Komiti II PBB 15 Julai 1975 (Dokumen PBB A/AC.109/SC.3/SR.241-144):

1.Privy Councillors

A. Honourable
Pehin Datu Derma Setia
Dato Seri Paduka Awang P.A. Coates
(Representing Brunei Shell Company Ltd.)

B. Honourable
Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja
Dato Seri Laila Utama
Awang Idris Talog Davies
(Attorney General)

C. Honourable
Pehin Orang Kaya Khazanah Negara Laila Di Raja
Dato Seri Laila Utama Awang John Lee
(Treasurer)

D. Honourable
Pehin Orang Kaya Tabib Laila Di Raja
Dato Seri Paduka Seri Laila Jasa
Dr. P.I. Franks
(Director Of Medical Services)

2.Executive Councillors (Nominated)

Honourable
Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja
Dato Seri Laila Utama
Awang Idris Talog Davies
(Attorney General)

Honourable
Pehin Orang Kaya Khazanah Negara Laila Di Raja
Dato Seri Laila Utama Awang John Lee
(Treasurer)

3. Legislative Councillors (Nominated)

Honourable
Pehin Datu Derma Setia
Dato Seri Paduka Awang P.A. Coates
(Representing Brunei Shell Company Ltd.)

Honourable
Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja
Dato Seri Laila Utama
Awang Idris Talog Davies
(Attorney General)

4. Heads Of Departments

Director Of Agriculture – P.B. Woodroofe
Auditor General – Holmes
Controller Of Air Traffic – P. W. Bradley
Commissioner Of Development – John Firth
Advisor Of Education – A.D Bumford
Chief Electical Engineer – Brown
Fisheries – Richard Wallace Beales
State Geologist – Bobe Tate
Government Printer – Max Buse
Judicial Commissioner – Derek Cous
Attorney General – Talog Davis
Director Of Marine – Jack Turner
Director Of Medical Services – P.J. Frank
Supervisor Of Detention Camp – L.J Brown
Police Advisor – H.J Burns
Head, Intelligence Department – Peter Coster
Senior Commisioner Of Police – T. Miller
Superintendent Of Police – Owens
Surveyor General – N.C. Peat
Controller Of Telecommunications – C. Parrots
Controller Of Radio/Television – James Miller
Treasurer – John Lee
Labor Advisor – J. Rutherford
Military ADC To H.H. The Sultan – Major Buttrel
Private Secretary Cum Palace Household Controller – Mrs. P. Doulby

5. Military Personnels :

A. Commander Of Royal Brunei Malay Regiment , Col. B.F. Rooney
B. Deputy Commander ditto , Lt. Col. T.A. Bachelor
C. Signal Officer ditto , Major Philip Spooner
D. Welfare Officer ditto , Major Sidney Buttrel
E. Record Officer ditto , Major P.M.C. Fue
F. Edssucation Officer ditto , Major Douglas
G. Military ADC To The Ex-Sultan , Major Christopher
H. Dental Officer ditto , Major Hardie
I. Staff Captain A/Q ditto , Captain Holden
J. Commanding Officer, First Battalion RBMB , Lt. Col. John De Cordova
K. Secon In Command ditto , Major Crook
L. Officer Commanding Company ditto , Major Peat
M. Officer Commanding ‘C’ Company , Major Patrick
N. Motor Transport Officer, 2nd Battalion , Captaion Victor
O. Officer Cammaning, Air Wing, RBMR , Major H. A. Raley
P. Company Second In Command, Air Wing, RRBMR , Cap. J.J. Betie
Q. Operation Officer, Air Wing, RBMR , Captain Hoper
R. Second In Command HH 748 Unit, Air Wing , Captain Tanar
S. Commanding Officer, First Flotilla , Lt. Col. J.R. Widdconbe
T. Second In Command/Training First Flot , Cpt. Kent Johnson
(plus few dozen of N.C.O)

Penjajah itu adalah jahat dan wajib ditentang. Maha suci Allah yang telah memberikan peringatan kepada manusia:

“Sesungguhnya raja-raja (penjajah), apabila masuk ke sebuah negeri, mereka akan merosakkannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan” (An-Naml:34).

Usah Ditinggalkan Tulisan Jawi



Media Permata
Oleh Hasrulraizan, Salawati Haji Yahya dan Haji Minor Absah

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – “Selain terus memegang dan mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian dan urusan pejabat, orang-orang Melayu Islam juga perlu pandai menulis dan membaca tulisan jawi supaya senang belajar ugama khususnya melalui kitab-kitab lama.”

Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar menegaskan perkara di atas dalam temu bual media selesai Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961-2011) kelmarin.

Beliau selaku Penerima Anugerah Bahasawan di Majlis yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu turut menceritakan serba sedikit perbezaan penggunaan bahasa Melayu pada ketika beliau memegang jawatan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dari 15 September 1961 hingga 10 Disember 1976 berbanding sekarang.

Pada masa sekarang menurutnya nampaknya lebih meriah dan meluas lagi dalam banyak perkara terutama sekali dalam perkembangan penerbitan buku-buku pelbagai genre.

Pada waktu dulu, ceritanya, usaha untuk menerapkan bahasa Melayu dalam urusan-urusan pejabat sangat sukar kerana kebanyakan Ketua Jabatan dulu bukan bangsa Melayu, maka mereka tidak berapa suka menggunakan bahasa Melayu sehingga terpaksa banyak perkara yang perlu dibuat dan dihadapkan kepada mereka.

Walau bagaimanapun beliau menyatakan beliau tetap bertegas dan tidak sesekali berundur sehingga akhirnya berjaya mengaturkan mereka itu mesti menggunakan bahasa Melayu.

“Sebenarnya jawi itu mustahak kepada orang Melayu kerana kitab-kitab ditulis dalam tulisan jawi, maka kalau tidak tahu tulisan jawi sudah pasti kitab-kitab itu tidak akan dapat dibacanya, natijahnya orang itu tidak akan tahu hukum.”

Beliau memberi saranan kepada umat Islam di Negara ini supaya mesti mahu mempelajari tulisan jawi itu di sekolah-sekolah iaitu guru-guru mesti mengajarkannya walaupun sekarang ini tidak lagi ramai orang yang mengajarkannya memandangkan perkara tulisan jawi itu jika sudah terlepas mudah terlupa.

Setiap orang Islam mesti belajar tulisan jawi, tegasnya lagi kerana menurutnya kalau tidak seseorang itu tidak akan dapat membaca kitab, padahal di dalam kitab-kitab lamalah termaktubnya semua hukum-hukum yang dipelajari umat Islam.

Beliau berpendapat jika membaca kitab yang tulisan rumi tidak sebaik membaca kitab tulisan jawi kerana yang tulisan rumi, tidak dapat terus digunakan kerana berkemungkinan orang yang menulis itu tidak tahu hukum-hukum.

Dalam temubual itu beliau turut mengimbas semula mengenai Tahun Gelap Tulisan Jawi, 1948, iaitu tulisan jawi dihentikan pengajarannya oleh Pengarah Pelajaran berbangsa Inggeris pada waktu itu kepada murid-murid sekolah dengan alasan bagi memudahkan murid-murid menjadi lebih maju kerana hanya perlu mempelajari satu jenis tulisan saja iaitu rumi.

Menurutnya pada waktu itu orang-orang Melayu fikir perkara itu membawa kebaikan padahal di Jepun, murid-muridnya belajar dan menggunakan tiga jenis tulisan, dan terbukti ia telah menjadikan mereka bertambah maju yang seperti yang boleh dilihat sekarang.

Sebenarnya, menurutnya, Pengarah Pelajaran berbangsa Inggeris itu tidak mahu orang Melayu tahu membaca kitab, dan oleh itu beliau sekali lagi menegaskan supaya tulisan jawi kembali dikuatkan penggunaanya.

Menyentuh mengenai Anugerah Bahasawan yang diterimanya pula, beliau bersyukur dan tatkala ditanya mengenai minatnya dalam bidang penulisan, beliau menyatakan akan terus menulis, sambil mendedahkan bahawa terdapat banyak buku-buku yang akan beliau terbitkan lagi mengenai dengan sejarah dan bahasa dalam masa terdekat dan mendatang.

LAGENDA PUTERI LELA MENCANAI

Lagenda Puteri Lela Mencanai (Permaisuri Sultan Bolkiah I) dikatakan berasal dari buih yang terkandung dalam serumpun kumpai di tengah laut telah ditemui oleh Sultan Bolkiah I, semasa dalam pelayaran. “Kemudian puteri itu telah diambil dan baginda jadikan permaisuri” .

Legenda ini amat popular, malah diabadikan oleh karyawan-karyawan tempatan seperti dalam bentuk teater dan lagu. Pada 10 Mac 1968 Shukri Zain, seorang penyair terkenal Brunei yang juga penerima Anugerah Saster MASTERA 2011 telah mengungkapkan dengan indah seni kata lagu “Puteri Laila Mencanai” seperti berikut:

Serumpun kumpai di tengah lautan
Dalamnya terkandung buih nan indah
Darinya menjelma puteri rupawan
Dijadikan isteri Sultan Bolkiah

Puteri jelita Laila Mencanai
Didapat baginda dalam pelayaran
Kasih baginda tiada ternilai
Hajat isterinya dapat ditunaikan

Dalam pelayaran isterinya menjahit
Jarum emas penyulam-nyulam
Baginda perhatikan begitu asyik
Sehingga tertidur dalam pangkuan

Puteri pun terharu sulaman tak tentu
Jarum tercucuk ke tangan baginda
Bisanya jarum tawar tak selulu
Mangkatlah baginda di tangan jelita


Laila Mencanai berdukacita
Akhirnya puteri menikam dirinya
Meninggalkan wasiat bermakam sama
Makam selarong bernisan tiga


Keterangan Dari Al Quran
Namun, bagaimana kita boleh menerima penghinaan terhadap seorang permaisuri raja kita sebegitu rupa? Sedang Allah telah menerangkan mengenai kejadian buih dan sifat buih sebagai benda terbuang dan hanyut sementara air bersih yang berfaedah tetap menyerap kedalam bumi menyuburkan bumi Allah. Allah berfirman:

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ

“Ia menurunkan air hujan dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah dengan airnya menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
(Ar Raad :17)

Apapun justifikasi, hujah atau alasan kita perlu berpegang kepada kebenaran hakiki, seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللَّهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْكَافِرِينَ


(Apabila berlaku demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?
(Az-Zumar : 32)

Monday, September 26, 2011

Tahniah Tahniah Tahniah…..

ANUGERAH SASTERA MASTERA

Petikan teks ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Majlis Perasmian Sidang ke-17 Mastera dan penyampaian anugerah Mastera ke-4 pada 18 September 2011,

“Pada malam ini tiga orang penulis dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia akan menerima Anugerah sastera MASTERA kali ke-4 yang telah disokong oleh negara masing-masing melalui ketokohon dan kecemerlangan mereka dalam penulisan. Saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima penerima. Sumbangan dan hasil karya mereka dapat melestarikan budaya dalam penulisan dan mengangkat martabat bangsa dan negara masing masing. Semoga anugerah ini akan lebih memberi semangat dan dorongan ke arah penulisan yang bermutu tinggi serta dapat mengayakan khazanah sastera di negara masing-masing dan negara negara ahli MASTERA pada amnya.”

*********************************************************************

Pehin Mohd Zain wins Mastera Literature award

Borneo Bulletin, 19 Sept 2011
By Aziz Idris


……………. “The evening also saw three recipients receiving the MASTERA Literature Awards.

Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin, who goes by his pen name Shukri Zain, received the prestigious award.

Indonesia's Budi Darma and Malaysia's Sahnon Ahmad were the other two honoured with the awards. Each recipient received a plague and cash prize of B$10,000”.

*********************************************************************

MASTERA melaksanakan banyak projek kesasteraan dengan jayanya

Pelita Brunei - BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 September. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair berkata sejak MASTERA ditubuhkan sejak 16 tahun lalu telah melaksanakan banyak projek kesasteraan dengan jayanya terutama dalam kerja-kerja penelitian, penyelidikan, penyusunan dan penerbitan yang mendukung pemartabatan di samping sastera yang mengarah kepada kemajuan bahasa Melayu di ketiga-tiga negara pendiri MASTERA.

……”Seramai tiga tokoh menerima anugerah sastera MASTERA tahun ini terdiri dari Yang Berhormat Pehin Jawatan luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain dari Negara Brunei Darussalam; Budi Darma dari Indonesia dan Profesor Emeritus Dato' Haji Shahnon Ahmad dari Malaysia yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair”.
(Abu Bakar Haji Abdul Rahman)

*********************************************************************

Mastera honours 3 authors for keeping Malay literature alive

The Brunei Times
Adam Radhi
BANDAR SERI BEGAWAN
Monday, September 19, 2011

A BRUNEIAN author and poet known for his prolific contribution to the Sultanate's body of literature, together with two counterparts from Malaysia and Indonesia, were recognised for their input and involvement in the Southeast Asia literature scene yesterday.
The awardees Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Hj Mohd Zain Hj Serudin, or more popularly known by his pen name Shukri Zain; Prof Dr Budi Darma from Indonesia and Dato’ Profesor Emeritus Hj Shahnon Ahmad from Malaysia each received a plaque, a souvenir and $10,000 in cash from the Southeast Asia Literary Council (Mastera), during the official launching of the 17th Arts Council of Southeast Asia Conference at Rizqun International Hotel.

Saturday, September 24, 2011

PKS PERLU MENDAPAT SOKONGAN KERAJAAN DALAM BIDANG BANTUAN PENYELIDIKAN & PEMBANGUNAN (R&D) BERTERUSAN BAGI MENGHASILKAN PRODUK YANG KOMPETITIF, SERTA BERKUALITI ANTARABANGSA

Pihak berwajib perlu memanafaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan NBD dan tidak menghadkan kebaikan & kepentingan kepada sebilangan yang tertentu sahaja. (Dari kacamata NDP berkaitan artikel petikan drp Media Permata di bawah ini).

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept - Kerajaan terus memberikan sokongan dan penekanan kepada pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini agar ia mampu menjana pembangunan berterusan mencapai Wawasan Negara 2035.

Untuk itu, pelbagai program menumpukan ke atas pembangunan sektor yang menyumbang kira-kira 98 peratus pertumbuhan negara ini terus dipergiatkan.

Ia dihasratkan dapat menjana usahawan yang bukan sahaja berwibawa tetapi mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

Sokongan dan penekanan itu turut disentuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah baru-baru ini.

Baginda Sultan bertitah supaya PKS menunaikan tanggungjawab mereka kepada pelanggan dengan memastikan bahawa bukan sahaja bersih tetapi juga suci seperti yang dituntut syariah.
Perkara itu turut diulangi Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar dalam ucap tema Forum Perniagaan Brunei 2011 di ibu Negara.

Beliau menyeru supaya PKS memberikan penekanan serupa kepada keperluan kesihatan dan keselamatan bagi pekerja mereka kerana ia memberikan kesan pada tahap produktiviti mereka. PKS juga harus memastikan bahawa operasi perniagaan atau perusahaan mereka mempunyai impak yang minimum kepada alam sekitar.

Program yang dikendalikan juga bermatlamat membantu PKS tempatan menjadi lebih boleh dipasarkan dan mampu menghasilkan produk yang kompetitif, berkualiti antarabangsa serta diperolehi dalam pasaran pada waktu yang ditetapkan.

"Kita semua sedar bahawa salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh PKS adalah kos produksi yang tinggi. Oleh itu, kita tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk mengambil pendekatan strategi khusus untuk membangunkan kekuatan kita dan juga keupayaan mereka untuk mengembangkan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berkekalan."

Antara kekuatan bagi Negara Brunei Darussalam, ulas Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, adalah tauliah Islamnya, kaedah unik falsafah negara, Melayu Islam Beraja, dihayati dalam kehidupan harian, imej negara sebagai di antara 10 negara teratas yang memelihara hutan dan alam sekitarnya, penduduk muda negara yang berpelajaran tinggi serta kestabilan mikro-ekonominya.

Menggunakan kekuatan yang ada pada negara, kerajaan mengambil inisiatif untuk menjana industri khusus seperti jenama Brunei Halal bagi makanan, produk farmaseutikal dan industri kosmetik, perbankan dan kewangan Islam, pelancongan alternatif serta ICT.

Semua inisiatif yang diambil itu, jelas Yang Berhormat Pehin, akan membolehkan PKS menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, premium dan beretika bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Di samping itu, kerajaan menyaksikan terdapat peluang terbuka untuk diterokai dalam industri berpandukan ilmu pengetahuan seperti bioteknologi dan penyelidikan dan kajian.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa program yang dilaksanakan itu dihasratkan dapat membantu keupayaan PKS tempatan untuk menembusi pasaran.

"Kita semua maklum bahawa pasaran domestik Negara Brunei Darussalam yang kecil tidak mampu menjana pembangunan PKS berkekalan. Oleh itu, penyertaan kita dalam Perjanjian Bebas Perdagangan, seperti dengan negara-negara anggota ASEAN (AFTA) dan juga dengan rakan-rakan dialog ASEAN seperti China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Eropah akan membantu untuk membesarkan lagi saiz pasaran kita."

Program yang dilaksanakan itu juga dihasratkan untuk menjana aktiviti-aktiviti perniagaan yang berkualiti yang mampu untuk membangunkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan penghasilan yang berkekalan bagi ekonomi negara, tambah menteri lagi.

Pembangunan PKS Antara Retorik dan Harapn
Disunting oleh : MHMS


Berikut adalah petikan dari Manifesto Parti Pembangunan Bangsa (NDP 2006-2016), dan usul yang diangkat oleh Kongres Agung Parti Pembangunan Bangsa(NDP) 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2011 sesuai isu pembangunan PKS seperti yang dilaporkan oleh akhbar Media Permata 15 September 2011. Semoga pembaca dapat menilai akan kesungguhan NDP yang berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab politiknya dalam batas yang amat terhad.

Kita berharap NDP, satu-satunya organisasi siasah di Negara Brunei tercinta ini, tidak akan kendur-kendurnya berperanan mendepani apa jua isu menyangkut kepentingan nasional sesuai peranannya sebagai rakan strategik Kebawah DYMM dan kerajaan Baginda.

PETIKAN DARI MANIFESTO NDP 2006-2016
NDP mencadang dan menyokong usaha-usaha Kerajaan Kebawah DYMM:

• Merangka dan membangunkan dasar pertanian makanan bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas yang mencukupi, berkhasiat, bersih dan halal bagi menjamin kesihatan rakyat dan keperluan negara semasa aman mahupun krisis dan memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan makanan yang berkhasiat, bersih dan halal;

• Membangunkan industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada produk-produk yang diimport;

• Menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan penggunaan bidang tanah yang terhad untuk pengeluaran yang optimum;

• Menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara industri pemprosesan dan pengeluaran makanan halal yang berasaskan hasil pertanian, ternakan serta hasil laut dengan mewujudkan dan membangunkan jenama logo halal Negara Brunei Darussalam yang diyakini dan diterima masyarakat Islam sedunia;

• Membina prasarana yang lengkap dan sempurna termasuk prasarana multi-media dan pengangkutan, sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan muamalat Islam;
(dipetik dari mukasurat 12)

• Mengadakan R&D bagi amalan, latihan dan pemakanan untuk menjadikan generasi selepas merdeka terdiri dari warga yang bertubuh badan yang sihat, bertenaga, berstamina, tahan lasak dan dinamik, supaya wujud persiapan pekerja serba boleh, tentera atau pahlawan yang gagah, petugas negara yang berwibawa dan penggiat sukan yang dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain;

• Mendidik rakyat secara agresif agar mereka sentiasa peka dengan tahap kesihatan mereka melalui pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sebagai langkah penjagaan kesihatan dan kawalan penyakit;
(dipetik dari mukasurat 43)

• Mewujudkan sumber manusia yang berilmu, memiliki kekuatan agama dan keupayaan bangsa, kreatif dan inovatif, berdikari dan berikhtiar, berani mengadu kepakaran dan kebolehan di arena antarabangsa, dan mempunyai tahap kepakaran dan daya saing yang tinggi;

• Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dengan sumber tenaga manusia yang mempunyai nilai tinggi dari segi pendidikan asas, kepakaran dan kemahiran berbagai disiplin, celik ICT (info-communication technology) dan memiliki kemampuan dan kreativiti yang tinggi;

• Melahirkan sumber tenaga manusia yang berupaya dan mampu menyesuaikan diri dalam memajukan ekonomi berunsurkan ilmu pengetahuan;
(dipetik dari mukasurat 46-47)

• Menyediakan peluang dan latihan yang lebih luas dalam bidang teknikal dan kemahiran kepada lepasan sekolah menengah bagi mewujudkan pangkalan tenaga mahir yang ‘reliable’ tanpa terus bergantung kepada kemahiran tenaga kerja asing;

• Menyusun dan melaksanakan program belia niaga di setiap kampung dan mukim bagi mencungkil dan memupuk nilai-nilai keusahawanan yang jitu, berwawasan dan beretika dengan menyalurkan bantuan dan bimbingan melalui gerakan koperasi belia dan pergerakan pertubuhan belia setempat;
(dipetik dari mukasurat 52)

• Mengadakan Dasar Luar Negara Brunei Darussalam yang bebas dan dinamik, supaya berjaya bukan sahaja mengikat hubungan politik dan diplomatik dengan banyak negara bahkan juga menggalakkan kepentingan perdagangan dan ekonomi Negara Brunei Darussalam sendiri. Agenda utama dasar luar dan peranan perwakilan-perwakilan negara di luar hendaklah meletakkan agenda ekonomi dan perdagangan teratas sekali. Justeru itu, Parti Pembangunan menyokong agar pihak yang berwajib memanfaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, untuk kebaikan dan kepentingan kesemua lapisan rakyat Kebawah DYMM dan tidak menghadkan kebaikan dan kepentingan tersebut kepada sebilangan yang tertentu sahaja. Untuk menjayakan dasar ini, tindakan bersepadu yang agresif hendaklah diambil oleh semua kementerian yang berkaitan agar dapat mengeluarkan produk-produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa;
(dipetik dari mukasurat 34)

Berikut adalah usul NDP mengenai pembangunan PKS pada Kongres Agung Tahunan ke-2 pada 23-24 Jun 2007, Kongres Ke-3 pada 20-22 Jun 2008, Kongres Ke-4 pada19-21 Jun 2009, seterusnya diangkat semula pada Kongres Ke 5 pada 4-5 Jun 2010 dan terakhir Kongres Ke 6 pada 29-30 2011 Julai.

“Menginsafi bahawa Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah menitahkan sempena sambutan tahun baru 2005 betapa mustahaknya proses pengembangan sektor swasta negara, dan negara tidaklah akan dapat maju dengan cepat dan sempurna tanpa sektor swasta yang teguh dan dinamik,

Menginsafi bahawa di bawah Wawasan 2035 telah digubal Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan yang menekankan pendekatan untuk membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membolehkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam perniagaan dengan lebih kompetetif,

Menginsafi bahawa betapa PKS memberikan sumbangan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi yang mantap dan memberansangkan melalui ‘produktiviti faktor-keseluruhan’ (total-factor productivity) yang tinggi, yang berupaya menjana kegiatan ekonomi melalui peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan mengurangkan keperluan negara untuk mengimport,

Menyedari bahawa betapa PKS merupakan wadah bagi usahawan baru untuk memulakan perniagaan dalam pengeluaran dan seterusnya berkembang maju sebagai penggerak ke arah menjadikan Brunei sebagai negara yang mempunyaii ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan di antara sepuluh negara teratas dari segi pendapatan per kapita menjelang 2035,

Menyedari bahawa pembangunan PKS menyumbang secara langsung kepada pembukaan peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran asing, mewujudkan agihan pendapatan yang lebih baik kepada penduduk, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja yang terlibat serta memperkukuhkan struktur asas pembangunan industri negara,

Menyedari bahawa PKS adalah industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan bagi mempelbagaikan sektor industri negara, justeru PKS yang aktif dalam pelbagai sektor akan menjadi asas industri yang mantap dan kukuh, juga sebagai alternatif untuk mengurangkan peranan syarikat gergasi antarabangsa,

Menyedari bahawa PKS mampu berperanan sebagai penyerap dan pengimbang kepada pergolakan dan krisis ekonomi, justeru sifat PKS yang anjal dan versatile,

Menyedari bahawa pertumbuhan PKS tidak hanya bergantung kepada pelupusan halangan pentadbiran (administrative barriers), tetapi juga kepada pengwujudan persekitaran pelaburan yang baik, reformasi institusi, asas kewangan, kestabilan politik dan ekonomi makro, dan pertalian dengan syarikat gergasi antarabangsa,

Menyedari bahawa pertumbuhan PKS perlu mendapat sokongan Kerajaan Kebawah DYMM dari segi R&D, pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi, latihan sambil kerja, dan kemampuan pihak berkuasa tempatan untuk membantu pembangunan PKS dalam kawasan masing-masing,

Mengingati bahawa di dalam titah Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di Pertuan sempena sambutan tahun baru 2005, bahawa Baginda sangatlah berharap supaya setiap agensi Kerajaan Kebawah DYMM akan dapat menyokong sektor swasta, serta memberinya keutamaan, khusus bagi penubuhan dan pengendalian perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki oleh rakyat jelata, dan perkara tersebut mestilah diungkayahkan dengan semangat kenegaraan yang tinggi, sebagai satu proses ke arah layanan Kerajaan Kebawah DYMM yang transparent lagi munasabah,

Menginsafi bahawa PKS adalah merupakan pintu masuk untuk orang Melayu Brunei menyertai bidang perniagaan dan pembuatan kerana skop dan skala SME/IKS itu berada dalam tahap kemampuan mereka,

Menginsafi bahawa penyertaan orang Melayu Brunei ke dalam bidang PKS adalah penting kepada kestabilan dan keselamatan negara justeru adanya agihan kekayaan dan ekonomi yang adil,

1. Mengingati akan usul mengenai SME/IKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 8 - 9 Rabiulakhir 1428 bersamaan 23 - 24 Jun 2007;

2. Mengingati akan usul mengenai Pembangunan PKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 16 - 18 Jamadilakhir 1429 bersamaan 20 - 22 Jun 2008;

3. Mengingati akan usul mengenai Pembaharuan Politik yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 25 - 27 Jamadilakhir 1430 bersamaan19 - 21 Jun 2009;

4. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-5 yang bersidang pada hari ini 05 Jun 2010 di Dewan Utama, Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula Usul SME/IKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 8 - 9 Rabiulakhir 1428 bersamaan 23 - 24 Jun 2007 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mendesak Kerajaan Kebawah DYMM supaya memberi perhatian khas kepada pembangunan SME; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-5 ini juga mengambil maklum dan memperakui usul mengenai Pembangunan PKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 16 - 18 Jamadilakhir 1429 bersamaan 20 - 22 Jun 2008 dan Kongres Agung Tahunan Ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 25 - 27 Jamadilakhir 1430 bersamaan19 - 21 Jun 2009 yang mengambil persetujuan dan ketetapan sesuai dengan semangat Manifesto Politik Parti Pembangunan Bangsa (NDP) 2006 - 2016, menyokong sepenuhnya Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan yang terkandung dalam Rangka Strategi Dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 untuk mempertingkatkan peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta juga memudahkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam perniagaan dan industri menerusi kekuatan daya saing, dengan melaksanakan langkah-langkah memperkenalkan program yang direka dengan sempurna dan lengkap dengan pembiayaan, dan memperkenalkan kaedah kemudahan kewangan yang berkesan bagi perusahaan tempatan untuk membantu PKS mendapat kemahiran perniagaan dan menjadikan mereka lebih berdaya saing; dan bahawa memajukan lagi pusat incubation untuk membantu dan menggalakkan PKS dalam bidang ICT, memaksimumkan manfaat dari pelaburan langsung asing (FDI) untuk PKS; dan bahawa menggalakkan peniaga dan industri besar untuk menggunakan produk tempatan, menswasta, mengkomersilkan dan outsourcing perkhidmatan Kerajaan Kebawah DYMM sebagai cara menambah peluang perniagaan bagi PKS, mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi PKS; dan bahawa mengambil persetujuan dan ketetapan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM supaya pentakrifan PKS adalah merujuk dan dikhaskan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang dimiliki 100 peratus oleh orang Melayu, supaya Kerajaan Kebawah DYMM membuat takrifan yang jelas bagi mengkategorikan sesuatu syarikat atau perusahaan sebagai perusahaan kecil (small industry) atau perusahaan sederhana (medium size industry) dan menggariskan bentuk-bentuk insentif, faedah dan kemudahan yang boleh diterima oleh setiap kategori; dan bahawa memperkasakan BINA sebagai agensi serenti (One Stop Agency) yang berperanan menyelaras khidmat bimbingan dan latihan, pembangunan dan pemasaran, bantuan teknikal dan kewangan, pemantauan dan penguatkuasaan; dan bahawa mewujudkan jawatankuasa induk bersama antara Kerajaan Kebawah DYMM dan swasta yang melibatkan pihak institusi kewangan, Shell Brunei, BEDB, wakil-wakil PKS dan pihak-pihak yang berkepentingan; dan bahawa meletakkan PKS sebagai Agenda Nasional Bangsa Melayu Brunei demi mempertahankan kedaulatan Bangsa Melayu ke arah menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara dalam menuju matlamat Wawasan 2035; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah yang konkrit untuk merangsang pembangunan SME/IKS dengan memberi penekanan kepada penyertaan orang-orang Melayu Brunei yang aktif melalui galakan, bimbingan dan bantuan yang sewajarnya”

Alhamdulillah, demikianlah sekelumit sumbangan idea dan gagasan NDP yang dikongsikan kepada Negara tercinta ini…..

Thursday, September 22, 2011

MENYUSURI TULISAN HAJJAH SAEMAH KEPLI

PENYELIDIKAN SEJARAH TENTANG PEMBERONTAKAN 1962:
MENCARI KEBENARAN ATAU MENJUSTIFIKASIKAN KEBATILAN?

Tidak syak lagi semacam ada agenda untuk menghumban sejarah perjuangan bangsa khususnya perjuangan kemerdekaan PRB kedasar laut agar ianya tidak disebut-sebut, tidak dipetik dan diungkap lagi oleh generasi sekarang dan akan datang. Biar sejarah PRB itu berkubur bersama pelaku-pelakunya, demikian kira-kira hasrat musuh-musuh PRB. Namun, upayakah mereka melakukannya sedang kebenaran itu adalah milik Allah.

Tindakan seperti itu tentunya merugikan. Sejarah tetap saja sejarah. Disebut pun sejarah bunyinya. Apa yang seharusnya dilakukan ialah menjadikan sejarah itu sebagai iktibar dan sempadan. Segala macam pertelingkahan, protes dan krisis yang meniti zaman itu seharusnya diambil peluang untuk dijadikan asas membina kekuatan baru dan jatidiri kita beraja dan bernegara.

Saya setuju apa yang disebut Hajjah Saemah demi keuthan Negara bangsa para cendikiawan itu berperanan “menyuburkan persamaan dan mengecilkan perbezaan”. Seperti saya sebutkan, memang ada ruang yang luas untuk menjadikan sejarah sebagai pemangkin kesetiaan rakyat kepada raja dan watan.

Persoalannya ialah kenapa kita harus takut membicarakan sejarah perjuangan bangsa sendiri. Moral perjuangan kemerdekaan di mana-manapun, secara objektifnya diterima sebagai suatu tindakan yang suci dan mulia. Hatta Amerika yang asalnya sebangsa, seagama, sebahasa dan satu kebudayaan dengan Inggeris terpaksa berperang untuk memerdekakan wilayahnya dari empayar kolonial Inggeris.

Justeru itu Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin, Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin, Alkmarhum A.M.Azahari, Almarhum H.M.Salleh dan lain-lain tokoh bangsa dari dahulu lagi samada dari kalangan istana atau rakyat biasa tentunya tidak melanggar apa-apa pantang larang dan peradaban apabila mereka bangun mempertahankan kemerdekaan atau menuntut kemerdekaan dari penjajah.

Kemerdekaan tidak boleh digalang ganti dengan sesuatu yang lain dan tiada nilai harga yang memampu membelinya. Siapa berada di pihak penjajah dalam peperangan atau krisis semasa mempertahan kemerdekaan atau menuntut kemerdekaan adalah suatu soal lain.

Bagaimana kita hendak memadamkan sejarah perjuangan PRB dan Azahari, sedang kebanyakan pengkaji sejarah dan sarjana diluar sana melihat perjuangan singkat PRB dan Azahari di tanah tumpah darahnya itu adalah suatu yang penting dan tidak dapat dipisahkan dalam sejarah pembangunan negara dan bangsa Brunei. Betapa tidaknya, ratusan mahasiswa dalam dan luar negeri telah melakukan kajian sejarah politik Brunei moden melibatkan PRB sehingga mereka memperolehi ijazah Sarjana Muda hingga ke Phd.

Dalam pada itu, tidak kurangnya juga karya-karya seperti Liku-Liku Perjuangan Kemerdekaan Brunei (2000) terbitan Pusat Sejarah Brunei yang ditulis oleh Pehin Mohd. Jamil Omar Al Sufri dan sebuah lagi yang diterbitkan oleh Pusat Sejarah oleh Penulis yang sama berjodol 8 Desember: Dalangnya Siapa?, (2003) dan banyak lagi tulisan-tulisan seumpamanya oleh karyawan dan sarjana tempatan tidak berupaya untuk mencari keindahan dan kemurnian dari perjuangan bangsanya sendiri. Buku Dr Hj Zaini Hj Ahmad berjodol Brunei Mereka: Sejarah dan Budaya Politik (2003) juga terbitan Pusat Sejarah turut terperangkap dalam permainan ini.

Adalah benar PRB lenyap dalam lipatan sejarah kerana para pimpinan dan penyokongnya terkorban, terpenjara dan terbuang negeri. Tidak ada yang Azahari dapat dari perjuangannya selain kemiskinan dan penghinaan berterusan, terbuang dan terpencil di gobok buruknya di Bogor, Indonesia sehingga menghembuskan nafasnya yang akhir.

Hatta hasrat Azahari dalam keadaan sudah terlalu uzur memohon dibenarkan kembali ketanah airnya walau sesaat bagi menghidu udara merdeka, Negara yang pernah diperjuangkannya turut dinafikan.

Inilah contoh kerugian buat sejarah bangsa, yang mungkin ditakrif pelbagai oleh generasi akan datang, umpamanya halangan yang ditimpakan kepada pejuang-pejuang tanah air untuk kembali secara aman ketanah tumpah darah mereka setelah Brunei mencapai kemerdekaannya sebagai keputusan yang tidak tepat yang dipengaruhi dendam kesumat, suatu sifat yang dibenci Allah.

Kita setuju bahawa kes pemberontakan 1962 adalah suatu yang malang. Namun siapa saja yang mengkaji kes pemberontakan itu akan memahami justifikasi ia terpaksa dilancarkan.

Seperti kata Azahari, tidak ada yang hendak dikesalkan, demikian adat pendirian orang berjuang seperti lilin adanya, membakar diri untuk menerangi orang lain. Jika perjuangannya dimulai dengan niat kerana Allah, Insyaallah ianya adalah suatu jihad dan pastinya suatu yang indah dan manis untuknya sebagai ganjaran dari Allah. Wallaha’alam – mahmud morshidi othman

Tuesday, September 20, 2011

Penyelidikan Sejarah Tentang Pemberontakan 1962: Mencari Kebenaran Atau Menjustifikasikan Kebatilan?


Hjh Saemah Kepli

Tulisan kecil ini sekadar mengungkap kembali Program Perkampungan Sejarah yang dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei pada 30 Nov – 02 Disember 2009 di Pekan Seria, Brunei. Saya terpanggil untuk mengongsikan pandangan mengenai kandungan program tersebut kerana terkesan selepas mengikuti beberapa tulisan berkaitan isu sejarah didalam blog ini dan blog-blog lainnya.

Latar Belakang

2003 Pusat Sejarah Brunei telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “8 Disember: Dalangnya siapa?” dikarang oleh Pehin Mohd. Jamil Al Sufri, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, iaitu sebuah buku yang mempamirkan peristiwa pemberontakan bersejarah dari versi Pusat Sejarah.

Di tengah-tengah penjualannya yang rancak, bisik-bisik orang ramai tersebar tidak menyenangi kehadiran buku ini yang dinilai berbaur fiksyen, emosi dan nada dendam kesumat, justeru telah mengundang reaksi negatif yang semakin ketara. Tidak lama kemudian, adalah dikabarkan bahawa penjualan buku tersebut telah ditarik balik..

2007, orang ramai, anak cucu cicit bekas ahli-ahli Parti Rakyat Brunei(PRB) yang puluhan ribu jumlahnya, termasuklah para cendikiawan dan karyawan telah tersentak oleh penerbitan sebuah buku baru bertajuk “Remember-Remember… The 8th of December” nukilan DPPW Mohamed Bolkiah yang mempamirkan peristiwa pemberontakan 1962 dari versi seorang anak raja. Hebohlah seketika masyarakat Brunei yang menyambut baik penerbitan buku ini.

Berbagai kalangan menganggap buku ini sebgai lebih seimbang, terbuka dan berani berbanding buku “8 Disember: Dalangnya Siapa? .

Kehadiran buku DPPW telah membuka ruang kajian akademik baru dan yang lebih luas. Para mahasiswa khususnya, tercabar untuk mencari dan menggali fakta-fakta baru mengenai salur galur pemberontakan 1962 yang belum terungkap. Reaksi positif yang amat ketara ini, kemungkinannya tidak disenangi oleh beberapa pihak apatah lagi dimana-mana orang bercakap soal ini, memandingan kualiti dan kesahihan fakta buku Remember- Rember…. dengan buku 8 Disember…..

Tidak lama selepas penerbitan buku DPPW itu, tiba-tiba masyarakat dikejutkan pula dengan Program Perkampungan Sejarah anjuran Pusat Sejarah. Perekampungan Sejarah diperingkat Mukim Seria telah diadakan pada 30hb November hingga 2hb Disember 2009.

Dalam kata-kata aluannya pada buku kecil yang diedarkan pada program Perkampungan Sejarah di pekan Seria, Pehin Jamil menerangkan objektif program itu diadakan:
“Perkampungan sejarah pada tahun ini adalah difokuskan kepada penduduk di Pekan Seria, Daerah Belait. Penyelidikan ini meliputi persejarahan am yang merangkumi sejarah asal usul kampung dan mukim Pekan Seria, suasana pendudukan Jepun, peristiwa pemberontakan, sejarah industri minyak yang mempunyai kaitan dengan kehidupan penduduk di daerah Belait khususnya di Pekan Seria.

Begitu juga dengan pembangunan dan perkembangan awal dalam industri minyak, ramai tenaga asing/luar menyumbang tenaga dalam industri ini, termasuk orang-orang Cina, Hongkong dan migrasi asing lainnya. Tetapi apabila berlakunya pemberontakkan, banyak tenaga asing yang bekerja berhenti kerana faktor keselamatan.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan penduduk tempatan bersama migrasi masyarakat Cina dari negara jiran dan bangsa lain secara tidak langsung, telah memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan ekonomi negara dan menaikkan taraf hidup negara ini dan seluruh penduduknya. Malah pengalaman hidup penduduk Pekan Seria ketika berhadapan peristiwa pemberontakan di negara ini merupakan sumber unik untuk dikumpul dan disimpan sebagai bahan rujukan”.

Perkampungan Sejarah

Perkampungan Sejarah yang diadakan selama tiga hari di Mukim Seria itu, telah melibatkan seramai 63 orang penyelidik terdiri daripada pegawai dari Pusat Sejarah sendiri, jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam dan belia-belia Mukim Seria. Penyelidikan secara wawancara dan temubual dengan seramai 50 orang pengisah di kawasan Seria dan Belait dilakukan pada sesi siangnya dan pada sesi malam pula dimuzakarahkan himpunan dapatan cerita tersebut di Dewan Jabatan Daerah.

Mengakhiri perkampungan itu, Majlis Dialog bagi pembentangan dapatan kajian sejarah telah diadakan, tetapi masa yang diperuntukkan sangat terhad iaitu dari 9:00 pagi hingga 11:00 pagi sahaja. Setiap wakil kumpulan penyelidik hanya diberikan selama 10 minit untuk membentang dapatan mereka melalui tajuk-tajuk yang disediakan iaitu Suasana Penduduk Jepun, Peristiwa Pemberontakan 1962, Sejarah Industri Minyak, Sejarah Lisan, Salasilah Orang-Orang Kenamaan, Tempat-Tempat Bersejarah dan Monumen dan Sejarah Institusi-Institusi Kerajaan Serta Swasta.

Mencari Dalil Baru

Setelah mengikuti program tersebut sepenuhnya, para pemerhati rata-rata menanggapi bahawa Program Perkampungan Sejarah tersebut seperti mempunyai objektif khusus yang dilihat seperti ingin mencari “dalil baru” bagi mengesahkan intergeriti buku tidak popular “8 Disember: Dalangnya Siapa?” dan mencabar fakta buku “Remember, remember The 8th of December” seperti yang yang disebutkan itu.

Betapa tidaknya, keadaan anarki, kesan dari pemberontakan itu menjadi fokus kajian Perkampungan Sejarah justeru telah mendominasi program tersebut berbanding pemaparan berani DPPW mengenai salur galur dan sebab musabab pemberontakan itu boleh berlaku walaupun pada tempat-tempatnya fakta yang dipamirkan agak pahit untuk ditelan oleh Kuasa pentadbir sendiri.

Pengkesahan penemuan minyak dan lain-lain peristiwa yang dianggap mempunyai niali sejarah di Mukim Seria seperti yang disebutkan oleh Pehin Mohd. Jamil tidak diberikan penekanan sewajarnya.

Penemuan Kaji Selidik Perkampungan Sejarah

Kalangan peserta dan pemerhati disessi dialog itu telah diberikan taklimat mengenai penemuan kaji selidik yang dijalankan sepanjang enam hari Program Perkampungan Sejarah itu berlangsung. Kaji selidik difokuskan kepada kajian kesan akibat anarki seperti suasana di hadapan Istana Mangga Lela yang menyaksikan ramainya pemberontak yang mati setelah bertempur dengan askar Gurkha, keadaan mayat bergelimpangan sehingga menggunakan trak untuk mengangkut mereka yang mati ditembak dan di kubur dalam satu liang.

Seterusnya, sepanjang perintah berkurung sukar untuk mendapatkan makanan, seluruh kawasan di kawal oleh Polis Malaya dan Pasukan Gurkha, ramai orang awam yang melanggar aturan mati ditembak oleh Gurkha, bekalan elektrik dan air terputus selama 23 hari, orang-orang tahanan tidak diberi makan, hujan turun berterusan sehingga menyebabkan banjir besar berlaku.

Turut diceritakan ialah setelah sebulan, diadakan proses penangkapan Pemberontak, tahanan dibawa ke Lorong 14 di Panggung Roxana, setelah itu ditempatkan ke Lorong 11 iaitu penempatan tentera Gurkha pada masa ini.

Selepas peristiwa pemberontakan itu berlaku, kehidupan sangat susah dengan keadaan darurat, tidak boleh keluar daripada rumah daripada pukul 8:00 pagi hingga petang, keadaan Pekan Pekan Seria sunyi sepi, barang siapa yang berjalan akan ditangkap dan dituduh pemberontak walaupun tidak bersalah. Balai Polis Seria dan Balai Polis Kuala Belait ditawan oleh PRB. Sementara Balai Polis Panaga dapat dipertahankan oleh pasukan polis dan tentera British kerana Balai Polis Penaga mempunyai simpanan senjata yang mencukupi sehingga bantuan asing datang. Selepas enam hari, Pekan Seria dan Belait dibebaskan sepenuhnya oleh tentera British dari tawananan pemberontak.

Selepas peristewa pemberontakan itu, dikesahkan bahawa orang ramai pada masa itu tidak boleh berjanggut walaupun janggut yang dibela nipis kerana akan dianggap sebagai orang PRB. Pemberontakan berakhir dengan kedatangan Tentera Gurkha yang berjaya mengawal keadaan. Ramai kalangan pemberontak telah ditangkap, perintah berkurung dikuatkuasakan. Hanya pada tahun 1968 barulah Seria pulih seperti biasa. Demikian lebih kurang butiran yang dibentangkan oleh “pengkaji-pengkaji” sejarah itu.

Reaksi Peserta

Meskipun terdapat suara-suara yang bangkit untuk membetulkan sejarah tentang Pemberontakan 1962 pada sessi dialog itu, tetapi suara-suara tersebut tidak diberikan ruang untuk meneruskan hujah dengan alasan kesuntukan masa. Apakah maknanya semua ini? Masa dialog yang begitu singkat menyebabkan peserta yang terdiri dari pelaku pemberontakan itu sendiri tidak diberikan kesempatan secukupnya untuk mempertahankan diri, mengemukakan hujjah akademik dan sejarah, justeru banyak lagi cerita dan peristiwa sebenar yang belum terungkap yang menyebabkan mereka terfitnah dan dizalimi sejarawan buat selama-lamannya.

Dalam suasana sedemikian rupa, “planted narrator” sudah pasti akan mensahkan hypothesis bias Pusat Sejarah terhadap peristiwa pemberontakan itu terutama sekali generasi selepas pemberontakan yang sekadar mendapat maklumat dari pembacaan keratan-keratan akhbar Pelita Brunei dan Borneo Bulletin dan buku-buku sejarah terbitan tempatan yang rujukan utamanya karya-karya Pusat sejarah sendiri.

Natijahnya terhukumlah pemberontakan dan pelaku-pelakunya sebagai penjenayah dan penderhaka buat selama-lamanya. Tidakkah ini perlakuan jenayah sejarah (historical genocide) yang dilarang oleh Islam? (sila baca tulisan Dr Asri dalam blog ini).

Persoalan yang dilontarkan dari kalangan peserta dan pemerhati ialah kemana perginya sejarah positif perjuangan PRB, umpamannya pemberontakan itu meletus kerana PRB mahu menuntut kemerdekaan penuh dari penjajah British, PRB menentang kemasukan Brunei kedalam Malaysia, menentang beberapa fasal dalam perlembagaan 1959 yang dianggap tidak demokratik dan mempunyai unsur pemusatan kuasa yang berlebihan, agenda PRB mahu menyatukan Brunei, Sarawak dan Sabah kedalam sebuah Negara kesatuan, Negara Kesatuan Kalimanatan Utara dan menjadikan Sultan Brunei sebagai Mahkota Negara baru itu.

Kemana perginya sejarah murni PRB yang mendukung kuat program pendidikan Al Marhum Sultan Omar Ali Saifuddin? Dimana perginya sejarah titik pertemuan idealisma PRB dan Al Marhum mengenai system pemerintahan “Demokrasi Berparlimen”?

NDP dan Isu Pensejarahan Semula

Adalah diharapkan, kehadiran NDP dipersada negara yang rancak membangun ini akan diberi ruang berperanan menggerakkan kesedaran baru seluruh rakyat untuk menjadikan sejarah sebagai elemen terpenting pengikat kesetiaan rakyat kepada Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda. Seminar berkait perpaduan nasional dan pensejarahan semula yang dianjurkan oleh NDP beberapa tahun lalu, dituruti oleh usul rekonsiliasi nasional yang diluluskan oleh Kongres Agung Tahunan NDP ke 4, 5 dan 6 hendaknya dapat diterima oleh semua pihak sebagai hasrat murni untuk menyatu padukan rakayt agar kukuh teguh berdiri dibelakang Kebawah DYMM dalam keadaan apa juapun. Inilah roh dan peranan sebenar disiplin sejarah yang dipegang oleh NDP justeru menyeru agar kalangan chendakiawan dan karyawan bersikap budiman dengan menyuburkan persamaan dasn mengecilkan perbezaan.

Thursday, September 15, 2011

Pertama Terkena, Kedua Terngadah, Ketiga Tersungkur Rebah..

Legasi Eksploitasi Minyak

British masih ditanggapi oleh banyak pihak, datang ke Brunei, hanyalah sebagai sahabat yang “menaungi” Brunei, walaupun ia telah meninggalkan banyak legasi ngeri sehingga membawa kesan buruk terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Selain melengah-lengahkan proses pendidikan, penjajah juga dengan sewenang-wenangnya mengeksploitasi sumber kekayaan Brunei khususnya pendapatan dari royalti minyak dan gas asli. Benarlah kata pepatah Inggeris yang menyebut “we stoop to conquer”

Dari penemuan minyak pada 1929 sehinggalah Brunei mencapai kemerdekaannnya pada 1984, pemberian royalti yang dianggap sedikit dan tidak adil kepada Brunei turut menjejaskan program pendidikan dan pembangunan untuk rakyat. Natijahnya, penjajah telah meninggalkan satu lagi legasi iaitu kemiskinan yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat sekali gus membawa “aib” ke atas negara Baldatun Thayibbatun Warrabbun Ghaffur ini.

Eksploitasi Minyak dan Gas
A.M. Azahari telah membangkitkan mengenai isu eksploitasi minyak ini ketika menyampaikan ucapannya di Komiti Dua dan Komiti Empat, Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1975. Ketika itu PRB melihat bahawa sebahagian keuntungan hasil minyak Brunei telah disalahgunakan oleh penjajah selaku Kuasa Pentadbir contohnya pembinaan projek-projek mega seperti pembinaan patung Churchill menelan belanja $2.2 juta dollar Amerika. Projek ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat sedangkan hanya di belakang kompleks tugu tersebut terdapat sebuah hospital usang yang penuh sesak dengan pesakit-pesakit dan memerlukan ramai doktor-doktor pakar, alat kelengkapan moden serta kakitangan yang berkelayakan tetapi tidak dipedulikan oleh Kuasa Pentadbir.

Selain itu, pembaziran dikesan berlaku melalui pembinaan projek-projek berprestij yang dicadangkan oleh pegawai-pegawai Inggeris seperti membina pelabuhan laut dalam di Muara dan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Brunei. Seharusnya projek-projek mega seperti ini berpotensi untuk menjana pelaburan asing, tetapi keadaan berlaku sebaliknya.

Pembiayaan $20 juta (dollar Amerika) untuk sebuah pelabuhan tidak langsung memberi pulangan modal kepada Brunei kerana boleh dikatakan hampir tiada kapal dagang besar singgah di pelabuhan itu. Manakala jumlah kapal terbang yang mendarat di lapangan terbang tersebut juga tidak setimpal dengan kos pembinaannya yang menelan belanja hampir $20 juta (dollar Amerika). Justeru itu, perbelanjaan yang besar ini dilihat sebagai tidak banyak memberi faedah untuk membantu menjana dan memperbaiki kehidupan rakyat, sebaliknya ia membebankan rakyat yang turut menanggung kos perbelanjaan tersebut.

Seterusnya di sidang Komiti Empat, Perhimpunan Agung PBB pada 13 November 1975 Azahari menempelak Penjajah British, “ it is not difficult to see why the colonial authorities are reluctant to leave Brunei. Twenty percent of the income of Shell International Group is extracted from Brunei alone. Our country only gets 30 percent in revenue from the total production of oil which this year is estimated at about seven billion Brunei dollars. At the same time, Shell is investing heavily in the liquified gas industry which is producing B$43.00 worth of gas every second. All concessions and natural gas rights were granted to Shell and the Mitsubishi Group in 1971 on most favourable terms and it is estimated that within a decade Brunei will be shipping some US six billion dollars worth of natural gas to Japan and other parts of the world.”

Ungkapan Azahari itu sememangnya bertepatan dengan apa yang berlaku di Brunei pada waktu itu. Tambah Azahari lagi, wang lebihan hasil minyak juga dilaburkan ke industri-industri British yang sedang ‘sakit’ bagi kepentingan penjajah dan kaum modal.

Penemuan BA Hamzah
Sementara itu, pada tahun 1980 hasil kajian seorang penyelidik dari Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS), BA Hamzah dalam kajiannya yang bertajuk “Oil Economic Development Issues In Brunei” turut menyelongkar kemisterian hasil bumi Brunei yang sebenarnya. Menurut penemuan BA Hamzah, eksploitasi British adalah jelas memandangkan eksport minyak dan gas dikawal sepenuhnya oleh kuasa asing yang mendalangi Brunei Shell, Nilai eksport tidak boleh disamakan dengan jumlah tukaran asing. Walau bagaimanapun, perbezaan di antara hasil eksport dan pendapatan negara menunjukkan bahawa pendapatan yang berjaya disimpan adalah jauh lebih kecil. Dengan erti kata lain, bahagian pendapatan hasil minyak yang diperolehi oleh negara adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan yang diterima oleh Brunei Shell.

“It is essential to recognize the difference between export value and foreign exchange. Since the export of oil and gas is exclusively in the hands of foreigners using Brunei Shell as their corporate veil, the value of export is not the same as foreign exchange accruals. Nevertheless, the difference between export earnings and state revenue does indicate that the retained earnings are much smaller. To put it in another way, the portion of oil revenue received by the state is much smaller than that received by Brunei Shell.”

Selain itu, beliau juga membangkitkan peningkatan hasil minyak pada tahun 1948 sehingga 1951. Menurut beliau peningkatan dalam nisbah pendapatan hasil minyak di antara tahun 1948 dan 1951 adalah berpunca dari penambahan royalti dari dua shilling untuk setiap tan kepada tiga shilling sejak tahun 1948. Untuk mengawal nisbah pendapatan yang semakin menurun sejak tahun 1949, sebuah konsep royalti tiga peringkat telah diperkenalkan dalam tahun 1955. (Ianya dipinda pada tahun 1963 dan 1969.) Tujuan utama enakmen 1955 (dan juga 1963 dan 1969) adalah untuk meningkatkan nisbah royalti berbayar kepada negara, namun demikian, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“The increase in the proportion of oil revenues between 1948 and 1951 is attributed to the rise in royalties from two shillings a ton previously to three shillings a ton since 1948. To arrest the declining revenue proportion from 1949 onwards, a three-tier royalty-rates concept was introduced in 1955. (It was revised in 1963 and 1969.) The major declared purpose of the enactments of 1955 (and of the enactments in 1963 and 1969) was to increase the proportion of royalties payable to the state; but, as it may be seen, the contrary occurred.“

Tidak berpuas hati dengan apa yang telah diperolehinya, penjajah terus mengambil kesempatan mengeksploitasi segala sesuatu yang boleh diragut dari tanah jajahannya. Suatu lagi hal yang turut menarik perhatian kita selaku orang awam ialah penemuan B.A. Hamzah mengenai ketidakseimbangan pembayaran gaji antara pegawai-pegawai tentera tempatan dan British yang berkhidmat di Askar Bersenjata Melayu Diraja Brunei (ABMDB) yang diperolehi oleh pekerja tempatan dan British yang dilihat mempunyai unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan pengaruh.

“Regarding defence allocations, it was discovered that British officers and men seconded or on loan to the Brunei Royal Malay Regiment were paid higher than their local counterparts. A British lieutenant colonel receives a salary of $41,000 a year compared with $24,000 for his local counterpart. The difference becomes more visible if the aggregate salary expenses are compared. In 1975 the Government of Brunei spent $12.7 million on salaries for 2,048 locally enlisted personnel, and $4.29 million for only 88 British service personnel on loan.”

Dalam pembentangan kes Brunei di PBB iaitu di Sub-Komiti II pada 10 Julai 1975, Azahari turut membangkitkan betapa Inggeris mengambil kesempatan dengan melonggokkan sebilangan pegawai tenteranya ke dalam angkatan bersenjata Brunei yang sebenarnya tidak diperlukan oleh Pasukan Angkatan Bersenjata Melayu DiRaja Brunei (ABMDB). Akibatnya Brunei terpaksa menanggung kos tambahan yang banyak dan tidak perlu. Pada tahun 1975, 25 peratus dari perbelanjaan Brunei diperuntukkan kepada pertahanan ($110.6 juta dollar Brunei) berbanding jumlah besar belanjawan sebanyak $462.8 juta dollar Brunei.

Pada umumnya, jika dilihat perbelanjaan yang besar dikeluarkan untuk penjara, tentera dan pasukan keselamatan termasuk pembangunan pelabuhan, lapangan terbang dan Tugu peringatan Churchill adalah projek-projek yang bertujuan untuk memenuhi kepentingan dan agenda penjajahan semata-mata. Menurut Azahari, “perbelanjaan begini besar sama sekali tidak diperlukan….. Sesungguhnya jumlah wang begitu besar boleh dipergunakan untuk memberikan kepada rakyat Brunei kemudahan-kemudahan yang lebih baik di dalam bidang pertanian, kesihatan, pelajaran dan kesejahteraan masyarakat.”

Kemiskinan Di kalangan Rakyat
Dalam konteks Brunei, belum ada satu ketetapan konsep dan ukuran yang tertentu digunakan bagi mengenal pasti siapa yang sebenarnya dikatakan miskin. Setakat ini pemilihan bagi kumpulan miskin hanyalah berpandukan kepada takrif fakir dan miskin bersandarkan kepada penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang berwajib bagi mempastikan kebenaran maklumat diri pemohon yang memohon bantuan.

Penjajahan yang dilakukan oleh bangsa-bangsa asing terhadap negara-negara yang pernah dijajahnya adalah antara faktor yang menyebabkan meningkatnya masalah kemiskinan (Dr. Zainal Kling, 1977:141). Kehadiran golongan ini telah mengubah dasar pemerintahan negara yang dijajah oleh mereka dengan memperkenalkan dasar atau sistem pemerintahan baharu ke dalam sistem pentadbiran negara yang dijajah. Di Malaysia misalannya, salah satu faktor penyebab kemiskinan adalah kerana dasar penjajah yang memperkenalkan sistem baru “pecah dan perintah” dalam sistem pentadbiran negara itu.

Perlaksanaan sistem itu telah mewujudkan sistem ekonomi kapitalis dengan menggantikan amalan sistem ekonomi tradisi. Perlaksanaan sistem ekonomi kapitalis hanya memberikan keuntungan terhadap sesetengah pihak yang berkuasa iaitu golongan elit dan mewujudkan penindasan terutama terhadap golongan orang-orang bawahan. (Mohd. Talib Samat, 1992: 1). Kedatangan pihak penjajah telah memperkenalkan beberapa ciri asas dari segi modal, buruh dan pengusaha yang akhirnya memonopoli kekayaan negara. (Dr. Zainal Kling, 1977: 131-132). Akibat dari perubahan sistem yang diperkenalkan oleh penjajah telah menyebabkan meningkatnya lagi kadar kemiskinan yang sudah sedia ada secara relative terutama bagi penduduk-penduduk di kawasan luar bandar.

British sebagai Kuasa Pentadbir dilihat sebagai ‘penjenayah ekonomi’ yang mengeksploitasi kekayaan Brunei sehingga rakyat terbanyak terpinggir di dalam arus pembangunan. Akhirnya kemiskinan dikalangan rakyat Brunei menjadi satu legasi penjajah hingga ke hari ini. Justeru, Kerana menjadi penyambung lidah rakyat, PRB selamanya dianggap sebagai pencabar kekuasaan dan kemaharajalelaan justeru mesti dilenyapkan dari muka bumi ini. Dalam pergelutan itu, tumpaslah PRB. Yang demikian bermaharaja lelalah penjajah dan kroni-kroninya mengaut hasil mahsul negara, dan menghisap keringat dan air mata rakyat tanpa kawalan dan seliaan yang kesannya masih dirasai hingga kehari ini.

Usul NDP Di dalam Kongres 1,3,4,5, dan Ke 6
Hari ini, setelah 26 tahun Brunei merdeka, orang awam masih melihat berbagai kepincangan di dalam urustadbir perusahaan minyak dan gas,dari eksploatasi tenaga kerja dan professional warga tempatan, pengagihan kontrak dan tender hinggalah ketidakseimbangan di dalam pengagihan kekayaan sehingga wujud jurang yang luas antara yang berada dan yang tidak berada.

Sebagai rakan strategik pembangunan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, NDP dengan nekad membincangkan dengan serius dan seterusnya mengangkat pandangan rakyat mengenai isu eksploitasi hasil bumi ini, pada Kongres Agung Tahunan NDP 1,3,4,5, dan Ke 6 berbunyi:

Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Ke-5 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada hari ini 05 Jun 2010 di Dewan Utama Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang telah di luluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 1 - 2 Rabiulakhir 1427 bersamaan 29-30 April 2006 di mana pada Kongres tersebut telah diambil persetujuan dan ketetapan mendesak Kerajaan Kebawah DYMM khususnya Unit Petroleum Jabatan Perdana Menteri dan Syarikat Shell Brunei agar mengambil langkah-langkah berkesan dan segera ke arah pelaksanaan Polisi Pembruneian 1984; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 16 - 18 Jamadilakhir 1429 bersamaan 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan, serta menarik perhatian bahawa terdapat kes sebilangan pegawai eksekutif yang meletak jawatan, justeru Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menggesa Unit Petroleum Jabatan Perdana Menteri supaya lebih telus dan terbuka mendedahkan kepada umum sebab-sebab mengapa berlakunya kes-kes perletakan jawatan tersebut sedangkan mereka berpotensi untuk dinaikkan ke jawatan yang lebih tinggi dan mempunyai kuasa eksekutif, dan seterusnya mendedahkan sebab-sebab sebilangan pegawai eksekutif yang telah dipindah atau ditukarkan ke posisi yang kurang penting; dan bahawa mencadangkan supaya semua perjanjian yang telah dimeterai antara pihak Kerajaan Kebawah DYMM dengan Syarikat Shell Brunei didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat memberikan teguran, pandangan dan penilaian mengenainya sesuai dengan hasrat majoriti rakyat yang inginkan ketelusan di dalam semua urustadbir negara demi sama-sama menjaga kepentingan nasional; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah konkrit untuk melaksanakan Dasar Pembruneian Shell sebagai satu langkah strategik yang mempunyai implikasi besar ke atas keselamatan dan pembangunan negara.

Demikianlah sedikit peringatan dari bawah yang mungkin boleh diambil iktibar agar kita tidak terjerongkong kesekelian kalinya semata-mata kerana gagal mengawal permainan di medan sana. Wallahu’alam-(mmo)

Wednesday, September 14, 2011

Malaysia cadang dua projek besar berkaitan minyak di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia bercadang membangunkan dua projek berkaitan minyak dan gas di Brunei, yang dijangka dapat memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, selain mewujudkan peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi projek pertama, Petronas bercadang membina sebuah kompleks petrokimia di Brunei bersama syarikat BASF di Pulau Muara Besar dan projek itu dijangka menelan pelaburan kira-kira US$1.6 bilion.

Beliau berkata, projek kedua membabitkan cadangan memajukan sebuah limbungan fabrikasi di Brunei oleh Petronas menerusi anak syarikatnya Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad.

Katanya, beliau sudah memaklumkan mengenai kedua-dua cadangan itu kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada pertemuan mereka semalam dan jika mendapat persetujuan Brunei, cadangan itu akan menjadi kenyataan.

"Kedua-dua projek itu akan memberi kesan positif terhadap kedua-dua negara, terutama peluang pekerjaan. Ia sekaligus membuktikan cadangan yang kami putuskan di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara dapat dimanfaatkan untuk perkara yang positif kepada kedua-dua negara," katanya kepada pemberita Malaysia pada akhir lawatan beliau sempena rundingan tahunan bersama Sultan Brunei, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, projek kompleks petrokimia itu dijangka mewujudkan kira-kira 650 peluang pekerjaan, dengan produknya untuk pasaran eksport.

"Kita perlukan persetujuan Brunei dan penyertaan mereka dari segi ekuiti dalam kedua-dua projek," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, bagi blok CA1 dan CA2 yang diserahkan kepada Petronas untuk melakukan kerja-kerja cari gali, Petronas dijangka melakukan kerja-kerja penggerudian di kawasan CA2 hari ini.

Isu kedua-dua blok minyak itu pernah mencetuskan kontoversi tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sebab kedua-dua blok itu bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata, kehilangan itu boleh mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian sekurang-kurangnya US$100 bilion.

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.

Petronas bagaimanapun berkata, syarikat minyak nasional itu dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir yang sebelum ini ditandakan sebagai Blok L dan M atas dasar persetujuan komersil.

Sementara itu, Najib berkata, beliau turut berbincang mengenai peluang pelaburan Brunei dalam bidang pelancongan di Sabah dan penjanaan tenaga hidro di Sarawak.

"Ini sedang dikaji Brunei untuk menentukan kemungkinan mereka menyertai projek penjanaan hidro elektrik untuk keperluan Sarawak dan Brunei," katanya.

Dalam bidang kewangan, khususnya perbankan Islam, Najib berkata, beliau menyampaikan hasrat Malaysia kepada Sultan Hassanal Bolkiah supaya Brunei terlibat dalam bidang itu di Malaysia dan secara prinsipnya Brunei menunjukkan minat berkerjasama dalam bidang perbankkan Islam.

"Butiran lanjut akan diumumkan kemudian. Pihak Brunei melihat kemungkinan terlibat dalam pembangunan perbankan Islam di Malaysia memandangkan Malaysia diperakui sebagai pusat perbankkan Islam dunia," katanya.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MalaysiacadangduaprojekbesarberkaitanminyakdiBrunei/Article/

Monday, September 12, 2011

SEJARAH: FAKTA, KRITIKAN DAN TAFSIRAN


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu: ‘history cannot lie’. Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah. Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta. Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau ‘school of thought’ yang kita pegang. Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya.

Ketulenan Fakta

Maka dalam Islam, beberapa asas penting diletakkan dalam mengkaji sejarah. Asas pertama ialah kebenaran sesuatu fakta iaitu sejauh manakah sesuatu riwayat (narration) boleh dipercayai (authentic). Maka, Islam amat mengambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik.

Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab ‘Rijal al-Hadith’ iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narrators). Dikaji sifat amanah perawi, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi. Kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibanding dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai. Demikian susahnya sesebuah hadis hendak mencapai darjat ‘sahih’. Malangnya, apabila ilmu hadis tidak diambil berat, ramai penceramah termasuk ustaz dan ustazah yang membaca hadis palsu dalam ucapan mereka.

Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak-pihak tertentu. Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya ‘Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu’ (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan kajiannya) menyebut:

“Riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syar’i seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang muslim, mempertikaikannya, atau memberikan gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya” (m/s 227. Mesir: Dar al-Wafa/1408H).

Ya, ini sebenarnya berasaskan arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu”. (Surah al-Hujarat: 6).

Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah dilakukan. Apatah lagi apabila membabitkan mereka yang sudah tiada, tentu pembohongan lebih mudah dilakukan. Umpamanya, betapa banyak maklumat sejarah yang menipu tentang pertelingkahan yang terjadi antara sahabat Nabi s.a.w sehingga lahirnya mazhab Syiah yang mempercayai fitnah sejarah terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Ramai yang menjadi mangsa diburukkan oleh sumber sejarah yang tidak amanah. Antara yang dimangsa Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang diburukkan oleh sumber sejarah seburuk-buruknya. Sehingga Munir Ghadban menyebut:

“Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah s.a.w dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) mereka ini yang diperburukkan, dibohongi tentangnya dan didustakan kepadanya seperti yang dilemparkan kepada Mu’awiyah ibn Abi Sufyan r.a. (Munir al-Ghadhban, Mu’awiyah ibn Abi Sufyan, m/s 5. Damsyik: Dar al-Qalam/ 1410H).

Begitu juga Khalifah Harun al-Rasyid yang dikaitkan dengan pelbagai cerita buruk dan lucu kepadanya seperti dia sering ditipu oleh Abu Nuwas. Sedangkan Abu Nuwas itu seorang penyair yang sering memuji arak dan wanita. Syair-syairnya memuatkan keruntuhan moral. Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H):

“Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat; mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak, -Allah memelihara daripada itu semua!-. Kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua, sedangkan dia dalam keadaan sering melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan sebagai khalifah, seorang yang mendampingi ulama dan auliya`, selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari, selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya”. (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m/s 17, Beirut: Dar al-Fikr/t.t)

Sebab itu, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana menfitnah dan menuduh tanpa asas.

Mengkritik Teks

Setelah kita mendapat sumber yang diyakini, maka itu tidak mencukupi sebaliknya kita perlu melihat teks sejarah itu secara kritis. Perawi yang amanah mungkin juga silap dalam periwayatan. Maka, sikap kritis terhadap matan atau teks amat perlu. Bahkan, jika kita tidak mampu mengkaji kesahihan sumber sekalipun, kita boleh menggunakan nilai-nilai kritis dalam menilai sesuatu fakta.

Umpamanya, saya selalu contohkan bagaimana sesetengah penceramah suka bercerita kisah ucapan Panglima tentera Islam di Andalus, Tariq bin Ziyad ketika mengucapkan kata-kata semangat kepada tenteranya: “Ke mana tempat lari? Lautan di belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada bagi kamu-demi Allah- melainkan sifat benar (kesetiaan) dan sabar”. Kononnya selepas itu Tariq membakar kapal agar tentera Islam tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan berperang terus. Kisah ini dijadikan kebanggaan sesetengah penceramah. Padahal kisah ini patut dikritik. Hanya mereka yang lemah minda sahaja yang menjadikan kisah dalam versi ini sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan.

Riwayat ini ditolak; pertamanya; cerita bakar kapal tiada sumber yang boleh dipercayai daripada mereka yang berada pada zaman tersebut. Mereka yang selepas itu yang menyebutnya. Keduanya; kisah itu boleh menggambarkan kebaculan tentera Islam yang terkenal dengan kepahlawanan dan kesanggupan menyeberang laut untuk membuka Andalus. Seakan jika Tariq tidak lakukan demikian mereka akan lari dari medan jihad. Ini bukan sifat tentera Islam yang membuka Andalus. Ketiga; Apakah wajar bagi Tariq yang merupakan panglima tentera yang bijak untuk membakar harta kerajaan dan kekuatan tentera Islam iaitu kapal yang boleh digunakan untuk membuka negeri yang lain pula. Kalau Tariq melakukan pembaziran demikian, tentu dia akan diambil tindakan oleh kerajaan Islam. Di sana banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan untuk membuktikan ketidak benaran kisah ini. Justeru itu, Mahmud Syakir yang merupakan tokoh sejarahwan Islam mempertikaikan kisah ini di dalam buku kecilnya Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy. Sesiapa yang ingin pendetilan bantahan terhadap kisah ini boleh merujuk kepada buku tersebut.

Maka ketajaman minda dalam melakukan textual criticism atau kritikan matan adalah sesuatu yang penting dalam mengkaji sejarah. ‘Abd al-Rahman Fakhuri dalam membincangkan sejarah pertelingkahan para sahabat mengatakan:

“Sejarah bukan sekadar suatu cerita yang dicampakkan di tengah jalan, yang penulisnya memilih apa yang dia suka dan meninggalkan apa yang dia tidak suka. Sesungguhnya terdapat dua kaedah kritikan yang mesti dibuat terhadap setiap riwayat sejarah sebelum dibuat keputusan untuk menerima atau menolaknya. Pertama: Mengkritik sanad, ini bermakna mengkaji para perawi dan pembawanya. Dipastikan dari sudut kesinambungan sanadnya adalah sahih dan terselamat daripada sebarang kecacatan yang tersembunyi. Perbincangan secara panjang lebar telah diperkenalkan oleh ahli hadis dan para pengkritiknya (pengkaji hadis), tidak mengetahui ilmu ini melainkan mereka sahaja. Kedua: Mengkritik matan (teks)”. (‘Abd al-Rahman Fakhuri, Muqaddimah Miftah al-Jamaah, m/s 77, Mesir: Dar as-Salam/1990M).

Tafsiran

Setelah melalui dua proses di atas, barulah tafsiran terhadap sesuatu fakta sejarah boleh dibuat. Siapa yang hendak diangkat menjadi wira dan siapa pula yang hendak diangkat menjadi musuh atau pengkhianat, banyak bergantung kepada tafsiran. Setiap orang mempunyai aliran dan sudut pandangan yang tersendiri. Namun, di sana ada perkara yang jelas lagi terang antara baik dan buruk, malaikat dan syaitan, Tuhan dan Iblis yang setiap pihak wajib akur kepada nilai yang sama itu. Di sana ada fakta yang kabur atau sesuatu yang boleh diberikan pelbagai tafsiran. Boleh dilihat baik dari satu sudut, mungkin tidak baik di sudut yang lain. Juga, baik pada sesetengah pihak, buruk pada pihak yang lain.

Umpamanya, dalam masyarakat feudal yang taat membuta tuli kepada sultan dan raja melayu akan menganggap Hang Tuah sebagai tokoh dan wira. Tindakannya menculik Tun Teja juga mungkin dipandang mulia. Namun dalam masyarakat yang merdeka dan bertamadun, Hang Tuah –jika benar watak seperti itu wujud dalam sejarah- akan ditafsirkan sebagai manusia berjiwa hamba, dangkal, tiada bermaruah dan tidak berprinsip. Perbezaan nilai, membezakan tafsiran.

Apa pun seorang muslim yang mengkaji fakta sejarah hendaklah akur kepada firman Allah dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

Kita hendaklah akur kepada apa yang benar dalam sejarah dengan memberikan tafsiran yang adil tanpa khianat. Nilai pertimbangannya ialah nilai-nilai keadilan sejagat yang diputuskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Sumber: Minda Tajdid DrMAZA.com

Sunday, September 11, 2011

Majlis profesor tersasar jauh dari kebenaran


Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) terkejut dengan pendirian apa yang dipanggil Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan.

Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli professor yang diwakili oleh Datuk Prof Zainal Kling, TERAS dan SHURA berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafi suatu fakta yang sudah sangat ma’ruf dikalangan rakyat.

Mana mungkin tafsiran ini dapat diterima sedangkan British lah yang telah mengharamkan pelbagai pergerakan Melayu seperti PKMM, API, AWAS, Hizbul Muslimin dengan tuduhan bahawa semua gerakan ini adalah gerakan komunis. Kata-kata terkenal Datun On Jaafar “ada bahaya dari gunung” merujuk kepada gerakan Islam Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul yang ditunding sebagai gerakan komunis.

Dari mana Datuk On mengguna label ini jika tidak dari ta’rif British yang menjajah tanah air ini.?

Bermakna kesimpulan yang dibuat untuk menuduh gerakan Melayu yang mengambil pendirian garis keras sebagai gerakan komunis adalah dari British dan golongan bangsawan yang dekat dengan British.

Pertama TERAS dan SHURA mempersoalkan istilah gologan kiri atau kanan itu adalah sebenarnya label dari siapa? Kenapa majlis ini terlalu taksub dengan label yang diberi oleh British.

Bermakna mereka telah bermula dengan premis yang batil lagi menyesatkan kerana kerangka dan paradigma serta tasawur British itulah yang menjadi ukuran tafsiran mereka terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan. Kiri dianggap komunis dan semua gerakan menjadi komunis bila menentang British dan yang tidak sealiran dengan pendekatan yang diguna Umno.

Tidakkah apa yang mereka rumuskan itu termasuk golongan ulama yang telah memilih untuk berjuang dengan cara bersenjata menentang British. Padahal mereka berjuang atas nama tuntutan Islam . Adakah perjuangan mereka dianggap bukan perjuangan yang sah.

Beranikah mereka mengelompokkan ulama yang bertempur dengan British seperti Tok Janggut, Abdur Rahman Limbong, Tok Guru Hussin Dol sebagai komunis hanya kerana British melabelkan mereka sebagai pengganas komunis?

TERAS dan SHURA kesal dengan keanggkuhan golongan bijak pandai yang dikatakan bergelar Profesor.

Dari asas apakah majlis ini membuat rumusan demikian?

Adalah sangat mengelirukan jika ia keluar sebagai pendirian rasmi, seolah ahli pemikir sejarah cuba membuat pentafsiran yang batil mengikut faham British yang mahu generasi selanjutnya menerima bahawa British memberi kemerdekaan bukan kerana tekanan golongan ulama dan pejuang nasionalis tetapi kerana berunding dengan Umno.

Untuk mengatakan tanah air ini tidak dijajah adalah kedangkalan yang sangat mengejutkan datang dari Majlis Profesor terutama bila mereka dikatakan adalah golongan inteligensia negara .

Tidak ada siapapun yang memiliki akal waras mengatakan tanah air ini tidak dijajah sedangkan Raja-raja Melayu hanya menjadi penguasa yang terbatas kepada soal adat dan agama dan dalam urusan yang lain British menjadi tuan.

Malah dalam hal melantik qadhi sekalipun British akan campurtangan kerana pihak British jualah yang akan menentukan dasar siapa yang akan dilantik.

TERAS & SHURA tidak dapat menerima rumusan yang mengelirukan ini hanya kerana wujud kecenderungan ahli sejarawan mengabsahkan perjuangan Umno sahaja yang benar-benar memperjuangkan kemerdekaan.

TERAS & SHIDA mempersoalkan asas Majlis tersebut yang mendakwa bahawa golongan yang menentang British secara bersenjata berniat menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik.

Di mana buktinya dan dari sumber mana mereka menyandarkan hujah ini?

Menuduh perjuangan ulama dan nasionalis sebagai perjuangan komunis dan memfitnah pula mereka sebagai bersekongkol, bekerjasama dan bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri ini sebagai republik komunis adalah kebiadapan intelektual yang sangat parah. .

TERAS & SHURA menganggap dakwaan Prof Zainal Kling bahawa perjuangan nasionalis yang tidak mengikut jalur Umno sebagai tidak sah dan tidak legitimate menunjukkan betapa beliau terperangkap dengan sindrom jiwa terjajah iaitu jiwa yang mengukur keabsahan sesuatu perjuangan itu hanya sah jika diterima oleh British.

Dipetik dari - Malaysiakini

Tuesday, September 6, 2011


4 Syawal baru lalu. Sdra Mahmud Morshidi Othman, mantan Timbalan Presiden NDP terkejut apabila dijemput oleh juruacara utk berucap dimajlis memperingati ulangtahun ke enam penubuhan NDP 31 Ogos 2005 yang diselajurkan dengan majlis sambutan ramah mesera aidulfitri. Majlis diadakan di Markas Pusat NDP, di Jerudung sebaik selesai rombongan lebih 100 pimpinan pusat, perhubungan, ranting dan ahli NDP bejunjung ziarah di istana Nurul Iman.

Dalam ucapan spontannya, Mantan Timbalan Presiden melontarkan bebrapa persoalan untuk renungan pimpinan parti, ahli dan mereka diluar sana:

1. Setakat mana MIB boleh bertahan?
Masyarakat sivil dimana-mana jua kini mula menolak politik ras. Golongan
islamik pula cukup yakin, Islam sudah cukup (Syumul) untuk diamalkan sebagai
cara hidup, kaedah memerintah dan bernegara.

2. Setakat mana sistem absolutisma boleh bertahan?
Banyak regime absolute yang dipamerkan sejarah, dan terkini di Timur Tengah, jatuh kerana pemimpinnya lemah, atau kerana sistem sosial yang tidak seimbang atau keadilan sosial pincang atau pendapat umum sepakat (solodified pubic opinion) bersetuju mengenai kewujudan kezaliman atau kronisma atau nepotisma atau korupsi atau agihan kekayaan negara yang tidak seimbang, atau kesetiaan tentera dan pasukan keselamatan beralih kepada tokoh alternitif yang membawa program pembaharuan ekonomi, sosial dan politik yang lebih meyakinkan. Regime itu boleh saja jatuh kerana salah satu atau kesemua elemen tersebut atau ada sebab- sebab lain?

Mantan TP menggesa pimpinan dalam Majlis Tertinggi NDP agar:

• kembali menunaikan tanggung jawab dan membetulkan posisi sebagai pimpinan parti
seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti kerana Allah.

• memberikan tumpuan memikirkan dan membantu kerajaan menghurai dan mengangkat
apa jua masalah rakyat dari sekecil-kecilnya hingga persolan surviviliti masa depan Institusi Kesultanan dan negara bangsa sesuai dengan ikrar bai’ah ahli parti untuk `Menjunjung Titah Membangun Bangsa.

• NDP hendaklah berani mengemukakan pandangan kedua untuk pertimbangan pihak
berkenaan mengenai apa jua perkara, dari dasar hingga ke impelementasinya. Kalau setuju berikan sebab dan kalau tidak setuju berikan sebab dan pandangan alternatif.

• NDP hendaklah mengamalkan pendekatan engagemet dan connectiviti dan bukannya
pendekatan egoist dan konfrantasi dalam gerak kerjanya.

• Gagasan agar satu rumah seorang ahli hendaklah dijadikan realiti.

• Elit pentadbir dan penguasa hendaklah melihat NDP sebagai rakan strategik pembangunan dan aturan-aturan keselamatan – sama-sama berkhidmat demi keutuhan Institusi Kesultanan Brunei, kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan negara dan ummah,
bukannya sebagai saingan atau musuh.