Posting mengikut label

Wednesday, April 17, 2013

Brunei bakal jadi tumpuan dunia perniagaan ASEAN


BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April - Negara Brunei Darussalam akan menjadi tumpuan dunia perniagaan dan perdagangan ASEAN dan serantau apabila menjadi hos kepada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2013.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (BAC) 2013, Dayang Fauziah binti DSP Haji Talib berkata, sidang kemuncak itu akan memberi penekanan kepada usaha untuk melibatkan penyertaan pemimpin-pemimpin dari perniagaan dan perusahaan, politik, akademik serta industri dalam membincangkan langkah ke arah pembentukan agenda-agenda industri dan serantau.

Menurut beliau, usaha terus dilaksanakan bagi memperkukuhkan asas dan mempercepatkan lagi perkembangan ke arah pembentukan sebuah ekonomi serantau yang bersepadu dengan memberikan tumpuan kepada mengukuhkan lagi perkembangan perdagangan dan integrasi ekonomi serantau, mempromosikan pembangunan syarikat atau perusahaan baru dan menjana pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana secara mampan serta menggalakkan penyertaan golongan belia dan wanita dalam ASEAN BAC.

Beliau menyatakan perkara ini ketika menyampaikan kata alu-aluan di Majlis Pelancaran dan Penandatanganan Perjanjian ABIS 2013 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Menurut Dayang Fauziah ASEAN BAC mengenal pasti bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) merupakan enjin pertumbuhan yang penting dalam ASEAN dan golongan belia serta wanita memainkan peranan yang besar dalam sumbangan kepada pembangunan ekonomi ASEAN.

Oleh itu adalah amat penting bagi memberikan tumpuan supaya akan melibatkan penyertaan aktif kumpulan berkenaan kepada usaha untuk membangunkan ekonomi serantau yang bukan sahaja dinamik dan positif tetapi juga terus berkembang secara mampan, katanya.

Mengulas lanjut mengenai MSME ASEAN, Dayang Fauziah berkata bahawa pada masa ini, terdapat lebih daripada 96 peratus PKS di rantau Asia Tenggara dan wanita meliputi di antara 50 hingga 95 peratus daripada jumlah pekerja dalam ASEAN manakala itu, ia menyumbang di antara 30 hingga 53 peratus, jumlah pendapatan dalam negeri kasar bagi negara-negara anggota ASEAN.

"Oleh itu, adalah amat bertepatan bagi tumpuan diberikan kepada inisiatif bagi memperkasakan lagi sektor MSME ASEAN serta mengetengahkan lebih peranan serta penglibatan belia dan wanita di dalam ekonomi ASEAN selaras dengan tema bagi ASEAN BAC, Bersama Maju Ke Hadapan."

Menyentuh sedikit mengenai dengan ramalan mengenai pembangunan ekonomi rantau ASEAN, Dayang Fauziah berkata pakar-pakar ekonomi menyatakan bahawa ASEAN akan terus mencatatkan pertumbuhan yang pesat dan positif yang mana berdasarkan dari unjuran yang dibuat, ASEAN akan mempunyai kadar pendapatan dalam negeri kasar yang lebih besar berbanding Rusia dan Brazil menjelang 2020 serta diunjurkan juga mempunyai kadar GDP kira-kira AS$10 trilion menjelang 2030.

Dari unjuran itu jelas kelihatan bahawa rantau ASEAN mempunyai ekonomi yang kukuh yang disokong dengan keyakinan, perdagangan merentas sempadan, pertumbuhan positif serta pembelanjaan serantau yang dipercayai mempunyai kesan untuk membangunkan lagi sektor swasta yang dinamik.

Mengulas sedikit mengenai matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Fauziah berkata matlamat integrasi ekonomi serantau menjelang 2015 atau AEC, dihasratkan untuk mentransformasikan ASEAN menjadi sebuah pasaran dan pangkalan produksi yang kompetitif serta mempunyai pembangunan ekonomi yang saksama.

Usaha itu juga akan membantu untuk mengurangkan kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan sosio-ekonomi serta yang paling penting, membawa integrasi menyeluruh ke dalam ekonomi global.

Dengan tema Bersama Maju ke Hadapan, ASEAN BAC 2013 menumpukan kepada asas dan mempercepatkan lagi usaha ke arah pembangunan sebuah ekonomi serantau bersepadu menjelang 2015 serta menjadi jambatan penghubung di antara kerajaan-kerajaan ASEAN dengan sektor swasta.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: