Posting mengikut label

Tuesday, April 23, 2013

Golongan belia paksi kepada pembangunan berdaya tahan


PORT MORESBY, PAPUA NEW GUINEA, Jumaat, 19 April. - Dalam keadaan hubungan dunia yang saling berkaitan, Negara Brunei Darussalam melihat golongan belia adalah sebahagian daripada penyumbang kepada penyelesaian isu-isu yang dihadapi.

Kepentingan belia itu turut disentuh oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah pada Mesyuarat Menteri-Menteri Belia Komanwel Kali Ke-8 yang bermula 16 April lepas dan berakhir hari ini.

Perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Perdana Menteri Papua New Guinea, Yang Amat Berhormat Peter O’Neil. Majlis turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Belia dan ketua-ketua rombongan dari 35 buah negara-negara Komanwel dan juga Setiausaha Agung Sekretariat Komanwel, Tuan Yang Terutama Kamalesh Sharma.

Mesyuarat bertemakan 'Golongan Belia Paksi kepada Pembangunan Berdaya Tahan' dan dipengerusikan oleh Menteri Ugama, Belia dan Pembangunan Masyarakat, Papua New Guinea, Yang Berhormat Loujaya Toni.

Dalam perbincangan mengenai pentingnya peranan pendidikan dan kemahiran dalam menyumbang kepada peluang pekerjaan golongan belia, Yang Berhormat menekankan kepentingan menanamkan nilai-nilai disiplin, komitmen, etika dan sikap kerja yang positif dalam kalangan belia selain pendidikan dan kemahiran.

Yang Berhormat juga mengalu-alukan penumpuan terhadap keusahawanan dan pembangunan perusahaan golongan belia dalam mesyuarat kali ini dan seterusnya berharap akan mendapat bantuan teknikal daripada pihak Sekretariat Komanwel dalam perlaksanaan pembangunan keusahawanan dan perusahaan belia di Negara Brunei Darussalam.

Menyentuh mengenai tema mesyuarat, Yang Berhormat berkata tema tersebut selaras dengan keutamaan yang diberikan kepada peranan belia dalam pembangunan di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan tema mesyuarat yang berbunyi “Golongan muda atau golongan belia itu mempunyai nilainya yang tersendiri untuk diambil manfaat oleh bangsa dan negara.”

Belia adalah aset negara. Kerana itu, agenda pembinaan belia adalah amat penting untuk diberi fokus. Mereka yang dibangun itu akan menjadi cermin kepada corak kepimpinan masa depan yang penuh dengan teka-teki.

Jika mereka baik, maka kita pun bolehlah tersenyum lega, tetapi jika mereka menjadi insan yang cair moral, maka akan merintihlah negara memikul bebannya.”

Seterusnya dalam menyentuh mengenai saranan bagi keutamaan peruntukan diberikan untuk pembangunan belia, Yang Berhormat memaklumkan bahawa bertepatan sekali dengan saranan tersebut, tema bagi tahun kewangan 2013/2014 di Negara Brunei Darussalam adalah 'Belia Berwawasan, Pemangkin Pembangunan Yang Berdaya Tahan'.

Oleh itu, peruntukan yang besar telah disediakan bagi projek-projek yang berbentuk menyeluruh (holistic) untuk pembangunan kapasiti belia-belia Negara Brunei Darussalam melalui pelbagai program pendidikan, kemahiran dan pembangunan belia.

Yang Berhormat juga menjelaskan mengenai pendekatan 'Oleh Belia, Untuk Belia' yang diguna pakai dalam perlaksanaan program-program dan penyediaan kemudahan-kemudahan untuk golongan belia. Ini dilaksanakan melalui dialog bersama belia bagi mendapatkan maklum balas dan mengongsikan pandangan terhadap isu-isu yang merupakan kepentingan belia dan membincangkan sumbangan yang dapat mereka berikan untuk pembangunan negara.

Melalui dialog-dialog belia tersebut jelas Yang Berhormat, ianya memberikan peluang interaksi kepada belia-belia untuk mengambil tanggungjawab yang besar dan komitmen bagi memikirkan masa depan mereka dan meningkatkan kapasiti dan daya saing mereka.

Ini tegas Yang Berhormat, diharapkan akan dapat menanamkan harga dan maruah diri, matlamat hidup untuk menyumbang kepada pembaikan diri mereka, keluarga, masyarakat, negara dan juga kepada pembangunan serantau dan antarabangsa.

Semasa mesyuarat ini, Menteri-Menteri Belia Komanwel juga membincangkan mengenai penubuhan Majlis Belia Komanwel dan Indeks Pembangunan Belia Komanwel yang mana merupakan antara perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) tahun 2011.

Semasa menghadiri mesyuarat ini, Yang Berhormat juga sempat mengadakan perbincangan bersama Wakil Khas Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Ahmad Alhendawi yang antaranya membincangkan mengenai hal ehwal pembangunan belia dan peranan belia selaku paksi dalam pembangunan berdaya tahan.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: