Posting mengikut label

Monday, April 29, 2013

Kestabilan, sekuriti maritim diberi perhatian


Oleh Sim Y. H. dan Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April - Sidang Kemuncak ASEAN ke-22 menekankan pentingnya untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan sekuriti maritim di rantau Asia Tenggara ketika membincangkan mengenai isu permasalahan Laut China Selatan.

Para pemimpin turut menekankan pentingnya untuk mematuhi Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC), Six-Point Principles on the South China Sea-ASEAN serta kenyataan bersama bagi ulang tahun DOC ke-10.

Dalam hubungan itu juga, para pemimpin ASEAN juga menekankan bagi komitmen bersama di bawah DOC berkenaan untuk memastikan bahawa resolusi secara aman bagi pertelingkahan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf bersama termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea), tanpa perlu untuk menggunakan ancaman atau kekuatan tetapi untuk mengambil sikap menahan diri dalam menyelesaikan masalah atau pertelingkahan.

Dalam hubungan ini, para pemimpin ASEAN mengalu-alukan perbincangan berterusan dengan China dalam pelaksanaan DOC berkenaan secara menyeluruh dan efektif termasuk menerusi kegiatan-kegiatan kerjasama dan projek-projek yang dipersetujui.

Pada masa yang sama, para pemimpin ASEAN turut menugaskan menteri-menteri yang berkenaan untuk bekerja secara aktif dengan China untuk mencapai penyelesaian awal bagi sebuah Code of Conduct in the South China Sea (COC) berdasarkan kepada persetujuan bersama.

Menyentuh situasi di Timur Tengah, para pemimpin ASEAN menekankan lagi sokongan bagi hak yang sah, rakyat Palestin bagi menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan bagi penyelesaian dua negara dimana kedua buah negara dan rakyat masing-masing dalam hidup bersama-sama dengan aman.

Para pemimpin menyeru bagi semua pihak yang berkenaan untuk berusaha bagi menghidupkan semula perbincangan keamanan dan untuk memindahkan semua rintangan kepada usaha itu khususnya pembinaan penempatan haram di kawasan-kawasan Palestin yang ditakluki.

Mengulas mengenai perkembangan di Semenanjung Korea, para pemimpin ASEAN menyatakan kebimbangan dengan perkembangan terkini di kawasan berkenaan. Pada masa yang sama, para pemimpin amat mengalu-alukan usaha Republik Demokratik Rakyat Korea untuk mematuhi sepenuhnya dengan ketetapan di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komitmen di bawah Kenyataan Bersama Perbincangan Enam Pihak.

Para pemimpin ASEAN menekankan lagi sokongan terhadap usaha untuk membawa kepada proses pelupusan nuklear (denuclearisation) Semenanjung Korea secara aman serta usaha untuk menghidupkan semula perbincangan Enam Pihak.

Para pemimpin ASEAN turut menekankan pentingnya bagi dialog untuk mempromosikan kefahaman bersama dan keyakinan di antara semua pihak yang berkenaan untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Korea.

Para pemimpin ASEAN juga menyatakan kepentingan bagi Pengerusi ASEAN untuk menyertai Sidang Kemuncak G20 dan sehubungan itu amat mengalu-alukan jemputan Rusia bagi menyertai Sidang Kemuncak G20 di St Petersburg pada September nanti.

Dalam hubungan itu, para pemimpin ASEAN telah menugaskan pegawai-pegawainya untuk merangka Kertas mengenai kedudukan ASEAN bagi Sidang Kemuncak G20 yang mencerminkan visi ASEAN dalam agenda G20 termasuk isu-isu serantau dan global.

Mengenai Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), pemimpin-pemimpin ASEAN yang bersidang terus menekankan peranan penting APEC dalam rantau Asia Pasifik khususnya dalam mempromosikan Bogor Goals bagi pelaburan dan perdagangan bebas serta terbuka, mengukuhkan pembangunan kapasiti serta pembangunan sekuriti manusia di rantau Asia Pasifik.

Dalam hubungan itu, para pemimpin menyokong sepenuhnya Indonesia selaku Pengerusi APEC 2013 dalam mengambil peranan utama kearah mencapai matlamat-matlamat berkenaan menerusi tiga bidang keutamaan iaitu bagi mencapai Bogor Goals, mencapai pembangunan mampan secara saksama dan mempromosikan kesalinghubungan.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: