Posting mengikut label

Monday, April 15, 2013

Kenyataan Bersama ACSC/APF 2013 disepakati


Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April - Isu mengenai penubuhan mahkamah hak asasi kemanusiaan keamanan dan keselamatan, pencemaran alam sekitar, perubahan cuaca, hak asasi kemanusiaan, keselamatan makanan dan pembanterasan dadah haram adalah antara 28 perkara terkandung dalam Kenyataan Bersama yang dipersetujui pada Persidangan Masyarakat Awam ASEAN/Forum Masyarakat ASEAN 2013 (ACSC/APF 2013) yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.

Kenyataan Bersama yang telah disepakati lebih 300 delegasi mewakili organisasi awam negara-negara anggota ASEAN pada persidangan yang berlangsung dari 6 hingga 8 April lalu di Jerudong itu diumumkan oleh Presiden Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan dan Ahli Jawatankuasa Pandu Serantau ACSC/APF 2013, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Majlis Wanita di Anggerek Desa hari ini.

Katanya, Kenyataan Bersama itu akan dihadapkan bagi penelitian di peringkat kementerian sebelum dimasukkan dalam agenda mesyuarat di Persidangan Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di ibu negara pada penghujung tahun ini.

Beliau menjelaskan, setelah meneliti satu persatu rang yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Draf pada persidangan berkenaan terdapat sedikit perubahan yang dibuat, iaitu dengan memasukkan perkataan 'belia' dalam Kenyataan Bersama supaya bukan saja wanita dan kanak-kanak, tetapi juga belia diminta untuk dibebaskan daripada semua bentuk keganasan.

"Dengan tambahan itu, Kenyataan Bersama ACSC/APF 2013 telah diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Jawatankuasa Pandu Serantau yang menghadiri mesyuarat itu dengan disaksikan oleh semua Jawatankuasa Kerja Draf dari lima negara ASEAN, iaitu Kemboja, Laos PDR, Thailand, Vietnam dan Brunei Darussalam sebagai tuan rumah," jelas beliau.

Semua laporan mengenai kertas kerja yang dibentangkan dan dibincangkan pada semua sidang plenari dan bengkel persidangan tersebut akan dijadikan kertas rujukan dan akan diedarkan kemudian sebaik saja diterima daripada pengendali dan pemimpin bengkel melalui Jawatankuasa Pandu.

Antara perkara yang digariskan dalam kenyataan itu ialah komitmen ACSC/APF untuk menyokong hala tuju ASEAN yang lebih berpusatkan kemanusiaan dengan memberi tumpuan kepada hak asasi manusia yang menjadi asas kepada tonggak ASEAN, iaitu masyarakat sosiobudaya, keselamatan masyarakat, dan masyarakat ekonomi.

ACSC/APF juga menggesa pihak berkuasa berkaitan dalam ASEAN supaya menubuhkan mekanisme bagi pembanterasan, penyelesaian dan perdamaian terhadap pertikaian bagi konflik yang tercetus antara negara dan wilayah di Asia Tenggara, mengambil tindakan pantas bagi membanteras perlanggaran hak asasi kemanusiaan di rantau ini yang membabitkan keganasan terhadap orang awam, wanita dan kanak-kanak terutama di masa pertikaian bersenjata.

Kenyataan itu juga menggesa supaya Komuniti ASEAN 2015 bebas daripada semua bentuk keganasan terhadap wanita, kanak-kanak dan belia sambil menuntut kerajaan ASEAN menubuhkan mekanisme bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan usaha untuk membabitkan golongan belia terhadap proses membuat keputusan berkesan dalam ASEAN.

Selain itu, kerajaan ASEAN juga disarankan supaya menubuhkan mahkamah hak asasi kemanusiaan ASEAN sambil menggesa kerajaan ASEAN yang belum lagi mempunyai institusi hak asasi manusia supaya menubuhkannya di negara masing-masing.

Jawatankuasa ACSC/APF juga berazam untuk menyumbang ke arah perlaksanaan Rangka Tindakan Komuniti ASEAN peta jalan berkaitan dan pelan induk rangkaian ASEAN serta khusus bagi perhubungan sesama masyarakat.

Turut digariskan ialah azam ACSC/APF untuk memantau tindakan berkaitan dasar awam dan bersiap sedia untuk menyumbangkan pengalaman kepakaran dalam merealisasikan matlamat bersama ASEAN melalui hubungan kerjasama yang membina.

Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi ACSC/APF 2013, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta ahli jawatankuasa yang lain.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: