Posting mengikut label

Monday, April 8, 2013

Elak konflik terbuka, penggunaan kekerasan


Oleh: Haji Sahari Akim dari Bandaraya Sanya, Wilayah Hainan, Republik Rakyat China

BANDARAYA SANYA, WILAYAH HAINAN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Ahad, 7 April. - Selaku Pengerusi ASEAN 2013, Negara Brunei Darussalam telah memilih tema 'Our People, Our Future Together' yang mencerminkan wawasan para pengasas ASEAN yang memahami bahawa konflik terbuka hanya akan menjejaskan prospek-prospek pembangunan negara dan kerana itu hendaklah komited mengelakkan daripada menggunakan apa juga bentuk kekerasan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, komitmen itu kekal menjadi prinsip asas interaksi sesama ahli ASEAN dan telah terbukti sejak 45 tahun kewujudannya, perselisihan tidak pernah meningkat ke tahap persengketaan.

Bertitah pada Sesi Plenari Forum Boao Bagi Asia yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa BFA, di sini, baginda menekankan, ASEAN mempunyai peranan untuk mempromosikan keamanan dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara ahli.

Baginda juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur BFA yang telah memilih satu topik yang sesuai bagi rantau ini yang mana negara-negara bekerjasama untuk pembangunan semua di Asia.

Semasa bertitah baginda juga menyentuh mengenai kebanyakan negara di Asia yang telah berjaya pulih dengan baik dari krisis kewangan global dan menyatakan bahawa kejayaan ekonomi yang berterusan di Asia telah semakin dijana oleh jentera pertumbuhan ekonomi China yang juga menyumbang kepada pemulihan ekonomi global secara menyeluruh.

Baginda bertitah, walaupun kejayaan tersebut telah membawa Asia maju ke hadapan, negara-negara Asia akan terus menghadapi cabaran-cabaran baru disebabkan ketidaktentuan yang terus menyelubungi iklim ekonomi global.

Isu-isu global tegas titah baginda, menghendaki tindak balas secara global dan ini telah menjadikan BFA sebagai platform yang sangat berharga untuk berkongsi idea mengenai bagaimana cara-cara menangani isu-isu tersebut.

Baginda bertitah, oleh kerana dunia kini saling berkaitan, kejayaan Asia akan memberikan sumbangan yang lebih besar di arena global dan oleh itu negara-negara Asia perlu berkongsi tanggungjawab secara kolektif dalam membentuk masa depan yang berjaya.

Titah baginda, dalam masa negara-negara berusaha untuk berkembang bersama, mereka mungkin saja menghadapi kepentingan politik dan ekonomi yang saling bertentangan dan ini akan menguji kecekalan negara-negara untuk berkongsi sama dan hidup dalam harmoni.

Baginda juga mengongsikan bahawa antara isu yang dihadapi oleh Asia dan dunia adalah perubahan iklim, kesihatan global dan pembasmian kemiskinan yang menghendaki tindakan bersepadu.

Pada sesi tersebut baginda juga bertitah mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Xi Jinping atas pelantikannya baru-baru ini sebagai Presiden Republik Rakyat China dan atas jemputan keberangkatan Lawatan Negara ke Republik Rakyat China serta keberangkatan ke BFA.

Kebawah DYMM juga bertitah menyatakan bahawa baginda telah beberapa kali melawat Republik Rakyat China dan kagum dengan pembangunan negara tersebut.

Baginda yakin dengan kepimpinan Presiden Xi Jinping, ekonomi negara China akan lebih makmur dan dapat menikmati pembangunan yang lebih maju.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: