Posting mengikut label

Tuesday, April 2, 2013

Kerapuhan institusi keluarga akibat masalah sosial


Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 April. - Pelbagai masalah sosial seperti kes-kes perceraian, keganasan rumah tangga, pengabaian keluarga dan warga tua, keruntuhan akhlak anak-anak seperti kanak-kanak yang lari daripada rumah dan sukar dikawal merupakan manifestasi dari kelemahan institusi keluarga.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah berkata, masyarakat di negara ini tidak lari daripada menghadapi pelbagai masalah sosial disebabkan kerapuhan institusi keluarga.

Berucap demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, itu, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan umpamanya, dalam isu perceraian di kalangan pasangan yang beragama Islam.

Jelasnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan, pada tahun 2011, pasangan yang berumur 25 hingga 39 tahun merupakan pasangan yang paling ramai terlibat dalam kes perceraian iaitu seramai 597 pasangan atau 65 peratus dari jumlah keseluruhan kes perceraian yang berlaku.

Tambahnya, begitu juga dari segi tempoh perkahwinan berlakunya perceraian, perkahwinan yang berusia di antara 10 hingga 14 tahun merupakan tempoh yang paling banyak berlakunya perceraian iaitu sebanyak 95 kes atau 20.7 peratus dari jumlah keseluruhan perceraian yang berlaku (459 kes).

Isu seperti itu katanya, jika tidak dibendung bukan sahaja boleh melemahkan masyarakat malah boleh menjejaskan pembangunan negara. Oleh itu jelas Yang Berhormat lagi, semua pihak mesti bertanggungjawab ke arah mengukuhkan institusi keluarga.

"Memandangkan masalah sosial yang berbangkit dari kelemahan institusi keluarga merupakan isu nasional, maka isu sebegini tidak hanya diletakkan kepada satu-satu pihak sahaja," ujarnya.

"Semua pihak sama ada secara kumpulan atau individu perlu berganding bahu dan bekerjasama bukan sahaja untuk merawat tetapi juga untuk mencegahnya".

Dalam hubungan ini jelas Yang Berhormat, Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan merupakan salah satu mekanisme pencegahan peringkat nasional yang diselenggarakan oleh KKBS dan juga rakan-rakan strategik yang berkenaan.

Penyelenggaraan program bertaraf nasional itu katanya, sudah setentunya memerlukan komitmen dari pelbagai pihak.

Di samping itu Yang Berhormat juga menyentuh mengenai Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Belanjawan 2013-2014 telah memperuntukkan sejumlah BDN500,000.00 bagi program pengukuhan institusi keluarga.

Itu katanya, menunjukkan akan pengiktirafan, betapa pentingnya pengukuhan institusi keluarga di dalam menyumbang pembangunan dan kemajuan negara dan ke arah memperteguh kestabilan dan keselamatan sosial dan mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di berbagai peringkat.

Selain itu, Yang Berhormat juga menyentuh mengenai antara lain tujuan utama Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan itu diadakan iaitu untuk memupuk kefahaman kepada masyarakat betapa pentingnya institusi keluarga diperkukuh dan dimantapkan bagi pembangunan masyarakat dan negara.

Kemantapan institusi tersebut jelasnya, dapat diperkukuhkan melalui jalinan kerjasama, bantu-membantu dan hormat-menghormati di antara ahli-ahli yang pada asasnya terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak, ahli-ahli keluarga, jiran dan masyarakat setempat.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: