Posting mengikut label

Monday, April 29, 2013

Setuju realisasikan Komuniti ASEAN



Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pengerusi ASEAN 2013, hari ini bertitah menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ASEAN yang bersidang sebulat suara bersetuju untuk meningkatkan lagi usaha ke arah merealisasikan satu Komuniti ASEAN yang bersatu dan berintegrasi dari segi politik, ekonomi dan sosial, supaya dapat meraih peluang yang ada dan yang akan datang serta mampu untuk bertindak balas terhadap cabaran-cabaran serantau dan antarabangsa.

Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin yang bersidang mengulangi komitmen mereka dalam mengurangkan jurang perbezaan pembangunan dengan melaksanakan Pelan Kerja IAI ke-2 (2009-2015) serta Peta Jalan ASEAN ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) dengan tumpuan khusus kepada matlamat-matlamat yang boleh dicapai dan keutamaan serta senario-senario yang mungkin berlaku selepas 2015.

Baginda Sultan bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Sidang Media yang berlangsung selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-22 berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Sementara itu, dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan di akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-22 di sini, pemimpin-pemimpin yang bersidang juga mengambil maklum mengenai pentingnya usaha pelbagai organ ASEAN dalam membantu negara-negara anggota ASEAN untuk melaksanakan sepenuhnya komitmen ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN, dan untuk mempersiapkan ASEAN bagi menghadapi cabaran masa depan.

Sehubungan itu, para pemimpin mengambil maklum mengenai penubuhan Pasukan Bertindak Peringkat Tinggi untuk mereviu dan membuat cadangan mengenai cara-cara bagi mengukuhkan lagi kesemua organ ASEAN berkenaan.

Para pemimpin juga mengambil maklum bahawa ASEAN akan berhadapan dengan situasi geopolitik yang semakin sukar dan oleh itu, para pemimpin menugaskan Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) untuk mereviu proses dan institusi-institusi ASEAN supaya dapat mempertahankan peranan ASEAN dalam arkitektur serantau serta untuk menyediakan cadangan-cadangan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-23.

Para pemimpin juga menyatakan bahawa mereka memahami bahawa tarikh sasaran bagi merealisasikan sebuah Komuniti ASEAN semakin hampir dan oleh itu, perlu untuk melaksanakan usaha integrasi ASEAN seterusnya dan pada masa yang sama, untuk mencari kaedah terbaik bagi meletakkan ASEAN secara strategik di dalam arkitektur serantau yang terus berubah.

Para pemimpin menugaskan Majlis-majlis Komuniti ASEAN untuk memulakan kerja bagi visi selepas 2015 dan para pemimpin amat berminat untuk membincangkan perkara-perkara berhubungan isu berkenaan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-23.

Menyentuh bidang Komuniti Politik-Sekuriti ASEAN, kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa para pemimpin yang bersidang menekankan perlunya untuk mempromosikan ketelusan, kepercayaan dan kefahaman mengenai dasar-dasar pertahanan serantau serta persepsi sekuriti dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN serta rakan-rakan serantau.

Sehubungan itu, para pemimpin amat mengalu-alukan penerbitan ASEAN Security Outlook (ASO) pada 2013 serta pelancaran penerbitan memperingati Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-20.

Para pemimpin yang bersidang juga menekankan lagi Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC) sebagi kunci tata kelakuan dalam menangani hubungan antara negara di rantau ASEAN serta menjadi asas bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Dalam hubungan itu juga, para pemimpin yang bersidang turut mengalu-alukan kemasukan Norway ke dalam TAC pada Jun 2013.

Dalam kenyataan berkenaan juga, para pemimpin ASEAN yang bersidang juga mengalu-alukan komitmen dan tanggungjawab bersama menteri-menteri pertahanan dan angkatan-angkatan tentera ASEAN dalam usaha untuk meningkatkan lagi keamanan dan sekuriti serantau termasuk pergerakan ke arah lima bidang utama dalam proses Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).

Para pemimpin juga amat mengalu-alukan penganjuran Eksais ADMM-Plus HADR & MM Ex yang akan berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada 17 hingga 20 Jun nanti di mana ia memberikan sumbangan signifikan ke arah kerjasama di kalangan negara-negara ADMM-Plus dalam usaha untuk membangun kapasiti dan keyakinan serantau dalam menangani isu-isu atau cabaran sekuriti bukan tradisional khususnya pengurusan bencana.

Pada masa yang sama, para pemimpin turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai sektor dan penyelarasan pelbagai sektor termasuk lebih banyak penyelarasan tentera-awam dalam operasi respons kecemasan.

Para pemimpin turut mengalu-alukan kewujudan pelbagai mekanisme yang berhubungan dengan pengurusan bencana dalam ASEAN untuk menyelaraskan kegiatan dan dasar-dasar menerusi Perjanjian ASEAN bagi Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (AADMER) selaku platform bersama bagi pengurusan bencana.

Para pemimpin dalam kenyataan berkenaan juga menekankan komitmen untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear dan bebas dari semua jenis senjata pemusnah besar dan dalam hubungan itu amat mengalu-alukan penandatanganan, Protocol to the Treaty on Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ) dan dokumen-dokumen yang berkenaan tanpa sebarang halangan secepat mungkin.

Pada masa yang sama, para pemimpin juga mengalu-alukan penyambungan Pelan Tindakan bagi mengukuhkan Pelaksanaan perjanjian SEANWFZ bagi tempoh lima tahun lagi iaitu dari 2013 hingga 2017.

Para pemimpin yang bersidang juga menyatakan komitmen dalam menangani isu-isu keganasan dan jenayah merentas sempadan di rantau Asia Tenggara dan dalam hubungan itu, menyarankan supaya badan-badan sektoral yang berkenaan untuk menggandakan kerja-kerja mereka dalam melaksanakan pelan kerja dan program kerja yang berkaitan dengan bidang-bidang utama jenayah merentas sempadan serta untuk menangani secara efektif ancaman sekuriti bukan tradisional yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara.

Para pemimpin juga mengambil maklum mengenai perkembangan yang dibuat dalam Pelan Serantau bagi Tindakan Bagi Membanteras Penyeludupan Manusia (RPA) dan Konvensyen ASEAN terhadap Penyeludupan Manusia (ACTIP) yang mencerminkan perlunya untuk membanteras kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia di rantau Asia Tenggara.

Sekuriti maritim juga diberikan tumpuan di mana para pemimpin yang bersidang menyatakan keselamatan maritim adalah amat penting bagi membangunkan Asia Tenggara yang aman, stabil dan berdaya tahan yang mana dalam hubungan itu, usaha untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam bidang keselamatan maritim amat dialu-alukan, menerusi pembangunan kapasiti, pertukaran pengalaman dan perkongsian amalan terbaik dengan menggunakan rangka kerja ASEAN yang sedia ada termasuk Forum Maritim ASEAN (AMF).

Para pemimpin juga mengalu-alukan Deklarasi Hak Manusia ASEAN (AHRD) sebagai mercu tanda penting dalam usaha ASEAN untuk mempromosi dan melindungi hak manusia di rantau ASEAN dan untuk menggalakkan ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) untuk meningkatkan lagi kegiatannya termasuk dalam pelaksanaan AHRD dengan penyelarasan bersama pelbagai badan-badan sektoral ASEAN.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: