Posting mengikut label

Tuesday, August 20, 2013

Brunei sekali lagi jadi tumpuan


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Negara Brunei Darussalam sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila menteri-menteri ekonomi ASEAN bermesyuarat dan membincangkan mengenai hala tuju serta prestasi ekonomi serantau di sebalik situasi ekonomi global masa kini.

Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat yang berkaitan ke-45 bermula dari hari ini hingga 21 Ogos di Pusat Persidangan Antarabangsa, Bandar Seri Begawan.

Pada mesyuarat tersebut, para menteri dijadual membincangkan mengenai prestasi ekonomi serantau di sebalik situasi ekonomi global pada masa ini serta bertukar pandangan dan cadangan untuk meningkatkan lagi daya saing serta memperkukuhkan posisi ASEAN sebagai rantau penting di dalam rangkaian pengedaran antarabangsa.

Pusat Persidangan Antarabangsa, Bandar Seri Begawan, bakal menjadi lokasi bagi pelbagai perbincangan
mengenai hala tuju serta perkembangan ekonomi ASEAN di sebalik keadaaan ekonomi global masa kini
emasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-45 bermula esok.

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dalam satu kenyataan berkata, program mesyuarat bermula dengan Makan Malam Kerja bagi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN malam ini yang dihoskan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Ini diikuti dengan siri mesyuarat-mesyuarat pada 19 Ogos termasuk Mesyuarat Majlis Kawasan Bebas Perdagangan ASEAN (AEM-AFTA) ke-27, Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan ASEAN (AIA) ke-16, Makan Tengah hari Kerja AEM dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Mesyuarat AEM ke-45, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke 10 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Negara yang turut serta dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Sementara itu, pada 20 hingga 21 Ogos, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan mengadakan konsultasi tahunan bersama dengan rakan-rakan kerja dengan semua rakan-rakan dialog ASEAN termasuk Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, India, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada dan Federasi Rusia.

Mesyuarat-mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan atau dipengerusikan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Di samping isu-isu berhubungan dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015 yang menjadi agenda penting dalam perbincangan menteri-menteri ekonomi ASEAN itu nanti, mereka juga dijangka membincangkan mengenai perkembangan yang dicapai dalam usaha untuk mendalamkan lagi integrasi di antara dan di kalangan negara-negara anggota ASEAN terutama dari segi perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Selain itu, kerjasama serantau berhubungan dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana, harta intelektual, dasar persaingan, pelindungan pengguna serta penglibatan sektor swasta-awam turut dibincangkan oleh menteri-menteri yang bersidang.

Manakala itu, perbincangan di antara menteri-menteri ekonomi ASEAN dengan rakan-rakan dialog akan memberikan peluang kepada para menteri yang bermesyuarat untuk melihat status kerjasama ekonomi ASEAN dengan negara-negara rakan dialog serta membincangkan cara yang terbaik untuk memperkukuhkan lagi kerjasama terutama rangkaian hubungan luar untuk menubuhkan komponen penting dalam strategi utama bagi mengintegrasikan sepenuhnya ASEAN ke dalam ekonomi global.

Pada masa yang sama, beberapa mesyuarat ekonomi lain turut dijadualkan pada masa yang sama. Antaranya ialah Forum Pelaburan ASEAN ke-3, Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) dan Forum Belia ASEAN-China yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN serta Persatuan Usahawan Muda Brunei Darussalam (YEAB).

Negara Brunei Darussalam pada 22 dan 23 Ogos juga akan menjadi tuan rumah kepada perbincangan berhubungan kawasan bebas perdagangan, Trans-Pacific Partnership (TPP) yang akan disertai oleh 12 buah negara termasuk Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan New Zealand.

Satu lagi perbincangan kawasan bebas perdagangan juga akan dilaksanakan semasa AEM ke-45 iaitu RCEP yang dijangka akan menjadi salah satu perjanjian dan di antara kawasan bebas perdagangan yang terbesar di dunia yang akan merangkumi sebanyak 16 buah negara iaitu semua negara-negara anggota ASEAN bersama-sama dengan Australia, China, India, Jepun, Korea dan New Zealand.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: