Posting mengikut label

Friday, August 9, 2013

TITAH KDYMM: Amal soleh prasyarat perolehi nikmat Allah


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, nikmat di dunia akan hilang, berbanding nikmat di akhirat kekal abadi.

Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ia bukan boleh dicapai dengan berpeluk tubuh atau memadai dengan menggantungkan cita-cita setinggi langit.

Kebawah DYMM menekankan perkara itu dalam Titah Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.

Terdahulu baginda bertitah menjelaskan, namun untuk memperolehi nikmat yang kekal itu, memerlukan adanya usaha dan pengorbanan.

Tambah titah baginda, adapun nikmat yang dijanjikan oleh Allah itu hanyalah tertentu kepada mereka yang beramal soleh sahaja.

Jadi, titah baginda, ternyata amal soleh itu, di sini adalah prasyarat untuk memperolehi rahmat dan nikmat Allah.

Jika kita melakukannya, menurut titah baginda, faedahnya bukan sahaja bagi diri sendiri, malahan juga menyeluruh untuk masyarakat dan negara.

Baginda menegaskan, tidakkah kalau amal soleh itu dilakukan oleh semua orang, nescaya masyarakat dan negara pasti akan aman dan sejahtera.

“Mengapa beta katakan demikian? Kerana bukankah amal soleh itu bermakna segala pekerjaan yang baik dan berkebajikan belaka? Jika betul ia berlaku di dalam sesebuah negara, maka sudah barang tentu negara tersebut akan bebas dan bersih daripada segala gejala buruk,” tegas titah baginda.

Menurut titah baginda, negara yang berpaksikan amal soleh, tidak syak lagi, tidak akan wujud di dalamnya orang minum arak, orang mencuri, orang melakukan rasuah, orang menghisap dadah, orang berjudi dan seumpamanya.

Dan apabila tidak ada semua itu, jelas titah baginda, bukankah negara dan masyarakat yang seperti itu adalah negara dan masyarakat yang sihat lagi sejahtera.

Kerana itulah baginda amat mengesali, apabila mendengar dan membaca berita-berita yang tidak bagus, seperti orang tertangkap kerana berjudi, dan perkara itu pula telah berlaku di dalam bulan Ramadan.

“Ingat, maksiat yang dilakukan oleh orang Islam dalam bulan Ramadan, adalah itu bererti menghinakan bulan yang mulia ini, dan sama juga menghinakan Islam sendiri, kerana bukankah syara’ telah menuntut supaya Ramadan itu dibesarkan dengan ibadat-ibadat kepada Allah: Dengan berpuasa membaca Al-Qur’an, bertarawih dan lain-lain,” tegas titah baginda.

“Justeru itu, marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat ini, dan berazam untuk memeliharanya terus-menerus, dengan sepenuh jiwa dan raga kita,” titah baginda.


Umat Islam disaran utamakan kelebihan akhirat

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Ogos. - Allah Yang Maha Besar telah pun memelihara umat Islam dari dikalahkan oleh hawa nafsu jahat yang sentiasa mengajak kepada mengingkari perintah-Nya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan kemenangan itu hanya boleh diperolehi oleh mereka yang berjaya menamatkan ibadat puasa sebulan genap.

Demikian antara peringatan yang terkandung dalam Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei, malam ini.

“Inilah kemenangan kita yang paling bererti pada hari ini,” titah Kebawah DYMM.

Baginda percaya memang bukan mudah untuk memperolehi kemenangan tersebut kecuali bagi mereka yang benar-benar istiqamah sahaja.

“Kita orang Islam wajib berazam untuk sentiasa menang: Menang ke atas musuh Allah iaitu syaitan. Apabila kita menang, bererti kita telah layak untuk menjadi ‘orang besar’ lagi berpangkat di sisi Allah,” titah baginda seterusnya.

Menurut baginda, memang tidak salah untuk mengejar pangkat di sisi Allah, bahkan sangat digalakkan kerana jika untuk kemegahan di dunia orang berlumba, baginda mempersoalkan mengapakah untuk kelebihan di akhirat umat Islam tidak berlumba.

“Dalam hidup di dunia ini, semua orang menginginkan ketinggian : Tinggi pangkat, tinggi kelulusan dan tinggi kekayaan. Jadi mengapa bagi kehidupan di akhirat kita tidak menginginkan ini?” tegas baginda.

Pada kesempatan itu, baginda berserta keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana saja mereka berada, semoga kita dapat menyambut ‘hari besar’ ini dalam suasana riang gembira dan bahagia.


Muliakan Ramadan, pelihara maruah ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan, ibadat puasa menghendaki kita menahan diri, terutama daripada makan atau minum, sehingga apabila seorang Muslim didapati makan atau minum di khalayak ramai, maka orang itu akan dianggap melakukan kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, tujuan dari undang-undang itu adalah semata-mata demi memuliakan Ramadan, di samping juga untuk menjadi peringatan dan pendidikan kepada orang-orang Islam supaya tetap memelihara maruah ugama dan diri mereka selaku orang Islam.

Kebawah DYMM menegaskan perkara itu dalam Titah Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.

“Ini menurut hukum syara’ turut menjadi kesalahan yang sama jika orang Islam itu menghidangkan atau memberi makan atau membenarkan orang bukan Islam makan atau minum di dalam rumah atau di premis-premis makanan milik orang Islam, kerana ia juga dianggap sebagai menghina dan menjatuhkan maruah ugama dan orang Islam itu sendiri,” tegas titah baginda.

Dalam soal ini, tambah titah baginda, tidak berbangkit sama sekali, perkara melarang orang-orang bukan Islam, makan dan minum di premis-premis mereka sendiri, kecuali jika ada sebab-sebab tertentu menurut peraturan.

Di samping itu, jelas titah baginda, Negara Brunei Darussalam telah pun benar-benar sebati dengan Islam sebagai cara hidup.

Dengan Islam itu, titah baginda, Brunei bukan sahaja berjaya membangun, malah juga lebih daripada itu, berupaya mengekalkan keamanan dan kemakmurannya.

Tambah titah baginda, rakyat juga hidup dengan rukun damai, harmoni dan bersatu padu.

“Apakah yang lebih hebat dan lebih utama dari ini, berbanding di tempat-tempat lain, perkara keamanan itu sangatlah sukar untuk dicapai kerana pertelagahan-pertelagahan ideologi menjadi puncanya,” tegas titah baginda.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: