Oleh Hajah Saemah Zulkefli
KUALA BELAIT, 2 Ogos – Program Jejak Ehsan anjuran Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah mengunjungi beberapa orang dalam kalangan keluarga daif, dan warga emas serta mereka yang sedang terlantar sakit di rumah di kawasan Belait dan Seria hari ini.
Mengetuai rombongan tersebut Ketua Himpunan Wanita NDP cawangan Daerah Belait Dayang Halimah binti Janai, yang turut menghulurkan sumbangan berupa keperluan makanan asasi termasuk kepada dua warga emas, sebuah keluarga daif, dan beberapa orang yang terlantar sakit di rumah, dari kalangan ahli badan parti itu dan juga orang awam.
Program Jejak Ehsan Himpunan Wanita NDP, turut mengunjungi warga emas di Belait dan Seria serta Lumut. |
Program ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan Himpunan Wanita NDP yang antara lain bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim bersama dengan masyarakat yang memerlukan.
“Apa yang merunsingkan kita ialah kes pengabaian warga emas semakin meningkat, hal seperti itu tersebar luas dalam media-media cetak dan sebahagian merasakan warga tua boleh mendatangkan beban terutama sekali dalam era pembangunan masa kini, semua orang berlumba-lumba mengejar kemajuan dan akhirnya berlakunya pengabaian ke atas orang-orang tua,” kata Dayang Halimah.
Sehubungan itu katanya, melalui projek itu mereka mengunjungi warga-warga emas dalam kalangan ahli organisasi itu, dan diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membantu menghiburkan warga emas berkenaan terutama sekali yang terlantar di rumah kerana sakit dan sebagainya, sambil membawa sedikit buah tangan yang setentunya akan membantu membahagiakan perasaan mereka dan tidak merasa tersisih.
“Perasaan orang tua memang sensitif, dan kita perlu memahami mereka, mudah-mudahan dengan kunjungan secara berombongan mereka akan sedikit rasa terhibur, dan dengan usaha itu juga mudah-mudahan kami dapat membantu menyokong hasrat kerajaan yang mahu warga emas turut diberikan keutamaan,” ujarnya.
Dipetik dari - Media Permata
No comments:
Post a Comment