Posting mengikut label

Thursday, August 15, 2013

Kenangan manis bagi ahli Himpunan Wanita NDP


BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Junjung Ziarah ke Istana Nurul Iman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri telah berakhir kelmarin, dan mereka yang mengambil kesempatan menyertai majlis itu akan terus menyimpan kenangan manis itu pada diri masing-masing sambil turut menyimpan cenderahati berwarna kuning sebagai koleksi yang bernilai bagi mereka.

Kegembiraan dan kebahagiaan tersebut turut dirasai oleh Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) yang tidak pernah ketinggalan menyertainya setiap tahun, dengan penampilan mereka penuh dengan pakaian seragam baju berwarna putih bersih dan kain berwarna hijau pucuk pisang.

Menyertai majlis junjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja di Istana Nurul Iman merupakan salah satu aktiviti yang menjadi kemestian oleh HAWA NDP sejak organisasi tersebut ditubuhkan lapan tahun lalu.


Himpunan Wanita NDP merasa gembira dan ceria setiap kali berpeluang
menyertai junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman.

Pada tahun ini lebih 50 orang dalam kalangan ahli-ahli wanita NDP telah menyertainya, dan daripada jumlah itu tidak kurang disertai sama oleh ahli-ahli warga emas, biarpun kemudahan diberikan kepada warga emas untuk didahulukan dalam barisan tetapi bagi ahli-ahli HAWA mereka lebih senang berada di dalam barisan berkumpulan itu sebagai rasa perpaduan antara satu dengan lain.

Bersama rombongan HAWA NDP, menyertai sama junjung ziarah tersebut ialah dalam kalangan rombongan ahli lelaki badan parti yang telah melibatkan penyertaan lebih 20 orang dan telah diketuai oleh Presiden NDP Awang Haji Mahmud Morshidi bin Haji Othman dan timbalan presiden Awang Haji Juned bin Haji Ramlee serta ahli-ahli majlis tertinggi lainnya dan juga ahli-ahli biasa.

Junjung ziarah itu merupakan salah satu aktiviti pertubuhan tersebut di samping mengadakan majlis khatam Al-Quran bersempena bulan Ramadhan dan turut mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya sempena Sambutan Hari Raya setiap tahun.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: