LIMBARUH HIJAU, 13 OGOS 2013: Seperti lazimnya setiap kali selepas Majlis Junjung Ziarah ke Istana Nurul Iman, pada 4 Syawal lalu Jabatan Setiausaha Agung (JASA) menganjurkan Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri di Markas Pusat Limbaruh Hijau, Jerudong.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 100 ahli NDP telah diisi
dengan ucapan ucapan daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Naib
Presiden.
TYT Presiden NDP, Saudara Mahmud Morshidi ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri di Limbaroh Hijau |
Dalam ucapannya dimajlis tersebut, Presiden Parti
Pembangunan Bangsa (NDP) Saudara Mahmud Morshidi Othman telah mengingatkan ahli
ahli supaya meneruskan tadarus sempena Hari Keputeraan Kebawah DYMM yang ke 67
dengan memasang niat mengambil tabaruk dari bacaan ayat-ayat Suci Al Quran tersebut dengan doa semoga Allah
SWT melanjutkan usia Kebawah DYMM dengan segala kesihatan serta Negara Brunei
Darussalam selamanya dikurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan.
Amalan tadarus dikalangan NDP adalah satu amalan berterusan
disempenakan untuk sekurang kurangnya pada empat sambutan besar iaitu sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, Hari Kemerdekaan, Ulang Tahun Penubuhan NDP
dan sepanjang Bulan Ramadhan.
Presiden seterusnya menyeru pemimpin pemimpin NDP di semua
peringkat merapatkan barisan, memperkukuh parti agar kehadirannya di persada
politik tanah air khususnya sebagai 'Power Base' kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan benar benar memberikan makna.
Sempena Hari Raya Aidilfitiri ini, Presiden telah melafazkan
"ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan".
Timbalan Presiden , Saudara Haji Juned dalam ucapannya telah
melahirkan syukur yang tidak terhingga kerana NDP telah berpeluang 8 kali turut
serta dalam rombongan Junjung Ziarah dan menyembahkan secara langsung ucapan
Selamat Hari Raya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri.
Timbalan Presiden juga telah menyeru semua ahli untuk
menghayati Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Agung Tahunan yang lepas, usul
usul dan pandangan perwakilan dalam membahas ucapan dasar dan penggolongan
sebagai asas gerak kerja dan pelan tindakan 2013 -2014.
Sambil berseloroh Timbalan Presiden mengingatkan ahli ahli,
"supaya tidak lama berhari raya kerana masih banyak tugas dihadapan yang
hendak diungkayahkan."
No comments:
Post a Comment