Posting mengikut label

Friday, November 2, 2012

Beras, daging agenda utama


Oleh Rafidah Jumat & Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov - Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama meletakkan beras dan daging sebagai agenda paling utama bagi negara ini memandangkan kadar penghasilan dalam negeri masih di tahap rendah.

Atas dasar itu, kementerian sedang berusaha dengan penuh gigih untuk meningkatkan tahap penghasilan bagi kedua-dua makanan asas ini, semata-mata untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

Ini dinyatakan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar ketika merasmikan sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2012 hari ini.

"Setakat ini, peladang, petani dan penternak kita telah berupaya menyediakan hampir 100 peratus pembekalan ayam pedaging dan telur ayam, 86 peratus pembekalan sayur-sayuran dan hampir 25 peratus pembekalan buah-buahan bagi keperluan rakyat dan penduduk Brunei.

"Sementara nelayan-nelayan kita pula berupaya menyediakan kira-kira 90 peratus pembekalan ikan, udang dan makanan laut," ujar beliau.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya turut mengongsikan kemajuan industri pertanian, penternakan dan perikanan di negara ini dalam tempoh dua dekad kebelakangan, yang dilihat dari sudut nilai pengeluaran.

Bagi industri pertanian, penternakan termasuk agrimakanan, jelasnya nilai pengeluaran industri ini pada 20 tahun lalu hanyalah sebanyak $70 juta dan kini, telah mencecah $241 juta iaitu peningkatan melebihi tiga kali ganda.

Daripada jumlah itu, nilai pengeluaran industri ternakan adalah sebanyak $140 juta (58 peratus), industri tanaman sebanyak $44 juta (18 peratus) dan industri agrimakanan sebanyak $57 juta (24 peratus).

Industri perikanan pula, nilai pengeluarannya pada 20 tahun lalu adalah sebanyak $17 juta dan kini, mencecah $82 juta iaitu meningkat hampir lima kali ganda.

Daripada jumlah ini, nilai pengeluaran industri tangkapan adalah sebanyak $72 juta (88 peratus), industri akuakultur sebanyak $3 juta (empat peratus), industri pemprosesan makanan laut sebanyak $6 juta (lapan peratus) dan industri eko pelancongan marin sebanyak $0.5 juta (satu peratus).

Selain pencapaian kemajuan itu, Yang Berhormat Pehin juga ingin melihat kemajuan dari sudut produktiviti, prestasi eksport, pekerjaan dan lain-lain.

Yang Berhormat Pehin berpendapat, perkembangan dan kemajuan industri itu tercetus hasil daripada wujudnya kerjasama kukuh di antara pihak kerajaan selaku pemudah cara kepada kemajuan industri ini dengan para peladang, petani, penternak dan nelayan.

Kerjasama yang terjalin ini sekali gus memberikan keyakinan di pihak kerajaan untuk merangka dan seterusnya melaksana rancangan dan program pembangunan untuk memantapkan lagi industri ini.

Dalam konteks menjamin keselamatan makanan dari hasil pertanian, Yang Berhormat Pehin percaya peladang, petani, penternak dan nelayan telah meletakkan perkara ini sebagai satu tanggungjawab utama bagi menjaga keselamatan pengguna.

"Sebagai langkah ke hadapan, aspirasi kita ialah untuk melahirkan peladang, petani, penternak dan nelayan yang berkualiti, kredibel dan bertanggungjawab.

"Kita sangat-sangat menghargai peranan dan sumbangan peladang, petani, penternak dan nelayan kepada negara, terutamanya sebagai pembekal keperluan makanan asas dan makanan sampingan untuk rakyat dan penduduk negara ini.

"Kita melihat peladang, petani, penternak dan nelayan sebagai rakan untuk kemajuan dan kita adalah rakan dalam semua sudut selagi ia berkaitan dengan pertanian, penternakan dan perikanan," tambah Yang Berhormat Pehin Lagi.

Ini, ujarnya termasuk dari sudut jaminan sekuriti makanan, dari sudut keselamatan hasil makanan dan juga dari sudut kemajuan industri-industri pertanian, penternakan dan perikanan itu sendiri.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: