Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah dalam Sidang Plenari III pada Mesyuarat Hari Kedua ASEM |
Titah Baginda permusyawarahan telah membawa kedua rantau semakin akrab dalam mentakrifkan tindak balas bersama terhadap menangani cabaran-cabaran serantau dan sejagat.
"Cabaran-cabaran pada dasarnya adalah kompleks dan sukar dan tidak terdapat satu pendekatan untuk penyelesaian semua (one size fits all). Dalam jangka pendek kita perlu mendapatkan jawapan-jawapan dalam menanganinya. Apa yang penting ialah ASEM harus berupaya membuat perubahan kepada masyarakat hari ini dan generasi akan datang."
Baginda Sultan menyatakan demikian semasa berkenan mengurniakan titah selaku Ketua Pembentang Utama (Lead Speaker) mewakili rantau Asia bagi agenda yang berfokus kepada Kerjasama Sosial dan Kebudayaan pada Sidang Plenari III, Sidang Kemuncak Ke 9 Asia-Eropah (ASEM) di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos.
Kebawah Duli yang Maha Mulia dalam titahnya juga mengingatkan pentingnya 'dimensi kemanusiaan' dalam perkongsian kerjasama diteruskan untuk membina kepercayaan melalui interaksi personal.
Ini, titah Baginda mempunyai kesan jangka panjang dalam hubungan sesama rakan.
Walaupun dari segi geografi kedua-dua rantau terpisah jauh, tetapi yang penting elemen kemanusiaan itulah yang memberi makna. Oleh yang demikian, Baginda mengambil maklum akan usaha-usaha dalam menyatupadukan masyarakat di kedua rantau melalui berbagai platform di dalam ASEM, seperti Asia-Europe Business Forum (AEBF), Asia-Europe Parliamentary Partnership Meeting (ASEP), Asia-Europe People's Forum (AEPF) dan ASEM Eco-Innovation Center (ASEIC).
Baginda juga menambah, sebagai wakil rantau Asia, Baginda memuji usaha-usaha yang tidak mengira penat lelah yang diambil oleh Yayasan Asia-Eropah, begitu juga inisiatif yang diambil oleh negara-negara ahli, baik ianya daripada Asia ataupun dari Eropah bagi mendokong pertukaran-pertukaran sosial dan kebudayaan.
Platform-platform inilah yang telah mempamerkan hubungan manusia yang menjalin kesepakatan orang-orang Asia dan Eropah, titah Baginda.
"Dengan berbagai peristiwa kurang baik berlaku di sebahagian dunia hari ini, kita perlulah juga memfokuskan kepada penganjuran satu budaya kedamaian bagi semua peringkat masyarakat, terutama sekali kepada para belia dalam mendokong dialog dan persefahaman mengenai berbagai kebudayaan di dalam ASEM dan membina jambatan bagi menyokong persefahaman merentas-budaya secara global.
"Pada misalnya, melalui kerja-kerja United Nations Alliance of Civilisation dan inisiatif Malaysia, dan Global Movement of Moderates."
Pada kesempatan ini Baginda menyampaikan pandangan Negara Brunei Darussalam terhadap strategi ke arah mencapai matlamat ini. Bagi Negara Brunei Darussalam, tegas Baginda, pendidikan masih merupakan pendekatan yang praktik bagi mencapai dialog dan kesefahaman di kalangan belia-belia.
Di samping itu, meningkatkan bilangan program pertukaran pelajar-pelajar melalui kerjasama di antara universiti-universiti adalah jalan yang baik bagi mencapai hasrat ini. Baginda maklum bahawa peratus pelajar-pelajar Asia yang membuat pengajian di Eropah adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah pelajar-pelajar Eropah yang belajar di Asia.
Adalah tidak ternilai jika jumlah ini dapat diimbangi dengan mengambil lebih ramai pelajar Eropah memilih Asia sebagai tempat pengajian mereka. Bukan sahaja pelajar itu dapat bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan sebagai persediaan kepada pekerjaan, mereka juga akan menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya di antara mereka semasa berinteraksi.
Sehubungan ini, Baginda menyeru lebih banyak program-program usaha sama ijazah dan program-program jangka pendek dapat dibentuk di antara universiti-universiti di Asia dan Eropah.
Pendekatan praktikal yang lain yang boleh dipelopori ialah menggalakkan penubuhan persatuan-persatuan pelajar untuk menjalin rangkaian sesama mereka bagi membincangkan cabaran-cabaran penting serantau dan global seperti mengenai perubahan iklim serta pengurusan alam sekitar dan bencana.
Pada masa yang sama, Baginda ingin melihat pertukaran-pertukaran ditingkatkan di antara pakar bagi mendokong ke arah memperkukuh kerjasama dalam ASEM.
Dalam hubungan ini, Baginda dengan sukacita mengumumkan bahawa Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar ASEM ke Brunei Darussalam pada bulan Mei tahun depan bagi menyertai satu bengkel yang diberi nama Challenges to Biodiversity Conservation in Tropical Ecosystems.
Matlamatnya ialah untuk melahirkan berbagai idea dan perspektif daripada pelajar-pelajar dalam menanani masalah alam sekitar yang memberi kesan ke atas berbagai latar belakang dan budaya.
Interaksi sesama manusia, adalah apa yang ASEM sedang buat ketika ini.
Dalam mengakhiri titah di sesi ini, Baginda yakin bahawa Deklarasi Vientiane mengenai Pengukuhan Rakankongsi kepada Kedamaian dan Perkembangan yang dicadangkan setentunya menguatkan lagi persahabatan dan perpaduan di antara komuniti bersama yang membawa keakraban kedua-dua rantau.
Dipetik dari - Media Permata
No comments:
Post a Comment