Posting mengikut label

Wednesday, November 21, 2012

Kesempitan hidup Haliza dapat perhatian


Cikgu Mizawati (kiri sekali) menyampaikan
sumbangan generator kepada keluarga Dayang Haliza
Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, 19 Nov - Pondok usang kediaman Dayang Haliza binti Abdullah bersama enam orang anaknya tanpa mempunyai bekalan elektrik dan air telah mendapat perhatian daripada beberapa pihak dan telah menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Dalam usaha membantu keluarga tersebut sebuah mesin generator sumbangan guru-guru dan kakitangan Sekolah Rendah Sungai Teraban telah disampaikan pada majlis penyerahannya petang tadi.

Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Sungai Teraban, Dayang Mizawati binti Haji Merussin kepada Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara yang kemudiannya menyampaikan pula kepada Dayang Haliza.

Melalui inisiatif Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban, kesempitan hidup Dayang Haliza bersama anak-anaknya telah membantu membaik pulih atap pondok usangnya yang sudah bocor bulan lalu melalui sumbangan Tabung Amal Jabatan Daerah Belait, selain sumbangan berupa barangan keperluan asasi termasuk susu anak-anaknya yang masih kecil yang memang menjadi masalah kepada Dayang Haliza untuk membelinya kerana tidak berkemampuan.

Ketua Kampung memberitahu, melalui MPK kampung tersebut pada masa ini masih meneruskan untuk mendapatkan bantuan membekalkan tangki air untuk memberikan kemudahan kepada keluarga yang susah itu, selain masih menunggu jawapan bantuan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat Daerah Belait (JAPEM).

Dayang Haliza, 36, kini bertanggungjawab sebagai penjaga kepada semua anak-anaknya yang berusia 11 hingga tiga tahun, tiga daripada anaknya telah bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Sungai Teraban manakala tiga lainnya masih kecil.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: